Monday, July 2, 2007

Amalan nasi tambah oleh kuasa besar

KETIKA bertugas dulu satu perkara yang paling tidak disukai ialah amalan nasi tambah. Yang dimaksudkan dengan nasi tambah ialah menjemput seseorang ke majlis yang dianjurkan di saat-saat akhir bagi menggantikan tetamu yang tidak dapat memenuhi jemputan.

Tetamu kategori nasi tambah ini dijemput semata-semata untuk memenuhi kerusi kosong supaya majlis tidak cacat. Tetamu sebenarnya menyedari tentang hakikat ini. Pertama kad jemputan dihantar di saat-saat akhir ada kalanya sehari sebelum majlis. Sementara tetamu-tetamu lain menerima jemputan lebih awal.

Menjemput secara nasi tambah memberi implikasi kurang baik. Pertama, dianggap sebagai tidak penting dan kedua, ia menggambarkan keadaan hubungan dua hala antara dua negara berkenaan.

Sebenarnya amalan nasi tambah ini juga melibatkan hubungan antarabangsa dalam skop yang lebih luas. Antaranya keanggotaan di dalam sesuatu pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan serantau.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan 198 negara hanya lima kuasa besar yang benar-benar berkuasa. Selebihnya tak ubah macam nasi tambah. Sekadar memenuhi kerusi.

Sebagai negara merdeka setiap negara adalah setaraf dan patut diberi layanan yang sama. Namun hakikatnya terdapat perbezaan antara negara-negara kaya dengan negara-negara miskin begitu juga dengan kuasa-kuasa besar dan negara-negara kecil.

Begitu juga dalam hubungan dialog antara pertubuhan-pertubuhan serantau umpamanya ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU). Mesyuarat yang sepatutnya membincangkan isu-isu untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan telah dijadikan forum untuk menekan ASEAN dalam isu-isu yang tidak ada kena-mengena dengan isu pokok.

Tujuannya adalah semata-mata untuk melindungi industri dan ekonomi negara-negara blok berkenaan. Awal tahun 90-an isu klausa sosial (social clause) yang diperkenalkan oleh Komuniti Eropah (EC) dalam hubungan dagangnya dengan ASEAN merupakan satu isu yang cukup panas dan ditentang ASEAN.

Syarat

Begitu juga dengan isu-isu alam sekitar, buruh kanak-kanak dan isu hidupan liar. Isu-isu ini dijadikan sebagai syarat untuk mencapai sesuatu matlamat seperti eksport negara-negara ASEAN memasuki pasaran EC. Malahan isu-isu politik juga sering menjadi batu penghalang kepada kerjasama dua hala.

Kritikan-kritikan seumpama ini memberi gambaran seolah-olah negaranegara ASEAN dan negara-negara dunia ketiga tidak bertamadun. Tidak menghargai alam sekitar dan sengaja membunuh hidupan liar. Malahan tidak berhati perut hingga sanggup menggunakan buruh kanak-kanak.

Sepatutnya mereka terlebih dahulu cuba memahami sosiobudaya dan taraf ekonomi sesebuah negara.

Dialog seumpama ini sering digunakan sebagai forum untuk mengajar negara-negara dunia ketiga. Bantuan kewangan dan teknikal yang tidak seberapa itu merupakan lesen bagi negara-negara ini mengkritik rakan dialog.

Jadi kritikan Thierry Rommel, Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah (bukan duta EU) di Malaysia terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan jelas menggambarkan sikap tinggi diri diplomat-diplomat yang mewakili negaranegara maju terhadap negara-negara dunia ketiga. Yang memeranjatkan ialah beliau membuat kritikan secara terbuka sambil mengetepikan protokol dan amalan diplomasi.

Hakikatnya para diplomat sering kali lupa mengenai taraf mereka sebagai tetamu di sesebuah negara yang ditauliahkan. Sebagai tetamu mereka mesti menghormati tuan rumah. Ini merupakan amalan diplomasi baik di mana-mana sahaja. Para diplomat sering diingatkan supaya menghormati undang-undang, kebudayaan dan tatasusila rakyat tempatan oleh kerana mereka adalah tetamu.

Namun tidak bermakna mereka tidak langsung boleh membuat teguran dalam isu-isu untuk kepentingan bersama. Tetapi biarlah kena pada tempatnya. Bukan di forum terbuka. Seorang diplomat khususnya diplomat kanan pasti pandai memainkan peranannya.

DEB sebenarnya juga dipraktikkan di beberapa buah negara di dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) meskipun dengan nama yang berbeza. Di AS terdapat dasar membantu kumpulan minoriti seperti kaum India-Amerika, rakyat kulit hitam dan lain-lain kumpulan minoriti dalam perniagaan, pekerjaan dan kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi.

Persoalannya apakah DEB memberi kesan negatif kepada pelabur-pelabur asing. Hakikatnya ada negara-negara yang tidak mengamalkan DEB tetapi mempunyai dasar ekonomi dan perdagangan yang lebih rumit.

Peliknya terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang begitu mudah menyokong kritikan orang luar dan berlagak seperti nasi tambah. Pendirian mereka amat berbeza dengan rakyat negara-negara lain yang berdiri teguh di belakang kerajaan apabila menerima serangan atau kritikan dari luar. Meskipun ada kalanya mereka tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan mereka.

* DATUK MUHAMMAD ALIAS bekas duta besar yang kini menetap di Los Angeles.

No comments: