Tuesday, July 3, 2007
Mengasah dialog politik KL–Paris
Oleh G. MANIMARAN (WARTAWAN UTUSAN)
JENAMA L’Oreal, Carrefour, Citroen, Alcatel, Renault dan Lafarge antara nama produk dan perkhidmatan yang secara tidak langsung menggambarkan ikatan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia dan Perancis dalam pelbagai bidang sejak lima dekad lalu.
Di sebalik senarai ikatan ini, hubungan membabitkan Paris dan Kuala Lumpur sudah jelas dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, kebudayaan, pertahanan dan pendidikan.
“Sebenarnya, hubungan kedua-dua negara telah pun wujud sejak abad ke-17 lagi,” kata Kaunselor Pertama Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur, Charles-Henri Brosseau yang turut bertindak sebagai timbalan ketua misi diplomatik negara itu.
Meskipun hanya menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1957, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dari perspektif sejarah, kedua-dua negara ini mempunyai hubungan lama merentasi beratus-ratus tahun. Perancis merupakan antara beberapa negara yang menjalin hubungan diplomatik awal, sebaik sahaja Malaysia merdeka.
Dircks-Dilly dilantik sebagai Duta Perancis yang pertama ke Malaysia pada 31 Ogos 1957 – pada hari Malaysia mencapai kemerdekaan. Alain du Boispéan yang mengetuai Kedutaan Perancis sekarang merupakan duta yang ke-16.
Pun begitu, dalam erti kata formal, Brosseau menekankan, kerjasama dua hala Malaysia-Perancis menjadi kukuh selepas hubungan diplomatik dibentuk sejak lima dekad lalu.
Di sebalik perkembangan hubungan diplomatik, bagi Perancis, Malaysia kekal sebagai negara terpenting dalam sektor dagangan. Di peringkat ASEAN, Malaysia negara kedua terpenting bagi Paris.
“Pokoknya, hubungan kedua-dua negara adalah kukuh,” jelas Timbalan Pengarah Asia Tenggara, Kementerian Luar Perancis, M. Fabrice Mauries kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan khas baru-baru ini.
Mauries yang menyandang jawatan itu beberapa bulan lalu berada di Kuala Lumpur, salah satu daripada dua lokasi kunjungan terbaru beliau. Selepas Malaysia, Mauries meneruskan kunjungan ke Hanoi, Vietnam, dalam usaha untuk mengenali dengan lebih dekat negara-negara rantau ini, yang sebahagian besar menganggotai blok ASEAN.
Dalam pertemuan tidak formal ini, Mauries yang ditemani Brosseau mengutarakan idea perlunya diwujudkan dialog politik membabitkan kedua-dua negara.
Mauries yang turut mengunjungi Wisma Putra sempena kunjungan ke ibu negara berkongsi idea itu dengan Kementerian Luar.
Masih awal untuk mengatakan tentang idea itu tetapi ia boleh dihalusi demi masa depan hubungan yang lebih kukuh dari segi politik, kata Mauries, yang yakin mempunyai peluang luas untuk melaksanakannya.
Di sebalik hubungan yang semakin kukuh, khususnya sejak awal 1990-an, jelas beliau, perlu ada satu saluran bagi pemimpin kerajaan dan politik berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa dengan lebih dekat dan terbuka dengan mengambil kira peranan yang dimainkan oleh Paris dan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.
Perancis merupakan salah satu negara aktif dalam Kesatuan Eropah (EU). Sejajar dengan kedudukannya itu, pertemuan hubungan dua hala Malaysia-Perancis jelas menerusi kewujudan Suruhanjaya Eropah-Malaysia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah dan Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) yang melibatkan pembabitan ketua-ketua kerajaan dan menteri-menteri ekonomi dan luar. Pertemuan-pertemuan itu membolehkan kedua-dua negara secara tidak langsung berkongsi pandangan dan idea mengenai isu-isu semasa yang timbul.
Pandangan
Bagaimanapun kemungkinan Paris merasakan sudah wujud keperluan semasa yang lebih luas untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dengan negara individu. Dalam hal ini, Malaysia. Paris sudah pun bertindak demikian dengan beberapa negara, kata beliau. Antaranya, Singapura, India dan Jepun.
Perancis juga merupakan negara anggota tetap Majlis Keselamatan.
“Kami berharap untuk memperkukuh hubungan politik Malaysia-Perancis,” kata beliau dengan mengetengahkan dua konteks yang dilihat sebagai asas untuk memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam bidang dimaksudkan ini.
Yang pertama, Paris dan Kuala Lumpur mempunyai hubungan diplomatik dua hala sejak 50 tahun lalu.
Keduanya, Malaysia dan EU telah pun memulakan perundingan mengenai pelbagai isu politik menerusi perjanjian perkongsian dan kerjasama, tetapi umumnya mengenai isu-isu politik. Usaha sedang diaturkan untuk menyediakan mandat bagi suruhanjaya tersebut untuk memulakan perundingan.
“Pun begitu ada keperluan untuk mewujudkan dialog politik di peringkat nasional,” kata Mauries lagi.
Sebagai susulan kepada sambutan kemerdekaan anjuran kerajaan, Paris juga dijangka mengadakan programnya sendiri kelak.
Beberapa aktiviti diaturkan oleh Perancis di Kuala Lumpur dan juga di Paris, khususnya pada September ini, kata Brosseau.
“Sambutan ini diadakan selepas acara 31 Ogos di Kuala Lumpur, selepas sambutan kemerdekaan di sini,” kata beliau lagi.
Malaysia memainkan peranan penting dalam arena antarabangsa. Malaysia pernah dipilih sebagai negara anggota bukan tetap dalam Majlis Keselamatan. Selain itu, pernah diberi peranan sebagai Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan kini Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Justeru, kata Mauries, terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi bersama oleh Perancis dan Malaysia.
Sebagai contoh kata beliau, perkembangan di rantau Asia Barat adalah antara isu yang diikuti dengan dekat oleh Paris.
“Bagi Perancis, isu Asia Barat adalah penting dan aktif dalam perkembangan seharian,” katanya.
Sehubungan itu, Malaysia sebagai negara yang turut mempunyai persamaan pendirian dengan Perancis dalam hal tersebut, boleh berkongsi input dan pandangan.
“Dalam isu-isu ini, dialog politik seperti ini akan memainkan peranan besar,” katanya. Mengapa perlunya dialog politik seumpama ini? Jelas Mauries: “Pada masa-masa lalu, pertemuan diadakan membabitkan ketua-ketua kerajaan, pertemuan dua hala membabitkan ketua-ketua kerajaan, ataupun mereka akan hubungi menerusi telefon.”
Brosseau juga yakin idea dialog politik perlu dihalusi untuk memainkan peranan sebagai penerus pertukaran idea membabitkan wakil-wakil kerajaan peringkat bawahan. “Kita sudah ada pertemuan antara ketua-ketua kerajaan, malah platform lain seperti Asem juga digunakan.
“Tetapi dirasakan perlu membabitkan wakil di peringkat-peringkat lain, tahap-tahap seterusnya,” tambah Brosseau.
Kedua-dua mereka ingin melihat dialog politik informal, yang boleh berperanan apabila timbul isu-isu penting semasa.
Maklumat laman web Kedutaan Perancis juga menyebut, ikatan kedua-dua menjadi kukuh ekoran pendirian mirip Kuala Lumpur dan Paris dalam isu Perang Iraq dan juga situasi di Asia Barat. Paris turut menentang pencerobohan ke atas Iraq pimpinan Amerika.
Kunjungan-kunjungan peringkat menteri dan Parlimen sejak kebelakangan ini telah melalui tempoh yang tenang. Kesemua aspek hubungan dua hala sama ada ekonomi, budaya ataupun ekonomi, kerjasama politik mengalami peningkatan menakjubkan ekoran pendirian yang sama dalam soal dasar luar.
Oleh itu, Mauries berpendapat, perlu ada mekanisme yang lebih luas untuk mendekatkan hubungan politik, yakni dialog politik.
Bagaimanapun beliau mengakui kerjasama dalam bidang-bidang lain – perdagangan, ekonomi, sosial dan pendidikan kedua-dua negara mempunyai hubungan amat kukuh.
“Cuma hubungan dalam bidang politik dirasakan dapat ditingkatkan jika saluran seperti ini diwujudkan,” katanya.
Sejak kemerdekaan, hubungan dua hala kedua-dua negara mengalami peningkatan yang mantap.
Dari segi hubungan politik, aspek ini melalui peningkatan disebabkan oleh ikatan peribadi yang berkualiti di bawah kepimpinan (bekas Perdana Menteri), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Jacques Chirac. Antara tahun 2002 dan 2003, kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan lima pertemuan. Chirac berada di Malaysia pada tahun 2003 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan hubungan kondusif dan dinamik itu.
Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur juga berpendapat bahawa selepas mengalami tahap-tahap pemantauan hubungan yang lama, Perancis dan Malaysia kini mencapai “tahap matangan” dalam hubungan dua hala.
“Pada umumnya, kita mempunyai hubungan yang baik. Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Malaysia, Malaysia ialah rakan kongsi niaga yang penting bagi kami,” tambah Mauries semasa menggambarkan perkembangan hubungan dan kerjasama sepanjang lima dekad lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment