Sunday, July 1, 2007

Riau melepasi batas minimum penerbitan buku

Oleh ROOSFA HASHIM

APABILA menyebut Kepulauan Riau, Pulau Penyengat atau Tanjong Pinang, kebanyakan kita teringatkan kitab dan manuskrip lama tinggalan ulama zaman dulu. Memang Kepulauan Melayu ini sejak sekian lama terkenal dengan tradisi dan bahasa dan kebudayaan Melayu yang mewariskan banyak manuskrip lama. Namun, satu lagi mercu tanda keilmuan yang sedang tumbuh di sana ialah Penerbit Universitas Riau dengan penerbit buku ilmiahnya yang dikenali sebagai Unri Press yang menerbitkan banyak buku pengetahuan peringkat tinggi dalam bahasa Melayu. Unri Press terletak di Pekan Baru, ibu kota pentadbiran propinsi Riau. Kampusnya terletak 12.5km menghala ke barat Pekan Baru.

Perkembangan Universitas Riau sejak dibuka pada 1962 dipengaruhi oleh perkembangan ilmu pengetahuan berasaskan teknologi dan seni yang pesat, akibat perkembangan global dan pasaran bebas. Kerjasama serantau dengan Tiga Segi Emas Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS-GT) juga mempengaruhi perkembangan di Riau. Selain itu, perkembangan Universitas Riau dipengaruhi aspirasi masyarakat, penerapan dasar negara dan perkembangan ekonomi. Dengan demikian, sejak ditubuhkan Unri Press sebagai penerbit buku pengajian tinggi dalam bahasa Melayu, bergerak maju dengan lebih proaktif, dinamis, kreatif dan inovatif untuk menghadapi perkembangan yang bakal dihadapi dalam mendukung tujuan pendidikan Indonesia secara umum dan menjadikan Universitas Riau sebagai pusat kecemerlangan. Dengan pemikiran itu Unri Press menggenggam visi agar terbitan Unri Press berada di Asia Pasifik menjelang 2020. Dan sedikit sebanyak impian tersebut telah memperlihatkan tanda-tanda bakal menjadi kenyataan.

Dengan visi tersebut sarjana di Universitas Riau kini bekerja keras menjadikan Unri Press sebagai pusat penerbitan ilmiah dan bukan ilmiah yang unggul dengan terbitan yang bermutu dan bererti kepada perbendaharaan ilmu pelbagai bidang. Unri Press kini giat meningkatkan judul terbitan bermutu selari dengan perkembangan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang teknologi serta sains sosial dan kemanusiaan dalam menghadapi era globalisasi. Dalam masa yang sama Unri Press berusaha menembusi pasaran antarabangsa meskipun kental dengan imej kemelayuannya.

Unri Press berpegang pada hakikat bahawa penerbitan kakitangan akademik universiti tersebut penting bagi mengembangkan kebudayaan selain sebagai tanda mantapnya kesarjanaan para ilmuwannya. Sebelum ini, bahasa dan kebudayaan Melayu berkembang khususnya di Riau dengan kegiatan Penerbit Ahmadiah, di Singapura yang menerbitkan banyak karya anggota Kelab Rusydiah.

Penerbitan di Unri Press pada asasnya mengikut rentak dunia penerbitan dan perbukuan di Indonesia yang semakin giat dalam menerbitkan buku pelbagai bidang dan untuk bacaan pelbagai lapisan masyarakat pembaca. Penerbitan ilmiah adalah lambang kesarjanaan para ilmuwan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Justeru Unri Press kini memikul tanggungjawab menerbitkan karya hasil penyelidikan dan buku ilmiah kakitangan akademik Universitas Riau selain secara moralnya memikul tanggungjawab Riau sebagai wilayah yang menjadi lokasi pertembungan pelbagai kebudayaan besar.

Sarjana di Universitas Riau menyedari bahawa jumlah buku yang terbit menjadi petunjuk tentang ketinggian tahap kebudayaan masyarakat tersebut. Negara sedang membangun menerbitkan purata 55 judul buku setahun manakala di negara maju menerbitkan 513 judul setahun bagi setiap sejuta penduduknya. Sesebuah negara atau masyarakat masih dianggap berada dalam kelompok yang rendah kedudukan keintelektualannya, dari sudut penerbitan buku, jika menerbitkan kurang daripada 15 judul buku bagi setiap sejuta penduduknya dalam setahun. Dengan empat juta penduduk di Riau pada 1998, Unri Press melancarkan 12 judul buku. Setiap tahun jumlah itu semakin meningkat. Dan ditambah pula buku daripada penerbit swasta. Maka dapatlah dianggap Riau bergerak maju bagi melepasi batas minimum penerbitan buku.

Sungguhpun terbitan Unri Press belum cukup besar, namun jika dilihat pada jumlah judul dan bidang terbitannya dapatlah dianggap penerbit ini agak ke hadapan juga jika dibandingkan dengan beberapa penerbit universiti lain di Indonesia mahupun di Malaysia sekalipun. Unri Press bukan sekadar menerbitkan buku tentang bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu tetapi juga pelbagai bidang sains dan teknologi.

Bentuk terbitan Unri Press tidak terbatas pada buku dan monograf tetapi juga dalam bentuk jurnal ilmiah pelbagai bidang ilmu. Daripada lebih dua ratus judul yang telah diterbitkannya dalam bentuk yang sederhana, dapatlah disimpulkan bahawa Unri Press telah muncul sebagai penerbit buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang berdaya maju dan telah memberi sumbangan yang besar dalam pembinaan korpus ilmu pelbagai bidang.

Meskipun di Riau sendiri terdapat beberapa buah lagi universiti awam dan swasta, namun dapatlah dikatakan bahawa Unri Press adalah yang paling menonjol dalam menyemarakkan kegiatan perbukuan di Riau. Bahkan jika dibandingkan dengan universiti lain di seluruh Indonesia pun, Unri Press dapatlah dianggap tergolong dalam 10 penerbit buku ilmiah dari kalangan penerbit universiti yang ulung.

* ROOSFA HASHIM Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments: