Sunday, July 1, 2007

Berakhirkah IPF, Pandithan hari ini?

DALAM satu temu bual penulis dengan M.G Pandithan (sekarang Tan Sri) yang disiarkan di majalah MASSA pada tahun 1999, Pandithan menegaskan bahawa beliau tidak berdendam dengan MIC.

Maknanya beliau tidak membenci parti itu yang telah mengangkat kedudukannya sehingga kepada jawatan Naib Presiden dan di dalam kerajaan pula sebagai Setiausaha Parlimen di sebuah kementerian. Musuhnya ketika itu ialah presiden MIC, S. Samy Vellu.

Sebenarnya selepas dipecat daripada MIC gara-gara tindakan disiplin ke atasnya diikuti isu keranda, beliau menunggu selama dua tahun untuk kembali ke pangkuan parti itu. Pandithan menjelajah ke seluruh negara sebagai tanda menunjuk perasaan supaya beliau diterima semula. Malangnya sesetengah pemimpin MIC menolak dan mahu mematikan karier poltiknya.

Tetapi karier politik Pandithan tidak mati sebaliknya beliau terpaksa menubuhkan sebuah parti baru - Barisan Progresif India (IPF) pada 1989.

Penubuhan parti itu juga merupakan pilihan terakhir selepas beliau tidak diterima semula menyertai MIC dan ramai penyokongnya yang dipecat malahan ada cawangan yang menyokongnya ditutup atau dibubarkan.

Ketika itu Pandithan hanya mahu masyarakat India yang tidak menyertai MIC bersama-sama beliau.

IPF menjadi bertambah kuat. Pernah satu ketika, IPF bersama parti-parti pembangkang untuk mencabar BN pada pilihan raya umum. Bagaimanapun ‘kesilapan’ itu hanya sekali. Ia tidak berulang dan IPF kembali memberi sokongan kepada BN pada setiap pilihan raya atau pilihan raya kecil.

Pandithan benar-benar mahu menunjukkan bahawa IPF bukan pembangkang dan tetap memberi sokongan kepada BN walaupun tidak menjadi anggota gabungan parti-parti penyokong kerajaan itu. Namun hasrat untuk menjadi anggota keluarga BN tidak pernah kesampaian. Ada sahaja halangan yang dihadapi. Pintu untuk IPF seolah-olah tertutup rapat untuk menyertai BN walaupun kebanyakan parti komponen tidak keberatan membuka pintu itu.

Keadaan

Dan kini suasana sudah berubah. Masa depan IPF dalam keadaan tidak menentu apabila ada cakap-cakap yang mengatakan parti itu akan dibubarkan dan ahli- ahlinya menyertai MIC. Semuanya andaian yang dibuat oleh mereka yang berada di dalam parti atau di luar parti setelah melihat keakraban dua musuh - Pandithan dan Samy. Sudah beberapa kali mereka bersama termasuk semasa pilihan raya kecil seperti di Parlimen Telok Kemang dan Dewan Undangan Negeri Ijok.

Terbaru apabila Pandithan menghadiri Perhimpunan Agung MIC dan hari ini, jika jadual tidak berubah, satu lagi sejarah tercatat apabila Samy Vellu pula diundang merasmikan Perhimpunan Agung IPF.

Dalam satu temu bual dengan Mingguan Malaysia Khamis lalu (lihat muka 9), Pandithan mempertahankan keputusannya untuk berbaik-baik dengan bekas bosnya itu yang dianggap sebagai mentor. Beliau tidak menganggap tindakan itu sebagai satu dosa atau keputusan luar biasa. Baginya perpaduan masyarakat India lebih penting.

Tetapi persoalannya ialah adakah Pandithan akan meninggalkan IPF atau membubarkan IPF? Jelas sekali dalam temu bual itu, Pandithan menegaskan tidak akan ‘menjual’ IPF. Beliau bersusah payah menubuhkan IPF dan tidak semudah itu untuk membubarkannya. Jasa ahli-ahlinya begitu besar. Mereka begitu sabar berada di luar BN atau pembangkang.

Tetapi apakah alternatif lain yang ada Pandithan bagi membuktikan kesungguhannya untuk menyatukan masyarakat India? Meninggalkan IPF dan menyertai MIC? Jawapannya sudah jelas seperti temu bual itu. Namun masih ada keraguan kerana ini bukan kali pertama ura- ura IPF akan ‘dilenyapkan’ dijadikan bahan bualan.

Selepas permohonan untuk menyertai BN ditolak, dan cadangan dikemukakan supaya menyertai MIC atau Parti Progresif Penduduk (PPP), IPF pernah mengadakan perhimpunan agung bagi mendapatkan mandat ahli-ahlinya. Tetapi majoriti ahli menolak dan mahu IPF dikekalkan sebagai sebuah parti politik .

Dan hari ini, walaupun Pandithan masih berteka-teki mengenai kedudukan beliau dan partinya, para perwakilan sudah tentu akan bersuara mengenai masa depan parti itu. Dan tentunya lebih menarik apabila orang yang diundang merasmikan perhimpunan kali ini ialah Samy. Tentunya ada yang menarik untuk dikongsi bersama oleh Samy dan Pandithan.

Soal masa depan IPF, biarlah Pandithan dan para perwakilan menentukannya. Ada sesuatu yang ingin diluahkan oleh Presiden IPF itu.

Katanya kepada Mingguan Malaysia: ‘‘Kalau saya beritahu sekarang, tidak perlulah saya mengadakan perhimpunan agung parti nanti. Lebih 3,000 perwakilan akan hadir, saya pasti mereka juga ingin tahu.’’

Apa pun Pandithan sudah menghulurkan salam persahabatan kepada MIC dan Samy. Tentunya lebih baik jika mereka yang masih memusuhi Samy berbuat demikian bagi kepentingan masyarakat India. Belajarlah daripada pengalaman yang dipikul oleh Pandithan selama 20 tahun sebelum ini.

– HASSAN MOHD NOOR

No comments: