Pendapat
STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah sama ada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda tidak pernah surut sebaliknya meningkat dengan kadar yang membimbangkan.
Adakah ini harga yang perlu dibayar oleh kita akibat tumpuan keterlaluan terhadap aspek kemajuan kebendaan dan individualistik semata-mata? Adakah keghairahan kita menarik pelancong dan ‘mengeksport’ ratusan ribu pekerja asing ke negara ini sebagai punca kepada peningkatan jenayah kini?
Oleh itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia 30 Jun lalu sewajarnya menuntut semua pihak membuka mata mengambil tindakan tegas bersifat revolusi dalam membanteras jenayah di negara ini.
‘Kepala-kepala’ yang dikatakan melibatkan orang-orang berpengaruh di negara ini dengan rangkaian jenayah terancang antarabangsa mesti dihapuskan segera. Kita semestinya tidak mahu melihat sesiapa pun pemimpin politik dan orang atasan yang menjadi dalang kepada kumpulan jenayah di negara ini.
Sehingga kini, kumpulan samseng dari Singapura, Taiwan dan Indonesia dikenal pasti terbabit dalam jenayah terancang di negara ini. Wujud jaringan kerjasama jenayah antara kumpulan gengster tempatan dengan pihak luar yang terbabit dengan aktiviti haram seperti pengedaran dadah, pelacuran dan perjudian.
Gesaan Ketua Polis Negara sebelum ini supaya premis-premis pusat hiburan diletakkan di kawasan yang khas tidak perlu dilengah-lengahkan. Sudah tiba masanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara segera memberhentikan pengeluaran permit baru operasi pusat-pusat hiburan. Tindakan sebahagian PBT sebelum ini yang sewenang-wenangnya mengeluarkan permit hiburan sehingga ada yang beroperasi di kawasan perumahan dan kampung menggambarkan sikap tidak peka terhadap potensi premis-premis hiburan ini sebagai penyumbang peningkatan kes jenayah negara ini.
Tindakan membasmi jenayah penting bagi mengawal bilangan penjenayah dan dalam masa yang sama mencegah peningkatan jumlah mangsa jenayah. Oleh itu, pendekatan jangka panjang dan pendek wajar dilaksanakan. Aspek ini semestinya telah disedari semasa proses mewujudkan Perancangan Strategik Lima Tahun (PS5T) yang memberi tumpuan terhadap pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan, kebertanggungjawaban dan pencegahan jenayah.
Kerjasama dengan polis antarabangsa dan tumpuan kepada peningkatan mutu siasatan dalam bidang forensik dan teknologi maklumat perlu dipergiatkan. Paling penting, nilai integriti mesti menjadi darah daging dalam diri setiap pegawai polis. Selain itu, dasar pilih kasih dalam menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes yang dilaporkan harus dihindari.
Masyarakat sewajarnya yakin pada kemampuan dan kredibiliti pihak berkuasa. Sepatutnya, setiap keluarga telah mengetahui dan menyimpan nombor telefon pondok atau balai polis berhampiran sebagai langkah keselamatan. Rakan Cop pula dimanfaatkan sebagai mata dan telinga bagi pihak berkuasa.
Komitmen polis yang cuba menghapuskan jenayah tidak bererti andainya institusi kekeluargaan dibiarkan runtuh. Mahu tidak mahu, ketenatan sosial kini harus segera ditangani sebelum bertambah nazak.
Oleh itu, institusi kekeluargaan perlu kembali berperanan sebagai tapak yang kukuh melahirkan warga yang bebas jenayah. Penekanan terhadap pegangan agama dan kekuatan nilai moral perlu diberi keutamaan oleh para ibu bapa walau bagaimana sibuk sekalipun mereka bekerja.
Keprihatinan golongan ibu bapa atau penjaga penting supaya generasi muda tidak dibiarkan direkrut sebagai ‘pelapis’ penjenayah secara tidak disedari.
Sebagai permulaan, sejauh mana ibu bapa moden hari ini mengambil tahu siapa kawan dan di mana anak mereka berada? Ibu bapa juga perlu melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa ke atas bilik, komputer atau telefon bimbit anak masing-masing. Pendekatan secara bersahaja atau kebetulan bukan kelihatan seperti mengongkong mereka perlu difikirkan selari dengan peredaran zaman kini.
Tindakan membanteras jenayah daripada menjadi bertambah parah juga bukan sekadar mahu menjaga nama baik negara. Paling penting ialah untuk memastikan hak rakyat Malaysia untuk menikmati persekitaran sosial yang selamat sepanjang masa.
– MOHD. ARIF ATAN,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment