Mukadimah
Tan Sri M.G. Pandithan, 62, bukannya orang baru dalam politik tanah air. Siapa tidak kenal bekas Naib Presiden MIC itu yang pernah mencipta sejarah tersendiri apabila membawa keranda dan mengadakan mogok lapar di pekarangan Ibu Pejabat MIC kira-kira 20 tahun lalu.
Namun begitu sejak kebelakangan ini, Presiden Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) yang pernah dilabelkan sebagai ‘Singa muda MIC’ itu sering mendapat kritikan.
Spekulasi bertiup kencang apabila segelintir pihak mahupun ahli parti sendiri mendakwa Pandithan akan menyertai MIC dan membubarkan IPF setelah berdamai dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu baru-baru ini.
Apa yang mengejutkan, Perhimpunan Agung IPF ke-15 pada hari ini akan dirasmikan oleh Samy Vellu.
‘‘Tunggu dan lihat Ahad ini, apakah keputusan Pandithan seterusnya, Ahad adalah penentu kepada segala-galanya,’’ kata Pandithan kepada wartawan S.ANAND KUMAR dan jurugambar Rahman Salleh ketika ditemui di Wisma IPF, Seri Kembangan, Khamis lalu.
MINGGUAN: Bagaimana kesihatan Tan Sri sekarang?
PANDITHAN: Saya beransur pulih dan sedang mendapatkan rawatan dan menjalani hemodialisis. Tetapi ia tidak menghalang saya untuk melakukan kerja-kerja politik terutama ketika IPF akan menghadapi perhimpunan agungnya, Ahad ini (hari ini).
Minggu lalu beberapa ahli parti mengadakan perhimpunan khas di Teluk Intan, Perak. Ada pihak mendakwa IPF mengalami perpecahan. Adakah ini benar?
PANDITHAN: Tidak. IPF tidak mengalami sebarang masalah malah ahli-ahli berasa gembira dengan kepimpinan saya selama ini. Mereka yang mengadakan perhimpunan di Perak itu adalah kumpulan yang masih tidak memahami perjuangan sebenar parti.
Saya tidak marah atau kecewa dengan mereka. Saya menganggap perhimpunan itu sebagai perjumpaan biasa. Tindakan mereka ini tidak boleh kita katakan bahawa IPF mengalami perpecahan.
Tujuan perjumpaan itu adalah untuk mengutuk dan menghentam kepimpinan Pandithan. Saya tidak mengambil berat mengenai perkara ini. Saya juga tidak berasa sedih dengan tindakan mereka. Kemungkinan mereka ingin melihat IPF berpecah dan menjadi huru-hara.
Adakah kemungkinan isu ini timbul apabila Tan Sri menghulurkan persahabatan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu?
PANDITHAN: Sebenarnya dalam IPF tidak ada sebarang masalah. Cuma segelintir orang sahaja yang ingin mewujudkan masalah dalam parti. Adakah apabila saya berjabat tangan dengan Samy Vellu, bermakna IPF akan hilang? Saya tidak faham mengapa orang ramai masih menganggap persahabatan saya dengan Samy Vellu adalah perkara yang tidak baik seolah-olah ia adalah dosa besar.
Saya bermusuhan dengan beliau selama 20 tahun. Perlukah saya terus berlawan dengan Samy Vellu? Apa faedahnya jika saya terus melawan Menteri Kerja Raya itu? Kemungkinan sesetengah pihak mahu melihat saya terus ‘merajuk’ dengan Presiden MIC itu.
Berkali-kali saya jelaskan bahawa persahabatan saya dengan Samy Vellu bukan perkara baru. Malah beliau merupakan mentor saya ketika saya melibatkan diri dalam politik. Mungkin disebabkan beberapa perkara saya meninggalkan MIC. Itu perkara biasa. Kadangkala ada perkara yang kita suka dan tidak suka. Anggaplah saya meninggalkan parti (MIC) kerana mempunyai salah faham dengan Samy Vellu.
Cukuplah, saya tidak mahu bergaduh dengan bekas ketua saya lagi. Pandithan mahu memulakan lembaran baru di antara IPF dan MIC. Saya yakin kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) juga mahu melihat perdamaian ini.
Persahabatan ini adalah ikhlas dan saya tidak bermain dengan kata-kata sahaja. Sebab itulah saya menjemput Samy Vellu untuk merasmikan perhimpunan agung IPF.
Ada pihak menganggap perdamaian ini mempunyai rahsia di sebaliknya?
PANDITHAN: Apa yang perlu dirahsiakan. Saya menghulurkan persahabatan dengan Samy Vellu secara terbuka bukannya secara senyap. Saya tidak suka membuat sesuatu perkara itu secara tersembunyi.
Saya berani katakan bahawa saya kembali berkawan dengan beliau bukan kerana ingin mendapatkan jawatan dalam kerajaan atau MIC. Hari ini saya berasa gembira apabila beliau menerima persahabatan ini dengan hati terbuka. Inilah yang dikatakan pemimpin terulung.
Samy Vellu melupakan perkara lama dan kembali berkawan dengan saya. Beliau juga pernah membuat kenyataan bahawa IPF tidak perlu dibubarkan. Mengapa masih ragu-ragu terhadap persahabatan kami ini?
Saya cuma berasa marah apabila terdapat satu surat khabar tamil yang sengaja mewujudkan pelbagai isu dan menghentam Samy Vellu dengan menggunakan nama IPF. Mengapa mereka mahu ‘kutuk’ Menteri Kerja Raya itu melalui penulisan?
Beliau tidak berkata apa-apa, cuma saya yang mengumumkan untuk berkawan dengan beliau. Apakah surat khabar ini ingat Pandithan sakit, mereka boleh terus menghentam sesiapa sahaja? Cuma saya kurang sihat sekarang tetapi hati masih kuat untuk terus berjuang dalam politik.
Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri atau mahu mencari kekayaan menerusi persahabatan ini. Semua orang perlu tahu Pandithan dan Samy Vellu adalah kawan bukan lagi lawan.
Mungkinkah terdapat mana-mana pihak atau individu yang memaksa atau memujuk Tan Sri untuk kembali berkawan dengan Samy Vellu?
PANDITHAN: Mengapa ada pihak perlu memaksa saya dalam perkara ini. Ini adalah keputusan saya sendiri. Kalau ingin dikatakan ada pihak memaksa saya, mungkin ia dapat dilakukan sebaik sahaja saya meninggalkan MIC. Kenapa perlu sekarang?
Selepas 20 tahun berlalu, barulah saya hulurkan tangan kerana mahu lupakan segala perkara lampau. Mengapa ada pihak mahu mempertikaikan persahabatan ini?
Saya tidak faham. Biarlah perhubungan ini kekal selama-lamanya demi kebaikan semua pihak terutama masyarakat India.
Jangan kita bangkit perkara lama. Lupakan segala-galanya. Mungkin tuhan mahu saya kembali bersahabat dengan Samy Vellu.
Ahli-ahli IPF menerima baik persahabatan ini?
PANDITHAN: Kini IPF mempunyai hampir 380,000 ahli. Saya telah menerangkan kepada mereka mengapa saya kembali berdamai dengan Samy Vellu. Mereka menerima baik persahabatan ini kerana mereka tahu bahawa ia akan membawa kebaikan kepada semua pihak dan juga parti sama ada IPF atau MIC.
Kami (IPF) mahu menolong masyarakat India bukannya mahu bergaduh sesama sendiri. Kemungkinan ada pihak merasakan bahawa sebaik sahaja saya berkawan dengan Samy Vellu, Pandithan akan menjual IPF. Itu tanggapan yang salah.
Saya menempuhi segala cabaran untuk menubuhkan parti ini. Mengapa perlu saya bubar IPF. Ini kerja orang gila. Cuma ketika ini, saya cukup berhati-hati ketika menerima kemasukan ahli baru kerana saya tidak mahu mereka berada dalam IPF sebaliknya mengutuk Samy Vellu. Perkara ini kelak akan memalukan saya dan parti.
Setelah Tan Sri menghadiri Perhimpunan Agung MIC ke-61 baru-baru ini, ada pihak menganggap Tan Sri akan kembali menyertai MIC, apa komen Tan Sri?
PANDITHAN: Tunggulah sehingga Ahad ini. Tengoklah apa keputusan saya... Sebelum saya buat keputusan pelbagai orang sudah membuat kesimpulan. Inilah yang saya tidak faham. Bagaimana mereka boleh membaca isi hati saya? Tunggu dan lihat. Jika keputusan itu tidak menguntungkan mana-mana pihak, mereka boleh mengutuk saya. Jika ia menguntungkan, mereka tidak perlu puji saya. Saya bukan budak kecil untuk membuat keputusan yang tidak tepat.
Adakah selepas ini Tan Sri akan bersara dalam arena politik dan menyerahkan kepimpinan IPF kepada orang muda?
PANDITHAN: Saya akan terus berjuang dalam IPF. Bukan bermakna saya akan bersara tetapi ingin meneruskan misi-misi yang masih belum dilaksanakan lagi, doktor memberitahu bahawa saya akan sihat sepenuhnya dalam masa enam bulan lagi. Selepas itu saya akan kembali aktif dan melawat semua bahagian-bahagian IPF seluruh negara.
Apa perancangan Tan Sri selepas ini?
PANDITHAN: Saya akan duduk berbincang dengan Samy Vellu, apa yang boleh IPF dan MIC lakukan untuk memajukan masyarakat India di negara ini. Saya mahu kaum India maju seiring dengan kaum-kaum lain. Saya yakin perkara ini dapat dicapai jika kita berganding bahu dengan MIC.
Saya akan kerap berhubung dengan Samy Vellu untuk mendapat pelbagai pandangan dan bantuan beliau selaku pemimpin veteran.
Bagaimana dengan penyertaan IPF dalam Barisan Nasional?
PANDITHAN: Kami sebelum ini pernah beberapa kali memohon menyertai BN tetapi sering mendapat bantahan MIC. Tetapi kini IPF sudah berkawan dengan MIC. Bukan bermakna persahabatan ini akan saya gunakan sebagai alasan untuk menyertai BN. Kami akan terus memohon dan ia terpulang kepada kepimpinan tertinggi BN.
Saya tidak mahu memikirkan perkara ini. Yang penting perjuangan IPF adalah untuk memastikan BN mencapai kejayaan dalam setiap kali pilihan raya umum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment