Thursday, July 5, 2007

PACE atur strategi bantu Palestin

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

LANGKAH kecil Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), sebuah pertubuhan penyelidikan mengenai Palestin, bermula di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia melalui Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsanya (JIM-International).

Menyedari isu Palestin adalah isu besar selain wajar menjadi agenda umat Islam secara sejagat, langkah perjuangan dalam JIM-International itu perlu diperpanjangkan.

Memang di dalam JIM-International, isu Palestin menjadi sesuatu yang sentiasa diperjuangkan sejak lebih enam tahun lepas.

Bentuk perjuangan itu antaranya merangkumi pengumpulan dana bagi membantu survival penduduk Palestin.

‘‘Tetapi isu Palestin sebenarnya tidak sekadar mengumpul dana, ia menuntut atau melibatkan strategi juga. Strategi itulah yang melahirkan kajian dan penyelidikan, sekali gus membuahkan PACE sejak setahun lalu,’’ kata Pengarahnya, Dr. Hafidzi Mohd. Noor semasa ditemui di pejabat PACE, terletak di deret rumah kedai di Pusat Bandar Melawati, baru-baru ini.

Mengapa perlu sebuah pusat kajian bagi membantu Palestin sedangkan banyak usaha lain sebelum ini menemui jalan buntu?

‘‘Latar belakang masalah mereka penting untuk diketahui sebelum sebarang bentuk bantuan dihulurkan. Kami di PACE berpandangan amat penting kefahaman tentang masalah akar umbi itu dijelas serta dikongsi seluruh umat Islam di dunia ini.

‘‘Masalah Palestin ialah masalah umat Islam. Penjelasannya perlu diketengahkan bahawa adalah menjadi tugas seluruh umat Islam supaya peka akan masalah ini seterusnya turut sama tampil membantu,’’ ujar beliau.

Hafidzi memberitahu, dalam usia setahun jagung, hasil kajian dan penyelidikan yang dibuat PACE mendapati, agak malang bahawa ramai di kalangan masyarakat Islam di Malaysia masih naif tentang apa yang berlaku di Palestin, malah jauh sekali untuk menghayati isu tersebut.

Benar, mereka cukup berminat dan simpati dengan isu Palestin, tetapi adalah silap cuma bersimpati dan mengalirkan air mata sahaja apabila hal-hal kesengsaraan, penderitaan dan jerit protes Palestin dipertontonkan.

Tetapi kebanyakan pandangan orang yang bersimpati ini adalah sama. Pandangan ramai menyatakan : ‘‘Oh, isu ini isu Palestin sahaja, kita bantu duit.’’ Jangan tidak tahu, ada juga menyatakan isu ini terbatas buat kaum Arab sahaja, jadi kaum lain usah masuk campur, biar Liga Arab menyelesaikannya. Malah lebih malang, bagi yang terpengaruh dengan kempen media dikuasai Barat dan Yahudi mereka lantas membuat kesimpulan melulu dan suram bahawa umat Islam di Palestin adalah golongan pengganas yang mengganggu kaum Yahudi, yang merupakan rakyat sebenar bumi Palestin.

Bagi yang mempunyai pandangan sebegitu, kita boleh berikan perbandingan sebegini.

Bayangkan begini. Di Palestin terdapatnya Baitulmaqdis. Di Baitulmaqdis terletaknya Masjid Al-Aqsa. Di Masjid Al-Aqsa adanya kiblat umat Islam yang pertama dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj. Tetapi Masjid Al-Aqsa dijajah dan dirampas, apakah itu belum cukup untuk menjadikan kita peka lalu terpanggil membantu?

PACE kata Hafidzi, bergerak memperdalamkan kefahaman umat Islam di negara ini melalui beberapa pendekatan.

Antaranya ialah siri jelajah, seminar, ceramah, penulisan dan kutipan dana selain penerbitan video cakera padat (VCD) serta buku.

Siri jelajah kebiasaannya ialah dengan mengadakan ceramah di masjid, surau, pejabat (waktu tengah hari), institusi pengajian tinggi awam serta swasta, hotel dan sebagainya.

Hanya dengan medium itu ia dapat disampaikan maklumat supaya kefahaman itu berupaya ditajamkan. Buat masa ini, PACE memiliki lima orang penceramah atau pakar dalam isu Palestin ini, yang berkeupayaan memenuhi undangan ceramah atau seminar bagi menjelaskan hal berkenaan.

Sementara itu Hafidzi berkata, dalam setiap ceramah yang dihadirinya serta rakan-rakan aktivis di PACE, mereka sering menjelaskan bahawa isu Palestin boleh dilihat dari sudut akidah dan kemanusiaan.

Dari sudut akidah, ujar beliau, Palestin dan Masjid Al-Aqsa itu perlu dibebaskan daripada cengkaman ‘penjajahan’ kerana sebab-sebab sejarah yang dimiliki.

Justeru, umat Islam wajar menggembleng tenaga untuk memerdekakan Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Dari sudut kemanusiaan pula, isu Palestin ini harus dilihat betapa penduduk di situ menjadi mangsa ketidakadilan di mana mereka ialah penduduk asal tetapi dinafikan di bumi sendiri. Kalau kita bukan namakan itu penganiayaan, apalagi nama yang sesuai supaya kita tergerak hati untuk membantu?

Ditanya apakah wujud penyelesaian mutlak untuk Palestin, Dr. Hafidzi mengakui, pihaknya senada dengan kumpulan atau pertubuhan lain yang berorientasikan membantu Palestin di dunia bahawa isu berkenan tidak akan selesai dalam tempoh setahun dua.

‘‘Ia memerlukan strategi jangka panjang dan kesepakatan dalam isu ini selain kefahaman. Dan natijah kepada kefahaman yang sama boleh menggerakkan usaha dalam upaya rakyat serta kerajaan demi menyelesaikan masalah. Itulah peranan yang cuba dimainkan oleh PACE sekarang.’’

Mudah kata, PACE diwujudkan bagi menjadi pusat kecemerlangan dan penyelidikan demi pembebasan Palestin.

Menjenamakan semula DPMM

MUKADIMAH

SEJARAH penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bermula dengan nama Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Semalaya (GDPMM) pada tahun 1956.

Selepas melalui beberapa kepimpinan bermula dengan Tengku Razaleigh Hamzah, nama DPMM akhirnya dimuktamadkan pada tahun 1994 apabila Tan Sri Azmi Wan Hamzah sebagai peneraju ketika itu mahu hanya perkataan perniagaan dikekalkan.

Pada peringkat awal penubuhannya, DPMM begitu berpengaruh sehingga suaranya bukan sahaja didengar, tetapi diterima oleh kerajaan dalam menggubal sebarang dasar dan program yang melibatkan pembangunan usahawan bumiputera. Pengaruhnya juga amat menyerlah di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, selepas era akhir 1990-an, DPMM dilihat begitu lesu dan tidak agresif lagi serta tidak begitu menonjol seperti semasa awal penubuhannya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NORAINI ABDUL RAZAK, Presiden DPMM yang baru dipilih, Syed Ali Alatas berkongsi visi untuk mengembalikan semula kecemerlangan DPMM.

Perjuangan Syed Ali untuk membangunkan usahawan Melayu bermula sejak April 1957 lagi berikutan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Johor di mana beliau sebagai pengurus Toko Alatas ketika itu turut bertanggungjawab mengasaskan DPMJ.

Soalan: Selepas dipilih sebagai Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), apakah visi Tuan Syed?

Syed Ali Alatas: Adalah menjadi keutamaan saya untuk cuba sedaya upaya mengembalikan kecemerlangan DPMM. Ini selaras dengan harapan semua anggota dan para usahawan Melayu di seluruh negara yang mahu DPMM menjadi sebuah institusi yang boleh dibanggakan dan dihormati di semua peringkat.

Saya mengatakan ‘mengembalikan kegemilangan’ kerana sepanjang fasa pertama penubuhannya, DPMM sememangnya cemerlang walaupun ketika itu kita bergerak dalam serba kekurangan.

Saya masih ingat semasa Kongres Ekonomi Melayu pertama pada tahun 1964, ahli-ahli DPMM sepakat menutup kedai atau perniagaan masing-masing semata-mata untuk memastikan mereka dapat hadir. Ketika itu DPMM diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketika itu kita ke Kuala Lumpur menggunakan duit sendiri, bas pun tak ada pendingin hawa, kami duduk beramai-ramai di hotel di Chow Kit. Namun semua kekurangan itu tidak menghalang kami untuk bersepakat mencari serta merangka agenda-agenda bagi membantu merancakkan ekonomi orang Melayu.

Semasa kongres pertama inilah lahirnya usul-usul yang mengagumkan seperti cadangan penubuhan Bank Bumiputra Malaysia, begitu juga usul menukar RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Walaupun ketika itu DPMM dianggotai oleh peniaga-peniaga kecil tetapi semangat untuk melihat bangsa Melayu maju menelurkan usul- usul seperti ini.

Ketika kongres kedua pada tahun 1968, jumlah keahlian DPMM bertambah kepada seratus lebih dengan kemasukan profesional seperti jurutera (pembantu teknikal ketika itu) dan beberapa orang akauntan.

Saya menjadi Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Johor ketika itu. Kita usulkan penubuhan Pernas dan Bank Pembangunan. Selepas itu diikuti dengan penubuhan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada tahun 1970-an. Ini adalah satu sejarah yang cukup membanggakan kita.

Semasa di bawah kepimpinan Tengku Razaleigh ini juga kita saksikan perubahan paling penting iaitu Presiden DPMM menerajui dewan-dewan perniagaan lain untuk misi perdagangan ke luar negara.

Saya pernah mengetuai delegasi ke Eropah di mana kita menjadi ketua rombongan bagi Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan India, Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia dan Dewan Perniagaan Antarabangsa.

Satu lagi kecemerlangan di arena antarabangsa ialah penglibatan DPMM dalam persidangan ekonomi Islam di Istanbul pada tahun 1976 yang dihadiri oleh lebih 40 negara Islam. Ketika itu Malaysia diketuai oleh Tengku Razaleigh namun beliau tidak dapat hadir dan saya sebagai Yang Dipertua DPMJ mewakili beliau.

Saya bangkitkan semua ini bagi membuktikan bahawa DPMM memang telah cemerlang baik di di negara sendiri mahupun di peringkat antarabangsa. Maknanya kita telah global dan dihormati

Di peringkat dalam negeri juga kita telah menubuhkan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan (NCCIM). Perlembagaan untuk penubuhan NCCIM kita gubal pada tahun 1974. Dalam perlembagaan semua dewan perniagaan akan bergabung dan duduk di bawah NCCIM. Satu persetujuan dicapai walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan iaitu sesiapa yang menjadi presiden DPMM secara automatik dilantik sebagai presiden NCCIM. Ia adalah sebagai tradisi menghormati dan budaya ini telah berjalan lebih 40 tahun.

Adakah tradisi ini masih dihormati memandangkan kebelakangan ini DPMM dilihat tidak lagi cemerlang?

Memang timbul masalah kebelakangan ini. Oleh kerana DPMM tidak lagi dihormati kerana kegagalan kita untuk berfungsi seperti sepatutnya, ahli-ahli yang bernaung di bawah NCCIM berpendapat NCCIM perlu distruktur semula. Mereka mencadangkan supaya jawatan presiden perlu digilirkan dan bukan lagi menjadi milik mutlak DPMM. Hasrat ini telah disuarakan sejak empat tahun lalu.

Apa punca timbul cadangan itu?

Ini kerana kita semakin lemah dan gagal menonjolkan fungsi kita terutama dari segi kepimpinan. Sekarang zaman berubah, kita juga berhadapan dengan cabaran-cabaran besar yang menuntut kreativiti dan inovasi. Di sebalik perubahan pesat, pucuk pimpinan DPMM masih menggunakan cara lama, tidak ada inovasi dan tidak bergerak. Ia langsung tidak seiring dengan perkembangan industri perniagaan yang semakin rancak. Jika kita masih mengekalkan cara lama dan tidak mahu membuat perubahan mengapa dewan-dewan perniagaan yang bernaung di bawah kita dan telah maju masih mahu duduk di bawah kita. Mereka mesti mempersoalkan mengapa kita mesti menjadi ketua.

Tentulah orang yang lebih maju tidak mahu dipimpin oleh orang yang ketinggalan. Justeru ini satu cabaran dan kita perlu pimpinan sekarang kembali kepada kecemerlangan supaya kita dihormati dan dipercayai untuk menjadi pemimpin baik di dalam negara mahupun antarabangsa.

Apa sebenarnya masalah yang membelenggu DPMM sehingga ia dilihat sebagai gagal melaksanakan program- program bagi membantu usahawan Melayu?

Pertamanya sebab cabaran baru. Usahawan dulu tidak ramai begitu juga dengan perniagaan dulu tidak kompleks macam sekarang. Dalam industri pembinaan misalnya dulu kita hanya buat rumah kecil sekarang ni kita buat bangunan pencakar langit, lebuh raya. Tetapi di sebalik perubahan itu macam saya katakan tadi kita masih mengendalikan aktiviti kita berasaskan kepada format lama.

Mengapa menggunakan pendekatan lama sedangkan DPMM dipimpin oleh cerdik pandai dan bukan calang-calang orang?

Kita bercakap mengenai kepimpinan. Katakan kita adalah tuan tanah yang berhasrat untuk membina bangunan. Sebagai tuan tanah kita mesti mencari arkitek, jurutera untuk memastikan bangunan itu siap dibina mengikut spesifikasinya. Sebagai tuan tanah kita mesti mempunyai visi mengenai bangunan yang ingin dibina dan komited dengan apa yang kita mahu.

Tetapi kalau tuan tanah duduk sahaja tanpa memikirkan visi tentang bangunan itu tentu sahaja arkitek pun tak akan memulakan kerjanya kerana tiada siapa yang hendak memimpin. Inilah keadaan kita.

Boleh saya simpulkan kepimpinan sebelum ini umpama beku dan tidak bergerak. Ada perkara yang kita lakukan tetapi segala-galanya menggunakan cara lama seperti hanya mengadakan seminar sedangkan hasrat kita adalah untuk melahirkan 100,000 usahawan.

Malah satu sebab DPMM gagal menonjolkan peranannya ialah kerana kepimpinan tidak faham dengan kehendak semasa.

Mengapa DPMM dibiarkan terlalu lama diterajui oleh orang tidak faham kehendak serta cabaran semasa?

Tradisi kita ada muzakarah dan kongres. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini pimpinan kita agak malas, kalau saya boleh cakap macam itu.

Kita bermesyuarat pun sekali sekala sahaja. Kalau kita bekerja lapan jam sehari, orang bijak laksana sekalipun akan bekerja enam jam. Tetapi kalau kita hanya bekerja setengah jam macam mana pandai pun tak cukup. Jadi bagi saya kita terlalu relaks sehingga tidak membuat apa-apa.

Justeru bagi saya dulu sepatutnya kita sentiasa lapan jam, tapi sebab kita tak buat sebegitu sekarang kita terpaksa buat 16 jam untuk kejar apa yang kita tertinggal.

Tadi anda tanya mengapa kita biarkan terlalu lama DPMM diterajui oleh orang seperti ini. Ini kerana kita ada perlembagaan. Perlembagaan kata mesyuarat agung setiap tiga tahun sekali, apa jadi pun kita kena tunggu tiga tahun, kita kena sabar. Jadi tiga kali sabar kita terpaksa menanggung semua ini selama sembilan tahun. Enam tahun dulu saya pernah cuba nak pinda perlembagaan ini tetapi gagal sebab orang lain tidak faham dan untuk memahamkan orang pun bukan kerja mudah.

Satu lagi orang Melayu suka memberi peluang kedua kepada orang lain, oleh kerana saya tidak boleh melihat keadaan ini berterusan saya cuba bertolak ansur dengan menjadi timbalan tetapi keadaan masih begitu sedangkan ahli-ahli DPMM mahu perubahan.

Tuan Syed menjadi timbalan, satu jawatan yang besar dalam DPMM, apa peranan Tuan Syed semasa itu?

Saya diberi peranan yang kecil iaitu membangunkan produk halal dan produk kampung. Saya juga mengendalikan portfolio pertanian dan asas tani. Portfolio ini rumit kerana kita kena pastikan setiap produk yang dihasilkan selain halal juga mempunyai nilai tambah supaya ia boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah saya berjaya menjalankan tugas apabila 80 peratus produk yang dihasilkan oleh usahawan Melayu yang saya selia kini berstatus global.

Selain itu, saya tidak mempunyai fungsi-fungsi lain. Dan ketika itu hanya portfolio saya yang bergerak manakala yang lain-lainnya beku tiada kepimpinan jauh sekali inovasi.

Saya tak diberi peluang untuk betul-betul memimpin bagi membetulkan keadaan dan kelemahan di situ.

Apa kelemahan-kelemahan lain yang Tuan Syed sebagai Presiden baru DPMM nampak dan mesti segera diperbaiki?

Saya berani katakan hampir semua portfolio yang ada tidak berjalan. Begitu juga dengan urus setia DPMM yang jelas tiada hala tuju, kakitangan kita tidak dilatih atau diberi kemahiran yang secukupnya. Mereka bagus tetapi tanpa latihan atau tunjuk ajar mereka tidak akan ke mana.

Itulah DPMM gagal menyerlah seperti- mana dewan-dewan perniagaan lain di dunia yang boleh dijadikan contoh. Perkembangan DPMM tidak seimbang langsung dengan pembangunan negara yang begitu pesat sehingga dikagumi oleh negara luar.

Kita lihat dewan perniagaan di Dubai sangat maju. Begitu juga di Istanbul sedangkan jika dibandingkan perdagangan kita pada tahun lepas iaitu RM1 trilion adalah lebih besar jika dibandingkan dengan Turki dan Pakistan. Tetapi kalau kita lihat Dewan Perniagaan Istanbul mempunyai bangunan 20 tingkat dengan staf lebih 300 orang. Mereka juga begitu cekap.

Apabila orang luar datang ke Malaysia mereka mengagumi Putrajaya, Koridor Raya Multimedia (MSC) dan menjadikannya contoh. Tetapi apabila melihat DPMM apa yang boleh dibanggakan?

Dubai atau Istanbul mungkin jauh sangat untuk dibuat perbandingan. Bukankah lebih tepat jika kita melihat Dewan Perniagaan Cina yang begitu maju dan bersungguh-sungguh untuk memajukan komuniti perdagangan mereka?

Saya mengaku kita terlalu jauh ditinggalkan. Dewan Perniagaan Cina mempunyai bangunan sendiri dan staf mereka juga bekerja keras untuk membina jenama mereka sendiri. Kita kena betulkan kelemahan kita. Sebab itu perancangan pertama saya ialah DPMM mesti mempunyai bangunan sendiri dan kita dah mulakan peringkat awal cadangan ini. Kita akan buat bangunan sendiri di Kuala Lumpur setidak-tidaknya 30 tingkat. Tanah telah dikenal pasti iaitu berdekatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekarang kita sedang berbincang mengenai tempoh pajakan yang pendek supaya dapat dipanjangkan. Kalau semua pihak menyokong dan tidak ada masalah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, semua ini akan menjadi kenyataan.

Sekarang pun sudah ada arkitek yang berminat dan mereka berlumba-lumba untuk mencurahkan idea semacam ada satu pertandingan untuk membina menara DPMM.

Setakat mempunyai bangunan yang hebat belum tentu DPMM akan menghasilkan program-program yang hebat juga. Bagaimana pula dengan kekangan sumber manusia?

Ya, sumber manusia adalah jentera penting kita. Sebelum ini kita tidak ada pegawai perhubungan awam sedangkan bagi orang berniaga kita mesti ada orang yang boleh menguruskan rangkaian kerja kita. Apatah lagi DPMM bukan sekadar berniaga. Kita bertanggungjawab kepada dewan-dewan perniagaan lain tetapi kita tidak ada pegawai perhubungan awam. Bukankah ini misteri pelik yang perlu diselesaikan segera.

Selain itu kita tidak ada jabatan pembangunan usahawan sedangkan tugas DPMM ialah membangunkan usahawan. Jadi selain merencanakan pembinaan menara DPMM saya telah mewujudkan Jabatan Perhubungan Awam yang diketuai oleh seorang pengurus supaya DPMM dapat bergerak secara terurus dalam usaha untuk membina jenamanya semula supaya bukan sahaja dikenali malah dihormati serta dijadikan tempat rujukan.

Saya juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Usahawan sebagai mekanisme untuk membangunkan golongan usahawan Melayu. Jabatan ini akan dilengkapi dengan pegawai-pegawai terlatih. Setiap negeri akan mempunyai pengurus pembangunan usahawan mereka sendiri. Mereka ini dilatih supaya cekap mengendalikan misalnya soal pinjaman, penyediaan kertas kerja dan hal ehwal berkaitan cukai.

Selain itu Jabatan Pentadbiran yang dulunya bersatu dengan Jabatan Kewangan dipisahkan untuk meminimumkan beban kerja staf di situ.

Dan paling penting kita wujudkan juga Jabatan Penyelidikan yang membuat kajian mengenai data perniagaan orang Melayu supaya mereka dapat dibimbing. Saya akan memastikan setiap data sentiasa dikemas kini dan perkara seperti ini telah berjaya kita lakukan di Johor melalui program Buku Kuning.

Lain-lain jabatan yang penting ialah penubuhan jabatan presiden yang akan menyelaraskan NCCIM serta segala aktiviti yang ada hubung kait dengan ASEAN Chamber of Commerce, International Islamic Chamber of Commerce yang kita sekarang ini adalah naib presidennya. Begitu juga dengan Majlis Perniagaan Ekonomi Melayu yang menaungi 47 persatuan ekonomi Melayu. Seperkara lagi ialah penubuhan Majlis Fikrah yang dianggotai oleh barisan pakar perdagangan antarabangsa.

Bagaimana pula dengan usaha melahirkan usahawan Melayu?

Visi kita ialah melahirkan 10,000 usahawan baru setiap tahun. Saya yakin usaha ini akan berjaya dengan kerjasama semua pihak termasuk institusi perbankan, agensi kerajaan, kementerian dan syarikat milik kerajaan.

Menjelang 2020 kita menyasarkan sekurang-kurangnya 150,000 usahawan Melayu dapat dihasilkan di mana mereka ini akan menguasai premis-premis perniagaan di seluruh negara terutama di bandar-bandar besar.

Saya percaya kita boleh buat semua ini dengan menstruktur semula mekanisme di dewan perniagaan seluruh negara dan visi ini hanya boleh dijayakan dengan adanya komitmen serta kesungguhan politik dan dasar-dasar kerajaan.

Apatah lagi kini terdapat kira-kira RM100 bilion di bank-bank yang tidak digunakan (unused fund) kerana bisnes yang semakin berkurangan dan kita hanya memerlukan RM50 bilion setahun untuk melahirkan 10,000 usahawan. Jadi semuanya ini bukan angan-angan kosong.

Apakah cabaran paling besar?

Visi kita mesti jelas, kita mesti faham apa sebenarnya isu-isu serta masalah-masalah yang menghalang kita daripada menjadi maju, mengapa program yang kita jalankan tidak berkesan, apa halangan kita untuk memajukan bangsa. Selepas faham baru kita boleh melaksanakan program yang lebih berkesan. Kita juga mesti memahamkan orang lain tentang visi kita supaya ada kerjasama di kalangan mereka untuk sama-sama menjayakan apa yang kita semua hasratkan. Jika orang tidak faham visi kita macam mana mereka hendak membantu atau sekurang- kurangnya menyokong program-program yang kita jalankan.

Paling penting ialah cabaran untuk menjadikan DPMM sebagai satu jenama yang disegani dan dihormati, sejajar dengan peranan kita sebagai payung kepada semua dewan perniagaan.

Wednesday, July 4, 2007

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG lega dengan saranan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi agar Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan badan pembekal maklumat kewangannya.

Saranan tersebut diharap dapat menjadi kenyataan. Awang percaya ia adalah penyelesaian terbaik bagi menamatkan kontroversi berhubung isu Credit Tip-Off Service (CTOS) Sdn. Bhd.

Sememangnya BNM berupaya mewujudkan sebuah badan yang boleh dipercayai untuk tujuan berkenaan kerana ia mampu mendapatkan maklumat tersebut.

Ketika ini pun, bank pusat itu melalui Central Credit Information System (CCRIS) memberikan maklumat berkaitan tanggungan pinjaman individu kepada bank.

Lagipun keyakinan orang ramai terhadap CTOS telah terhakis berikutan kontroversi itu. Makin banyak kes individu teraniaya disebabkan maklumat tidak cukup dan tidak dikemaskinikan.

Rupa-rupanya selama ini CTOS tidak diberi kuasa untuk memberikan maklumat peribadi individu kepada pihak lain termasuk bank.

Awang yakin kepentingan pengguna akan lebih terjamin menerusi peranan yang dimainkan oleh BNM.

Awang – Tahniah M. Kayveas.

Berterusan membanteras jenayah

Rencana Pengarang

ADA yang melihat langkah kerajaan mengumumkan lanjutan perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Mengejutkan kerana biasanya pengumuman untuk jawatan tinggi dan penting kerajaan seperti Ketua Polis Negara diumumkan di saat-saat akhir, iaitu apabila penyandangnya sudah menghampiri tarikh persaraan dan ada juga selepas bersara.

Namun, keputusan yang dibuat awal itu dilihat sebagai satu langkah bijak kerajaan bagi memastikan adanya kesinambungan dalam usaha memerangi jenayah dan rasuah yang semakin kompleks kini.

Keputusan awal itu juga akan membolehkan Musa meneruskan pelbagai agenda yang sudah dirancangnya dan pada masa yang sama, dapat mengelakkan masyarakat terutama pegawai polis daripada membuang masa ‘mencari’ pengganti beliau.

Sepanjang setahun menerajui pasukan polis, Musa telah memperlihatkan kewibawaannya dalam meningkatkan integriti pasukan itu dan memerangi jenayah habis-habisan termasuk jenayah terancang dan melibatkan orang kenamaan.

Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui meningkat sejak beliau menerajui pasukan itu dan ia adalah hasil usaha keras Musa dan pegawainya memerangi jenayah dan rasuah pada setiap masa.

Bagaimanapun, tempoh setahun tentunya tidak mencukupi untuk beliau memperlihatkan impak yang besar dan mengangkat martabat polis ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Melanjutkan perkhidmatan Musa juga bermakna kerajaan meyakini kemampuan beliau dalam mengurangkan kadar jenayah dan rasuah dan kini menjadi tugas beliau untuk membalas kepercayaan kerajaan itu dengan kejayaan.

Namun, Musa dan pasukan polisnya sukar untuk berjaya jika masyarakat bukan sahaja tidak memberikan kerjasama, malah lebih banyak mengkritik dan mencari salah.

Walaupun polis berusaha untuk memberikan yang terbaik tetapi tidak mungkin anggota polis boleh berada di setiap tempat pada setiap masa dan di sinilah peranan masyarakat membantu polis dengan memberikan maklumat.

Bagi pihak polis, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam mengurangkan kadar jenayah, antaranya ialah Rakan Cop dan memberikan nombor telefon bimbit pegawai polis kepada umum.

Rakyat perlu menyedari bahawa mereka adalah mangsa jenayah dan jika mereka tidak memberikan kerjasama, sukar untuk polis bertindak dengan lebih berkesan bagi melindungi mereka.

Orang seperti Musa yang terkenal dengan ketegasan dan komitmen tingginya boleh datang dan pergi tetapi seribu Musa pun tidak akan dapat membanteras jenayah sehingga ke tahap minimum tanpa adanya penyertaan masyarakat.

Lanjutan tempoh perkhidmatan Musa tidak akan bermakna tanpa sokongan dan kerjasama kita semua untuk membantu beliau.

Kesungguhan menangani krisis

Oleh MOHMAD SHAID TAUFEK

KRISIS banyak bentuk. Ada yang berulang dan ada yang berlaku sekali sahaja. Ada yang berlaku hanya ke atas diri seorang individu sahaja, ada yang mengena kepada sekumpulan kecil orang, dan ada yang melibatkan kumpulan orang yang besar bilangannya.

Ada krisis terjadi akibat daripada perbuatan sendiri yang tidak senonoh atau kerana tidak berbuat sesuatu yang perlu. Ada juga yang sengaja diada-adakan oleh orang-orang tertentu bagi mencapai sesuatu maksud ke atas orang lain.

Dalam kebanyakan kes, mereka yang dilanda krisis itu mendapat tahu mengenainya hanya selepas krisis itu menimpanya, tidak sebelumnya. Di kala itu semuanya telah terlewat dan keadaan sangat kacau. Jika bertindak panik maka keadaan akan menjadi lebih parah. Dalam banyak keadaan, krisis itu akan terus mengganas hingga ke penghujungnya dan menimbulkan krisis-krisis sampingan yang menjadikan usaha untuk mengatasi krisis keseluruhannya lebih sukar.

Kerana krisis tidak mudah dijangka bila akan berlaku, maka usaha untuk mengatasinya juga menjadi sukar.

Tetapi tidak begitu halnya dengan krisis yang boleh diramal kemungkinannya berlaku. Bagi krisis bentuk ini, persediaan bagi menghadapinya boleh dibuat. Jika segala persediaan telah dibuat dan langkah-langkah menangani krisis telah diambil, nescaya musibah daripada krisis itu sekurang-kurangnya akan dapat dibendung atau dikurangkan. Di sebaliknya, jika setiap kali krisis yang serupa itu berulang dan setiap kali itu jugalah kelihatan gelagat dan gamat yang sama seolah-olah krisis itu berlaku bagi kali pertama dalam pengalaman hidup, maka tentulah banyak perkara boleh menjadi tanda tanya.

Tindakan-tindakan bagi menghadapi krisis yang berulang ini memerlukan pemerhatian dan pemikiran yang mendalam serta langkah-langkah yang tepat lagi teratur. Ia tidak mencukupi hanya dengan turut berasa sedih atau terharu dan sekonyong-konyong menjadi sibuk tidak menentu setelah krisis berlaku. Pemerhatian perlu berfokus dan menjurus menepati kepada isu dan masalah yang berkaitan.

Pemikiran yang serius dan kritis perlu mendasari sebab akibat yang tulen merangkumi keadaan persekitaran dan tabiat serta amalan hidup manusia yang mendiami daerah geografik yang berkaitan.

Begitu juga dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil; ia perlu dilihat dari aspek-aspek ketepatan dan praktikalitinya, kesungguhan perlaksanaannya dan penguatkuasaan yang tidak boleh dikompromi. Jika diamat-amati, krisis-krisis yang berulang telah pun sedia mempunyai cara dan rangka tindakan bagi menghadapinya yang boleh diterima pakai atau diubah suai, atau setidak-tidaknya diteladani. Tanpa melihat kebelakangan maka peristiwa-peristiwa dan pengalaman terdahulu menjadi seperti angin yang berlalu sahaja.

Persediaan untuk menghadapi krisis memerlukan sekurang-kurangnya tiga bentuk tindakan; iaitu, pertama, mengadakan pelan tindakan untuk bersedia menghadapi krisis yang dijangka akan berlaku; kedua, tindakan masa kini bagi mengurang atau menghindarkan kesan krisis tanpa mengira krisis itu akan berlaku ataupun tidak; dan, ketiga, mengesan dan menyenggara sepenuhnya langkah-langkah yang dilaksanakan di peringkat kedua.


Langkah

Langkah yang kedua ini sama pentingnya dengan yang pertama. Langkah yang ketiga itu menjadi terlebih penting dalam keadaan di mana pembinaan prasarana utama pembendungan krisis berkala, jika ada, didapati belum siap atau siap dengan tidak sempurna.

Tidak ada gunanya jika ada cukup peralatan tetapi ia tidak dapat digunakan pada saat-saat kritikal dan amat memerlukan. Tidak ada gunanya kehadiran orang-orang kenamaan tertentu jika bantuan keperluan penting tidak dapat dikeluarkan dengan serta-merta. Kesannya akan mengeruhkan lagi keadaan daripada menenteramkan. Perlu ada prosedur tindakan asas terutama sekali bagi krisis yang dijangka berulang. Prosedur ini juga tidak mencukupi melainkan dikemaskinikan dari semasa ke semasa dan dilakukan latihan serta raptai yang berkenaan secara berkala. Ketidaksediaan akan hanya menimbulkan tindakan-tindakan yang tidak menentu, kelam-kabut dan menambahkan krisis kepada krisis yang sedang berlaku.

Jika mahu benar-benar berkesan dalam menghadapi sesuatu krisis, urusan yang berkaitan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada pegawai bawahan tanpa mereka benar-benar memahami akan keperluan, sistem, prosedur dan tanggungjawab serta komitmen yang terlibat. Tidak memadai dengan hanya mengeluarkan perintah sekali-sekala atau tatkala krisis telah melanda dan cuba mencari-cari helah di pihak lain sedangkan isu pokok yang berkaitan tidak benar-benar difahami dan pengesanan tidak dilakukan sepanjang waktu.

Dalam keadaan yang begitu kacau adalah menjadi harapan supaya tidak ada orang-orang yang duduk dalam keadaan bertanggungjawab pura-pura tidak tahu dan bergantung atau berlindung kepada bosnya, atau mencari-cari justifikasi di pihak lain. Mereka yang bijak dan benar-benar bertanggungjawab akan bertindak dengan berani, cekal dan sungguh-sungguh dalam menghadapi krisis walau bagaimana pahit sekalipun keadaannya.

* DATUK MOHMAD SHAID TAUFEK ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Prestasi enam bulan PIPP

Oleh WAHID HASHIM (WARTAWAN UTUSAN)



Hishammuddin Tun Hussein menunjuk kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

SEPAK mula pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) bermula 16 Januari lalu, dan prestasi enam bulan pertama telah dicatatkan dalam kad laporan sulungnya yang diumumkan pada sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Kalau diteliti kad laporan itu, tiada yang bertanda dengan dakwat merah. Semuanya biru.

Bukan kerana ‘guru besarnya’, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terlalu berlembut ketika memberi ‘markah’, tetapi kerana keberkesanan strategi, komitmen serta kempen pelaksanaan yang tersebar luas melalui media, sejak awal tahun ini.

Banyak perubahan yang telah berlaku, tetapi semuanya tetap terikat kepada semangat toleransi dan permuafakatan semua pihak.

Contohnya, tiada polemik perkauman dalam konteks memperkasa sekolah kebangsaan sejak 16 Januari.

Hal ini mungkin kerana tindakan pantas Hishammuddin dan timbalannya menempatkan sembilan buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan yang padat dengan masyarakat Cina, serta meluluskan dua buah sekolah baru.

Hishammuddin ketika mengumumkan prestasi enam bulan PIPP, melahirkan rasa puas hatinya dengan pencapaian sepanjang enam bulan itu.

Walau Menteri Pelajaran itu mengakui bukan semuanya ‘lulus 100 peratus’, tetapi beliau gembira kerana semua projek telah menunjukkan petunjuk indeks prestasi yang memberangsangkan.

Kata Hishammuddin: ‘‘Kita ada agenda tertentu yang boleh kita mara ke hadapan dengan cepat, ada agenda tertentu yang memerlukan lebih masa.”

Secara jujur, masih terlalu awal untuk menyatakan kejayaan atau kegagalan PIPP.

Namun begitu, dengan langkah mengumumkan prestasi kerja PIPP dan pencapaiannya secara terbuka, maka Hishammuddin dan pasukan kerjanya telah melaksanakan kebijaksanaan politik dalam melaksanakan perkara yang rumit.

Semua pihak tahu, dan boleh bercakap tentangnya.

Kad laporan itu menerangkan secara amnya pencapaian Kementerian Pelajaran sejak pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sehingga Jun 2007 yang meliputi tiga aspek utama iaitu i) pembangunan infrastruktur, ii) penggubalan dasar baru dan penambahbaikan dasar sedia ada serta iii) laporan tentang program yang dilaksanakan dan pencapaian sejak PIPP dilancarkan sehingga 2007.

Secara keseluruhannya, kad laporan PIPP ini masih menekankan aspek asas dalam pendidikan - agenda yang perlu disegerakan.

Sebab itulah, memang wajar kalau Hishammuddin menyebut dalam sidang akhbar itu bahawa perkara asas yang paling susah dan perlu ditangani secara bersungguh-sungguh ialah melengkapkan kemudahan asas di luar bandar.

Kemudahan asas itu meliputi isu bekalan elektrik dan air, kemudahan kepada guru, prasarana fizikal seperti bangunan sekolah, rumah guru dan sebagainya.

Hal ini menunjukkan kementerian itu telah berada di landasan yang betul, dengan niat yang betul.

Projek-projek lain seperti projek kecemerlangan sekolah dan sekolah showcase - seperti penubuhan sekolah kluster - lebih mudah untuk dilaksanakan dan belum perlu disegerakan, kata Hishammuddin.

Tradisi

‘‘Tradisi membela pelajar luar bandar dan pedalaman seperti penyediaan kemudahan asas iaitu bekalan air dan elektrik terus menjadi dasar utama PIPP,” tegasnya.

Beberapa penyelesaian cuba dicari.

Kuasa hibrid solar-diesel merupakan perkara baru bagi menggantikan set generator (gen-set) dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Kalau tidak dapat dibina bangunan sekolah, kabin menjadi galang ganti bilik darjah di kawasan yang mempunyai kemudahan persekolahan tetapi kurang murid.

Selain itu, guru pedalaman menerima habuan elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan (EKMLTK) tambahan sehingga RM1,500 mulai gaji bulan Mei ini.

Sebanyak 12,033 guru dikenal pasti menerima elaun itu.

Semua sekolah daripada semua aliran menerima agihan sama rata dan sama rasa.

‘‘Tumpuan kita adalah kepada tiga aspek, pertamanya aspek pembangunan infrastruktur, dan kedua, pembangunan infrastruktur yang disandarkan dengan dasar yang mantap dan kukuh.

Aspek ketiga pula, katanya, kementerian melaksanakan enam teras PIPP itu mengikut bulan.

Setiap bulan mempunyai keutamaan dan fokusnya sendiri.

Dari segi infrastrukturnya, Hishammuddin memberitahu, sehingga Jun 2007, projek baru RMK-9 yang siap dan sedang dibina ialah 4,639 yang merupakan 27.7 peratus daripada apa yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran.

‘‘‘Saya anggap angka ini memuaskan dan mengikut jadual atau indeks prestasi (KPI) yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berharap pembangunan infrastruktur mendesak yang diberi keutamaan, akan terus diberi keutamaan.

‘‘Usaha untuk melihat kepada aspek tertentu yang penting seperti pendidikan khas, sekolah di luar bandar, sekolah yang memerlukan penaikan taraf adalah yang akan dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Hishammuddin, kerajaan tidak menidakkan kewujudan aliran pelbagai dalam sistem pendidikan.

Dalam kad laporan itu, turut dinyatakan bentuk bantuan yang telah disampaikan kepada sekolah pelbagai aliran.

‘‘Kita melihat kepelbagaian aliran ini menjadi sumber kekuatan kerana kita melihat kepelbagaian dalam dunia pada hari ini merupakan satu kekuatan,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, penambahbaikan dasar sedia ada dan baru turut disenaraikan dalam laporan tersebut.

Katanya, hampir kesemua 27 nota dan memorandum telah ‘dihadamkan’ dan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Fokus kepada keenam-enam teras dilakukan mengikut bulan tertentu. Walau bagaimanapun, laporan setengah tahun ini hanya sempat bagi pelaksanaan empat teras.

Teras pertama, iaitu merapatkan jurang pendidikan telah dilancarkan pada Februari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bulan Mac berfokus kepada teras pembestarian sekolah dengan penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.

Bulan Mei tertumpu kepada usaha memartabatkan profesion keguruan.

Pada Jun, pihak kementerian meletakkan pembangunan modal insan dengan tumpuan khas kepada bidang kokurikulum.

Pada bulan ini, fokus Kementerian Pelajaran adalah kepada pembangunan negara bangsa, dengan tumpuan kepada sukan.

‘‘Jadi, untuk memberi laporan terperinci kepada keenam-enam teras ini, saya rasa tidak adil.

‘‘Saya harap pada hujung tahun ini, kad laporan akan dapat merangkumi enam teras itu,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya, tegas beliau, dengan laporan itu, apa yang dijanjikan oleh pihaknya telah ditunaikan secara telus dan terbuka.

Bagi beliau, Kementerian Pelajaran sekarang ini berada pada landasan yang baik untuk melaksanakan PIPP.

Beliau menambah, walaupun laporan itu tidak perlu dibentangkan kepada Parlimen, tetapi dokumen tentangnya telah diedarkan semua wakil rakyat.

Oleh itu tiada sebab untuk laporan ini tidak dibaca oleh wakil rakyat.

Laporan itu juga boleh dibaca di laman web Kementerian Pelajaran.

Berhubung fokus setiap bulan bagi terutama yang telah dilalui dan dilaksanakan sehingga Jun 2007, beberapa tindakan telah dilakukan.

Pertama, bagi merapatkan jurang pendidikan, kementerian itu menerima tambahan sebanyak RM2.6 bilion untuk pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

‘‘Kita juga telah mencapai persetujuan untuk memberi elaun khas pedalaman antara RM500 sehingga RM1,500 berdasarkan jarak dan tahap kesulitan guru.

Kedua, bagi usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, kementerian itu telah memilih 30 buah sekolah (daripada 300 buah sekolah) dalam kelompok masing-masing untuk diberi autonomi ke dalam bidang yang khusus supaya dapat menjadi sekolah contoh dan showcase di peringkat antarabangsa.

Bagi fokus pembestarian sekolah, pihak kementerian telah melengkapkan sekolah dengan infrastruktur dan perkakasan, perisian dan aplikasi serta latihan guru.

Bagi program ini, kita berharap pisang tidak berbuah dua kali, dan belajar daripada kesilapan program pembestarian sebelum ini.

Keempat, bagi usaha memartabatkan profesion keguruan, Kementerian Pelajaran telah memantapkan latihan perguruan dengan menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membolehkan penganugerahan ijazah kepada lepasan IPG.

Kelima, bagi usaha membangunkan modal insan yang bertumpu kepada gerakan memperkasa kokurikulum, pihak kementerian memperkenalkan borang penilaian yang standard bagi meminimumkan ketidakseragaman pemberian markah kokurikulum kepada pelajar untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Seperti yang dijanjikan sewaktu pelancaran PIPP, Kementerian Pelajaran telah pun mengotakan janjinya akan bersikap telus, accountable dan memegang integriti yang tinggi kerana jumlah peruntukan yang begitu besar kepada kementerian perlu dibentangkan dari semasa ke semasa.

Hal ini sedemikian supaya orang ramai memahami bagaimana peruntukan digunakan.

Kita berharap kad laporan PIPP ini akhirnya akan memberi kesan yang realistik kepada murid dan pelajar, dalam erti kata lain, kad laporan murid dan pelajar juga tiada yang bertanda dakwat merah dalam RMK-10.

Tuesday, July 3, 2007

Selesaikan segera isu CTOS

Pendapat

LETUSAN tindak balas seminggu dua ini daripada pembaca berhubung isu CTOS Sdn. Bhd., yang dilabel sebagai telah menganiaya rakyat Malaysia kerana memberi maklumat kredit tidak tepat saya simpulkan amat menarik.

Kenyataan demi kenyataan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas serta peringatan kepada CTOS oleh Timbalan Perdana Menteri supaya syarikat penyedia maklumat kredit itu menyalurkan maklumat kewangan terkini.

Saya mengetuai jabatan kredit di sebuah syarikat perdagangan yang disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia yang mengguna khidmat CTOS Sdn. Bhd. sejak tahun 2002. Dalam penilaian kredit kepada bakal pelanggan, rekod kredit yang baik menjadi antara syarat-syarat yang perlu dipertimbang. Di sebalik borang permohonan dan kertas kerja yang dihantar oleh bakal pelanggan, kami cuba memperoleh maklumat dari sumber lain.

Membincangkan pengertian kredit runcit (retail credit) secara umum di negara kita ia boleh dibahagi kepada dua iaitu pinjaman dalam bentuk wang ringgit seperti pinjaman perumahan dan pembiayaan kereta atau kad kredit. Kedua, dalam bentuk perkhidmatan atau barang yang dibekal seperti talian telefon, pembelian perabot juga perkakasan elektrik.

Erti kredit institusi (institusional credit) adalah hampir sama seperti runcit namun ia ditawarkan oleh bank atau institusi kewangan dan syarikat-syarikat perdagangan kepada sesebuah entiti yang sah. Syarat kelayakan untuk mendapat kredit adalah mengikut prosedur syarikat masing-masing.

Untuk syarikat perdagangan yang beroperasi bukan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan maklumat kredit bakal pelanggan tidak boleh diakses menerusi Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS). Tidak dinafikan, maklumat kredit di CCRIS adalah terkini kerana semua bank dan institusi kewangan dihubung secara dalam talian. Dalam bahasa yang mudah, khidmat CCRIS hanya untuk bank dan institusi kewangan.

Maklumat dalam borang permohonan kredit dan kertas kerja sudah terisi tetapi bagaimana pula justifikasi? Prosedur kami, risiko kredit perlu berada di paras minimum dan tahap keupayaan kredit bakal pelanggan perlu dikaji dan salah satu sumber adalah menerusi CTOS Sdn. Bhd. Banyak kes yang kami simpulkan sebagai klasik kerana berjaya mengesan permohonan kredit oleh syarikat dan individu yang mempunyai tahap kredit tidak sihat.

Contoh menarik ingin dikongsi bersama pembaca iaitu ketika seorang individu datang memohon kredit tetapi namanya (sebagai penjamin) telah disenarai di CTOS berikutan baki pinjaman peribadi sebanyak RM3,000 tidak dijelaskan oleh peminjam. Secara sinis beliau menjelaskan bahawa tiada masalah bagi dirinya disenarai hitam dan berharap orang lain tidak lagi meminta beliau menjadi penjamin yang kemudiannya menghilangkan diri tanpa menjelaskan hutang.

Di peringkat awal sebelum CTOS dilanggan, jaminan diberi bahawa maklumat bersumber kepada gazet-gazet kerajaan dan iklan-iklan notis kebankrapan, lelongan dan notis penyampaian ganti yang disiarkan di akhbar-akhbar setelah mendapat perintah mahkamah. Kepada pembaca, jika konsistensi maklumat yang diberi CTOS adalah isu utama, kini ia bukan lagi.

Umum tidak mengetahui bahawa ada dua lagi produk CTOS yang disediakan iaitu CTOS Enhanced Database atau CED dan Electronic Trade Reference atau eTR. Saya bukan ingin membuat publisiti percuma untuk CTOS, sekadar ingin berkongsi dengan pembaca bahawa ini adalah khidmat yang khusus untuk pelanggan mereka.

Hasil daripada khidmat CTOS seperti tersebut di atas, sejumlah hutang lapuk telah dipulihkan dan ini adalah angka untung kepada sesebuah syarikat perdagangan.

Masalah yang dihadapi sebagai pelanggan CTOS ialah kualiti maklumat yang tidak dikemas kini dari masa ke masa. Penjelasan CTOS berhubung perkara ini mudah diterima dengan alasan kurangnya iklan melucut status bankrap diterbitkan oleh pihak-pihak berwajib.

Kenyataan oleh Presiden FOMCA yang disiar di ruangan Forum terbitan 2 Julai 2007 bahawa bakal peminjam (yang gagal dapat pinjaman) dibebankan kerana perlu mengemas kini maklumat kepada biro maklumat kredit seperti CTOS walhal ini bukan tanggungjawab mereka, perlu diperjelas supaya tiada cerita “Bangau oh Bangau” selepas ini.

Diharap lawatan 10 Julai 2007 oleh pegawai dari peringkat kementerian dan penguat kuasa undang-undang dapat merungkai kekeliruan dan kekusutan polemik yang wajarnya ditangani secara seimbang demi kemakmuran ekonomi negara.

– NAZA HASAN,

Cheras, Kuala Lumpur.