Sunday, July 1, 2007

Keadilan hilang nilai perjuangan


Mukadimah

BEKAS Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor, akhirnya membuat keputusan keluar parti setelah berjuang selama tujuh tahun di dalamnya.

Sebagai tokoh penting yang turut mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada 4 April 1999, beliau dilihat sebagai penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kesetiaannya jelas apabila sanggup berhadapan dengan risiko dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam sejarah UMNO, hubungan rapatnya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermula apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada tahun 1996.

Beliau juga adalah Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Selasa lalu beliau mengumumkan keluar daripada PKR juga kerana Anwar. Bagi pemimpin PKR, tindakan itu dilihat sebagai satu pengkhianatan.

Ia dikaitkan dengan jadual pilihan raya umum yang kian hampir. Mohamad Ezam dikatakan mahu menyertai semula UMNO, parti yang pernah dimusuhinya sewaktu melaungkan reformasi.

Saya bukan manusia hipokrit yang berkata hari ini tidak mahu masuk UMNO tetapi besok saya masuk. Saya tidak tahu tentang masa depan. Tetapi buat masa sekarang tumpuan saya kepada Gerak (gerakan bagi demokrasi dan antikorupsi),’’ katanya ketika ditemui di Shah Alam Khamis lalu.

Kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar SHAHARUDIN ABDULLAH, beliau menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan.

MINGGUAN: Mengapa sekarang baru saudara mengambil keputusan untuk keluar parti?

MOHAMAD EZAM: Setelah saya melakukan beberapa perkara khususnya beberapa bulan sebelum pemilihan (kongres) bagi menyelamatkan sebuah perjuangan, akhirnya saya yakin tiada ruang bagi orang yang jujur untuk berjuang dalam parti. Selepas pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya melihat ada perbezaan yang ketara dalam orientasi parti. Timbul semula gejala-gejala lama semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) di kalangan segelintir pemimpin, keangkuhan di kalangan orang-orang sekelilingnya, puak oportunis, merebut kuasa dan pengaruh. Sebab itu saya tidak selesa.

Adakah tindakan ini disebabkan saudara tidak lagi yakin dengan perjuangannya?

MOHAMAD EZAM: Saya percaya wujudnya parti Keadilan (kini PKR) kerana perjuangan. PKR bukan sekadar parti politik biasa. Ia parti yang lahir daripada kesedaran, harapan dan air mata rakyat. Justeru ia harus menjadi parti perjuangan selamanya. Semasa Anwar di dalam (penjara), kita berjuang tetapi bila Anwar keluar, kita nampak elemen-elemen oportunis ini. Orang seperti Azmin Ali, kembali kepada perangai lama yang mengawal Anwar. Orang yang mahu dekat, dicantas dan sebagainya. Ini dilakukan oleh beliau semasa menjadi Setiausaha Sulit TPM dulu. Saya pernah ingatkan Anwar, kalau kita mahu berjuang, gejala-gejala ini mesti ditangani. Sebaliknya ia semakin menular pada pemilihan baru- baru ini. Sebab itu saya melepaskan jawatan dalam parti dan menumpukan perhatian kepada Gerak. Tindakan saya itu kerana mahu memberi mesej supaya jangan berebut jawatan tetapi lebih menumpukan kepada perjuangan parti.

Bagi saudara perjuangan PKR telah terpesong?

MOHAMAD EZAM: Semangat perjuangan itu dihilangkan. Saya ingin menyatakan ramai lagi pemimpin atau ahli peringkat bawahan yang ada semangat perjuangan tulen. Masalahnya tidak ada tempat untuk mereka. Tetapi saya percaya ramai ahli di pelbagai peringkat termasuk peringkat tertinggi, mempunyai latar belakang perjuangan yang tinggi. Dr. Syed Husin Ali contohnya. Saya rasa dia adalah ahli politik yang jujur. Malangnya nama sahaja timbalan presiden tetapi dia bukan kelompok in the circle. Orang sepertinya tiada tempat dalam parti. Yang menyebabkan saya yakin betul, selepas kongres, saya pula yang dikatakan bersalah, menjadi ejen parti lawan, sengaja mencari laba (keuntungan). Mereka berjaya memanipulasikan keadaan itu. Dan yang lebih menyedihkan, menambahkan keyakinan bahawa memang tiada ruang untuk orang seperti saya ialah apabila Anwar sendiri memberi komen yang seolah-olah mengiakan manipulasi persepsi negatif terhadap saya oleh kelompok-kelompok oportunis ini.

Bila sebenarnya saudara mula berfikir-fikir untuk mengambil keputusan meninggalkan parti ini?

MOHAMAD EZAM: Saya mula dengan berhenti (melepaskan jawatan dalam) Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari Kongres tahun lepas dan saya tidak memegang apa-apa jawatan lain. Tetapi saya dipujuk oleh Anwar untuk memegang jawatan di peringkat negeri Selangor sebagai timbalan pengerusi. Pada awal tahun ini, sebelum pemilihan bahagian bermula Februari lalu, bulan Januari, saya mengumumkan tidak mahu bertanding sebarang jawatan. Ini merupakan usaha-usaha saya untuk mengingatkan kepimpinan bahawa kita mesti kembali kepada parti perjuangan seperti diasaskan oleh rakyat.

Ada tanggapan mengatakan saudara keluar parti ketika ini kerana pilihan raya semakin dekat?

MOHAMAD EZAM: Keputusan saya bukan kerana pilihan raya. Keputusan ini setelah saya jelas bahawa PKR bukan tempat untuk saya berjuang melakukan reformasi lagi. Sama ada dekat atau tidak dengan pilihan raya, tidak penting. Saya tidak bekerja kerana pilihan raya.

Apa makna perjuangan bagi saudara?

MOHAMAD EZAM: Saya komited kepada agenda reformasi kerana islah. Idola saya ialah Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad s.a.w. Elemen utama mereka - keberanian, kecekalan dan kejituan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan sesungguh-sungguhnya. Saya masuk UMNO dulu atas keyakinan bahawa Anwar sebagai seorang tokoh yang membuat perubahan tersebut. Apabila saya keluar (UMNO) dan bersama Anwar, asasnya ialah perubahan yang dibawa oleh Anwar tidak boleh diteruskan di dalam UMNO. Semasa Anwar di dalam (penjara) memang kita berjuang habis-habisan. Saya sanggup keluar masuk penjara. Bagi saya apa yang berlaku kepada Anwar sebagai tidak adil. Bagaimana sekarang saya tidak nampak PKR dapat menyediakan platform yang jelas dalam konteks perubahan ini. Matlamat saya masih tetap. Sebab itu saya mengambil alternatif lain membina Gerak. Walaupun platform ini kecil tetapi perjuangannya jelas iaitu berperanan melawan rasuah sedaya-upaya saya.

Saudara kecewa setelah berjuang sekian lama tetapi akhirnya terpaksa mengambil langkah ini?

MOHAMAD EZAM: Sebagai manusia yang percaya kepada Allah s.w.t, saya merasakan semua ini ada hikmahnya. Apa pun, perjalanan tujuh tahun saya di dalam reformasi memberi banyak pengajaran berguna untuk saya khususnya semasa di penjara. Sedikit sebanyak ia menjadikan saya manusia yang lebih baik. Kecewa dan kesal tidak timbul.

Tidakkah saudara merasakan bahawa perjuangan selama ini hanya sia-sia sahaja?

MOHAMAD EZAM: Tidak, sebab saya tidak berjuang untuk habuan dunia. Kalau saya berjuang untuk sesuatu atau untuk diri sendiri mungkin saya akan kecewa. Mereka melabelkan saya sebagai pengkhianat, saya ingin memberitahu bahawa ini bukan pertama kali saya dilabelkan sedemikian. Dulu saya pernah dilabelkan sebagai pengkhianat oleh UMNO. Saya tidak sedikit pun kecewa sebab saya bukan berjuang untuk label. Yang penting ialah apa yang Allah labelkan kita nanti.

Apa sebenarnya yang berlaku di dalam PKR?

MOHAMAD EZAM: Sekarang ia dikuasai oleh kelompok ahli-ahli politik yang tiada nilai perjuangan, yang oportunis, kumpulan elit in the circle yang kecil tetapi berkuasa ke atas Anwar.

Ada pihak tertentu mendakwa antara faktor saudara mengundur diri kerana dipinggirkan?

MOHAMAD EZAM: Tidak timbul soal ini kerana saya yang meminggirkan diri sendiri. Saya merasakan kita harus belajar daripada kesilapan dahulu. Kita pernah berkuasa, Anwar pernah menjadi TPM dan salah satu masalahnya ialah dominasi individu atau kelompok tertentu. Bagi saya kita harus berubah. Kesilapan itu tidak harus berulang tetapi apa yang berlaku ialah ia berulang. Saya tidak boleh berkompromi dalam hal ini. Saudari sendiri boleh lihat bahawa saya masih mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi. Jika mahu bertanding, saya boleh. Saya tiada masalah peribadi dengan Anwar. Bukan kerana saya bergaduh dengannya menyebabkan saya dibuang. Saya boleh memilih untuk dekat dengan beliau dan masuk ke kelompok in the circle ini tetapi saya tidak berbuat demikian kerana melihat mereka melakukan kesilapan.

Anwar dianggap pemimpin yang berkarisma dan mempunyai pandangan tersendiri dalam banyak hal. Apa yang menyebabkan beliau mudah terdorong mempercayai kelompok kecil ini?

MOHAMAD EZAM: Saya sendiri tidak tahu apa sebab-sebab sebenarnya. Tetapi apa yang saya boleh nyatakan ialah memang ada kelompok tertentu mempengaruhi beliau. Saya membuat keputusan dan bertindak terhadap apa yang berlaku atau apa yang saya nampak. Bagi saya, Anwar tidak berupaya memperbetulkan atau membendung elemen-elemen negatif ini.

Siapakah kelompok in the circle ini?

MOHAMAD EZAM: In the circle ini bagi saya ialah seorang individu yang bernama Azmin Ali.

Bagaimana saudara melihat masa depan PKR dengan adanya individu seperti ini?

MOHAMAD EZAM: Dia adalah liabiliti kepada parti, kepada perjuangan dan kepada Anwar. Orang yang bijak tidak akan meletakkan satu liabiliti dalam perjuangan mereka.

Tanggapan saudara kepada Anwar?

MOHAMAD EZAM: Beliau adalah bapa dan guru saya dalam politik. Itu tidak berubah. Idealismenya masih saya pegang. Tetapi sekarang beliau dikelilingi oleh orang yang salah dan berada di tempat salah.

Saudara akan meninggalkan terus dunia politik?

MOHAMAD EZAM: Kita tidak boleh lari daripada politik. Cuma untuk masa sekarang, saya hendak menumpukan kepada Gerak. Sebab bagi saya, perubahan itu hanya boleh berlaku dengan adanya masyarakat madani. Ini bukan sekadar peranan parti politik tetapi boleh juga menerusi badan bukan kerajaan seperti yang saya lakukan kini.

Cakap-cakap orang politik mengatakan saudara akan menyertai UMNO, adakah ini benar?

MOHAMAD EZAM: Ura-ura mengatakan saya hendak masuk UMNO selama ini, pertama, sebenarnya dilakukan oleh kelompok tadi, elemen yang tidak sihat dalam parti. Mereka yang mahu lari daripada membicarakan persoalan sebenar sebaliknya menuding ke arah saya. Ini adalah permainan mereka bukan permainan UMNO pun. Kedua, saya bukan manusia hipokrit. Saya bukan seorang yang berkata, saya tidak akan masuk UMNO tetapi besok saya masuk. Saya ingin menjelaskan, saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Dan saya hendak beritahu, memang saya mempunya ramai kawan dalam UMNO, sebab saya seorang yang meletakkan nilai persahabatan melebihi politik.

Apa perancangan saudara sekarang?

MOHAMAD EZAM: Buat masa ini tumpuan saya ialah kepada Gerak. Saya tiada rancangan untuk menyertai mana-mana parti. Saya ada agenda besar dalam Gerak yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh orang lain.

Apa mesej yang mahu disampaikan kepada mereka yang mempunyai semangat perjuangan tulen tetapi masih berada di dalam parti?

MOHAMAD EZAM: Saya percaya perubahan itu harus berlaku dari dalam diri sendiri. Sebab itu saya membuat keputusan itu sendiri, berdasarkan keyakinan saya. Saya tidak mahu menghasut mana-mana pihak kerana bagi saya, mereka harus menilai dan membuat keputusan mereka sendiri.

No comments: