Oleh Ku Seman Ku Hussain
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) ditubuhkan 32 tahun lalu sementara Dasar Dadah Negara diwujudkan pada 1983 kemudian strategi baru Dasar Dadah Negara diluluskan pada 1996.
Kita juga mempunyai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Ini menunjukkan usaha memerangi dadah bukan perkara baru.
Menurut statistik Pemadam, tahun lalu mencatatkan 22,811 penagih dadah baru yang datang dari pelbagai latar belakang. Satu statistik lain pula mencatatkan 289,763 penagih dikesan mulai 1988 hingga 2005. Secara perbandingan jumlah ini adalah satu peratus daripada populasi penduduk negara ini.
Statistik ini tentunya sangat menggerunkan dan membuatkan kita semua kurang yakin dengan matlamat untuk menjadikan tahun 2015 sebagai tahun bebas dadah.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini kurang berjaya apabila jumlah tangkapan meningkat tahun demi tahun.
Kata Perdana Menteri, keadaan sekarang amat kritikal dan antara langkah yang perlu dilakukan ialah menilai semula Dasar Dadah Negara dengan membuat penambahbaikan ke atas dasar itu.
Kebimbangan Perdana Menteri terhadap pertambahan penagih ada asasnya. Ini kerana secara purata penagih bertambah 3,600 orang sebulan atau 12 penagih sehari atau seorang penagih baru pada setiap dua jam.
Mengikut formula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya seorang penagih berdaftar bagi setiap lima orang penagih. Kalau mengikut formula itu sekarang kita mempunyai lebih sejuta penagih dadah. Kita boleh saja menolak formula PBB itu.Tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa program pemulihan dadah di negara ini gagal mencapai matlamat yang sepatutnya.
Program pemulihan dadah di negara ini bukan saja gagal mengecilkan jumlah penagih baru tetapi gagal memastikan bekas penagih kembali menagih selepas keluar dari pusat-pusat pemulihan. Buktinya daripada 36,996 penagih yang dikesan menerusi Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi) AADK, 16,802 daripadanya adalah penagih berulang.
Apakah ini disebabkan oleh modul pemulihan yang tidak berkesan atau tidak ada keseriusan kalangan yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah sosial yang paling besar ini? Tentunya sangat tidak adil untuk mempersoalkan keseriusan kerajaan terhadap permasalahan penagihan dadah di negara ini.
Kerajaan telah membelanjakan tidak kurang RM1 bilion dalam masa 20 tahun lalu ataupun sejak Dasar Dadah Negara diwartakan pada 19 Februari 1983. Jumlah RM 1 bilion ini boleh dibelanjakan untuk banyak tujuan lain sekiranya negara tidak menanggung 11,150 penagih pada satu-satu masa di 28 pusat serenti di seluruh negara.
Ini menunjukkan kerajaan sangat serius penagih yang membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk membeli dadah. Kerana itu pihak yang dipertanggungjawabkan membanteras penagihan dadah perlu lebih pragmatik mendepani gejala ini.
Dua tahun lalu kerajaan mengambil langkah drastik apabila komandan di 28 pusat serenti seluruh negara diisi oleh pegawai polis yang berpangkat asisten komisioner (ACP). Langkah drastik ini dibuat ekoran kegagalan sesetengah komandan AADK mendisiplinkan pelatih di pusat-pusat serenti.
Tidak lama dulu tercetus kontroversi apabila ada pelatih di pusat serenti boleh keluar membeli-belah tanpa diambil tindakan yang sewajarnya. Ini belum lagi kes melarikan diri yang kerap berlaku di pusat-pusat serenti. Semua ini membayangkan betapa tidak seriusnya perlaksanaan program pemulihan dadah di negara ini.
Sekalipun penagih dadah dengan mudah ditemui berkeliaran di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, itu sebenarnya bukanlah isu lama. Malah itu juga bukanlah “pemandangan biasa” yang mewajarkan kita semua tidak serius mencari jalan membanteras sikap buruk mereka. Penagihan dadah tidak pernah menjadi isu lama.
Stigma
Kegagalan memulihkan penagih dan memastikan mereka tidak berpatah balik ke dunia lamanya memberikan stigma kepada bekas penagih yang lain.
Di negara ini, kesan penagihan dadah bukan saja membuatkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM1 bilion dalam masa 20 tahun. Sebaliknya penagihan dadah memberikan permasalah sosial yang sangat kronik. Di mana-mana negara sekalipun, penagihan dadah akan memberikan kesan sosial yang menyeluruh kepada masyarakat.
Masalah sosial yang tercetus bukan sekadar mencuri kasut di pintu masjid, meragut atau menjadi penjaga kereta haram. Masalah yang lebih serius ialah penagih menjadi ejen penularan virus HIV melalui jarum suntikan.
Kerana itu program pemulihan dadah perlu dimantapkan supaya ia benar-benar memulih dan mengembalikan bekas penagih kepada masyarakat. Sekiranya gagal, ia bukan saja memberi kesan kepada penagih tetapi kepada masyarakat seluruhnya.
Statistik ini barangkali boleh menjelaskan betapa bahayanya penagih dadah kepada negara. Daripada 58,012 pembawa HIV yang dikesan sejak 1986 hingga 2003, 43,891 adalah penagih yang menggunakan jarum suntikan dan hanya 7,498 penagih pembawa HIV menerusi hubungan heteroseksual. Ini bermakna penagih dadah adalah penyumbang terbesar kepada HIV dan seterusnya AIDS.
Jangan lupa statistik HIV dan AIDS di negara ini juga sangat menggerunkan. Ketika ini secara purata dalam sehari tiga pesakit AIDS meninggal dunia dan 19 orang lagi menjadi pembawa HIV positif.
Maka dalam apa keadaan sekalipun, program pemulihan dadah adalah faktor yang boleh mengubah senario sosial dan ancaman virus maut di negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment