Oleh Khairuddin Mohd. Amin dan Amran Ahmad
SATU kenyataan yang tidak dapat dinafikan bahawa setiap penduduk di negara ini sama ada daripada berpendapatan rendah hinggalah mewah, kini menikmati manfaat subsidi daripada sumber petroleum.
Malah dari setahun ke setahun, jumlah subsidi yang disediakan kerajaan menjadi semakin besar, sedangkan apa yang tidak disedari ialah nikmat itu bakal tiada lagi pada masa depan berikutan hasil perut bumi negara, minyak dan gas, semakin berkurangan.
Melihat kepada perkembangan yang ada, mungkin sewajarnya pengagihan subsidi diteliti semula untuk memastikan sama ada ia telah dilakukan dengan cekap dan adil supaya memanfaatkan golongan yang benar-benar memerlukan khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Untuk mencapai matlamat itu, negara perlu mempunyai mekanisme pengagihan subsidi yang lebih baik dan cekap. Tidaklah salah untuk mengkaji semula apa yang ada sekarang kerana tiada apa yang sempurna dalam dunia ini.
Secara sedar ataupun tidak, pengagihan yang diguna pakai ketika ini mempunyai kelemahan ketara sehingga gagal memastikan pemberian subsidi dibuat secara adil dan sampai ke tangan yang berhak.
Bayangkan kerajaan telah menghabiskan berbilion-bilion ringgit untuk menyediakan subsidi minyak, tetapi nikmat itu yang sepatutnya dirasai hanya oleh mereka yang berpendapatan rendah, turut dikecapi juga oleh individu kaya yang mampu memiliki dua atau tiga buah kereta mewah.
Contohnya, seorang individu dengan sebuah kereta Kancil hanya menggunakan minyak 30 liter sahaja tetapi seorang yang memiliki tiga buah kereta BMW, kesemuanya akan menggunakan 270 liter. Malangnya harga seliter minyak yang dibayar adalah sama.
Begitu juga dengan peniaga makanan, hampir mustahil untuk mendengar mereka menurunkan harga sedangkan gas yang digunakan itu adalah diberikan subsidi. Sebaliknya apa yang lebih jelas kedengaran perlunya mereka menaikkan harga. Sikap yang sama juga ada pada para penggerak industri di negara ini.
Satu ketika dahulu, mekanisme yang sedia ada mungkin relevan dengan dasar kerajaan untuk memajukan industri pengilangan dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, tetapi setelah negara berkembang maju, pendekatan baru amat perlu.
Penentu
Pemberian subsidi bukan hanya penentu kemasukan FDI ke negara ini sebaliknya banyak faktor lain yang perlu diambil kira oleh pelabur seperti kestabilan politik, modal insan, infrastruktur dan serta insentif berbentuk pengurangan cukai yang juga boleh mengurangkan kos perniagaan.
Satu contoh lain yang boleh kita renung, golongan nelayan terpaksa membayar lebih tinggi daripada para pengilang sekiranya diesel yang dijual pada harga sebanyak RM1 seliter ditukar kepada BTU (British Thermal Unit), ukuran yang digunakan bagi gas.
Pada masa ini, firma pengilangan yang menikmati kemudahan subsidi gas hanya membayar RM12 dalam BTU sedangkan nelayan terpaksa membayar RM26.84 dalam BTU.
Selain itu, sektor perkilangan yang seharusnya menyumbang kembali lebih banyak faedah kepada negara kerana mendapat subsidi gas, juga secara tidak langsung menyalurkannya ke luar negara.
Sememangnya ironi sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia secara tidak langsung telah memberi ‘subsidi’ kepada negara-negara maju di benua Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melalui produk-produk yang dijualnya.
Melihat kepada faedah yang diraih daripada gas ternyata murah selepas subsidi berbanding diesel, sektor perkilangan beralih kepada bahan api berkenaan, sekali gus menyebabkan penggunaan gas dalam negara meningkat sebanyak 39 peratus. Persoalannya adakah rakyat negara ini mendapat faedahnya?
Sehubungan itu, kita perlu melihat semula kepada struktur pemberian subsidi yang digunakan ketika ini bagi memastikan hasil yang diperoleh dari sumber bumi Malaysia dinikmati oleh penduduknya dalam erti kata yang sebenarnya.
Pemberian subsidi tanpa dikawal juga boleh menyebabkan tenaga digunakan secara tidak efisien, atau dengan erti kata lain pembaziran boleh berlaku.
Meskipun sektor pengilangan tempatan menjadi tulang belakang serta pemacu enjin pertumbuhan ekonomi negara, namun subsidi yang diterima wajarlah berpatutan agar tidak berlaku pembaziran dan tidak boleh dijadikan faktor utama dalam meningkatkan daya saing negara.
Lebih mengejutkan lagi, para pengeluar tenaga bebas (IPP) yang meraih pendapatan bernilai berbilion ringgit setahun hasil pembelian tenaga oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mendapat manfaat daripada subsidi gas sebanyak RM28 bilion daripada sejumlah RM58 bilion subsidi keseluruhan yang diberikan.
Jika difikirkan secara mendalam, wajarkah subsidi sebegitu banyak yang diberikan oleh kerajaan hanya dinikmati oleh sembilan IPP di negara ini sedangkan rakyat negara ini hanya berkongsi menikmati bakinya.
Jumlah RM28 bilion adalah suatu angka yang sangat besar dan mampu membiayai pelbagai projek pembangunan negara seperti pendidikan, pengangkutan awam, perumahan dan sebagainya.
Negara mempunyai sembilan IPP yang bernaung di bawah lima syarikat konsesi iaitu YTL Power Generation, Malakoff Bhd., Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen.
Berdasarkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) semasa, TNB terpaksa membayar lebih RM3.3 bilion setahun kepada IPP terbabit tanpa mengira sama ada kapasiti elektrik digunakan sepenuhnya atau tidak.
Sehubungan itu, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan sememangnya terdapat banyak kelemahan dalam sistem pemberian subsidi ketika ini yang mana penyaluran manfaatnya masih tidak sampai kepada kumpulan sasaran, malah mereka yang menikmati subsidi pula tidak menyalurkannya kepada masyarakat umum.
Persoalannya sampai bila subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat biasa dalam pelbagai bentuk kemudahan perlu disalurkan kepada golongan yang mampu membayarnya pada harga yang lebih mahal.
Sumber perut bumi - minyak dan gas - bukannya bersifat kekal tetapi akan kehabisan dan keupayaan kita untuk mempergunakan hasil yang diperoleh secara optimum akan memastikan hanya mereka yang benar-benar berhak mendapat faedahnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment