Wednesday, July 4, 2007

Prestasi enam bulan PIPP

Oleh WAHID HASHIM (WARTAWAN UTUSAN)



Hishammuddin Tun Hussein menunjuk kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

SEPAK mula pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) bermula 16 Januari lalu, dan prestasi enam bulan pertama telah dicatatkan dalam kad laporan sulungnya yang diumumkan pada sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Kalau diteliti kad laporan itu, tiada yang bertanda dengan dakwat merah. Semuanya biru.

Bukan kerana ‘guru besarnya’, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terlalu berlembut ketika memberi ‘markah’, tetapi kerana keberkesanan strategi, komitmen serta kempen pelaksanaan yang tersebar luas melalui media, sejak awal tahun ini.

Banyak perubahan yang telah berlaku, tetapi semuanya tetap terikat kepada semangat toleransi dan permuafakatan semua pihak.

Contohnya, tiada polemik perkauman dalam konteks memperkasa sekolah kebangsaan sejak 16 Januari.

Hal ini mungkin kerana tindakan pantas Hishammuddin dan timbalannya menempatkan sembilan buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan yang padat dengan masyarakat Cina, serta meluluskan dua buah sekolah baru.

Hishammuddin ketika mengumumkan prestasi enam bulan PIPP, melahirkan rasa puas hatinya dengan pencapaian sepanjang enam bulan itu.

Walau Menteri Pelajaran itu mengakui bukan semuanya ‘lulus 100 peratus’, tetapi beliau gembira kerana semua projek telah menunjukkan petunjuk indeks prestasi yang memberangsangkan.

Kata Hishammuddin: ‘‘Kita ada agenda tertentu yang boleh kita mara ke hadapan dengan cepat, ada agenda tertentu yang memerlukan lebih masa.”

Secara jujur, masih terlalu awal untuk menyatakan kejayaan atau kegagalan PIPP.

Namun begitu, dengan langkah mengumumkan prestasi kerja PIPP dan pencapaiannya secara terbuka, maka Hishammuddin dan pasukan kerjanya telah melaksanakan kebijaksanaan politik dalam melaksanakan perkara yang rumit.

Semua pihak tahu, dan boleh bercakap tentangnya.

Kad laporan itu menerangkan secara amnya pencapaian Kementerian Pelajaran sejak pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sehingga Jun 2007 yang meliputi tiga aspek utama iaitu i) pembangunan infrastruktur, ii) penggubalan dasar baru dan penambahbaikan dasar sedia ada serta iii) laporan tentang program yang dilaksanakan dan pencapaian sejak PIPP dilancarkan sehingga 2007.

Secara keseluruhannya, kad laporan PIPP ini masih menekankan aspek asas dalam pendidikan - agenda yang perlu disegerakan.

Sebab itulah, memang wajar kalau Hishammuddin menyebut dalam sidang akhbar itu bahawa perkara asas yang paling susah dan perlu ditangani secara bersungguh-sungguh ialah melengkapkan kemudahan asas di luar bandar.

Kemudahan asas itu meliputi isu bekalan elektrik dan air, kemudahan kepada guru, prasarana fizikal seperti bangunan sekolah, rumah guru dan sebagainya.

Hal ini menunjukkan kementerian itu telah berada di landasan yang betul, dengan niat yang betul.

Projek-projek lain seperti projek kecemerlangan sekolah dan sekolah showcase - seperti penubuhan sekolah kluster - lebih mudah untuk dilaksanakan dan belum perlu disegerakan, kata Hishammuddin.

Tradisi

‘‘Tradisi membela pelajar luar bandar dan pedalaman seperti penyediaan kemudahan asas iaitu bekalan air dan elektrik terus menjadi dasar utama PIPP,” tegasnya.

Beberapa penyelesaian cuba dicari.

Kuasa hibrid solar-diesel merupakan perkara baru bagi menggantikan set generator (gen-set) dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Kalau tidak dapat dibina bangunan sekolah, kabin menjadi galang ganti bilik darjah di kawasan yang mempunyai kemudahan persekolahan tetapi kurang murid.

Selain itu, guru pedalaman menerima habuan elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan (EKMLTK) tambahan sehingga RM1,500 mulai gaji bulan Mei ini.

Sebanyak 12,033 guru dikenal pasti menerima elaun itu.

Semua sekolah daripada semua aliran menerima agihan sama rata dan sama rasa.

‘‘Tumpuan kita adalah kepada tiga aspek, pertamanya aspek pembangunan infrastruktur, dan kedua, pembangunan infrastruktur yang disandarkan dengan dasar yang mantap dan kukuh.

Aspek ketiga pula, katanya, kementerian melaksanakan enam teras PIPP itu mengikut bulan.

Setiap bulan mempunyai keutamaan dan fokusnya sendiri.

Dari segi infrastrukturnya, Hishammuddin memberitahu, sehingga Jun 2007, projek baru RMK-9 yang siap dan sedang dibina ialah 4,639 yang merupakan 27.7 peratus daripada apa yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran.

‘‘‘Saya anggap angka ini memuaskan dan mengikut jadual atau indeks prestasi (KPI) yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berharap pembangunan infrastruktur mendesak yang diberi keutamaan, akan terus diberi keutamaan.

‘‘Usaha untuk melihat kepada aspek tertentu yang penting seperti pendidikan khas, sekolah di luar bandar, sekolah yang memerlukan penaikan taraf adalah yang akan dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Hishammuddin, kerajaan tidak menidakkan kewujudan aliran pelbagai dalam sistem pendidikan.

Dalam kad laporan itu, turut dinyatakan bentuk bantuan yang telah disampaikan kepada sekolah pelbagai aliran.

‘‘Kita melihat kepelbagaian aliran ini menjadi sumber kekuatan kerana kita melihat kepelbagaian dalam dunia pada hari ini merupakan satu kekuatan,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, penambahbaikan dasar sedia ada dan baru turut disenaraikan dalam laporan tersebut.

Katanya, hampir kesemua 27 nota dan memorandum telah ‘dihadamkan’ dan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Fokus kepada keenam-enam teras dilakukan mengikut bulan tertentu. Walau bagaimanapun, laporan setengah tahun ini hanya sempat bagi pelaksanaan empat teras.

Teras pertama, iaitu merapatkan jurang pendidikan telah dilancarkan pada Februari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bulan Mac berfokus kepada teras pembestarian sekolah dengan penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.

Bulan Mei tertumpu kepada usaha memartabatkan profesion keguruan.

Pada Jun, pihak kementerian meletakkan pembangunan modal insan dengan tumpuan khas kepada bidang kokurikulum.

Pada bulan ini, fokus Kementerian Pelajaran adalah kepada pembangunan negara bangsa, dengan tumpuan kepada sukan.

‘‘Jadi, untuk memberi laporan terperinci kepada keenam-enam teras ini, saya rasa tidak adil.

‘‘Saya harap pada hujung tahun ini, kad laporan akan dapat merangkumi enam teras itu,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya, tegas beliau, dengan laporan itu, apa yang dijanjikan oleh pihaknya telah ditunaikan secara telus dan terbuka.

Bagi beliau, Kementerian Pelajaran sekarang ini berada pada landasan yang baik untuk melaksanakan PIPP.

Beliau menambah, walaupun laporan itu tidak perlu dibentangkan kepada Parlimen, tetapi dokumen tentangnya telah diedarkan semua wakil rakyat.

Oleh itu tiada sebab untuk laporan ini tidak dibaca oleh wakil rakyat.

Laporan itu juga boleh dibaca di laman web Kementerian Pelajaran.

Berhubung fokus setiap bulan bagi terutama yang telah dilalui dan dilaksanakan sehingga Jun 2007, beberapa tindakan telah dilakukan.

Pertama, bagi merapatkan jurang pendidikan, kementerian itu menerima tambahan sebanyak RM2.6 bilion untuk pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

‘‘Kita juga telah mencapai persetujuan untuk memberi elaun khas pedalaman antara RM500 sehingga RM1,500 berdasarkan jarak dan tahap kesulitan guru.

Kedua, bagi usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, kementerian itu telah memilih 30 buah sekolah (daripada 300 buah sekolah) dalam kelompok masing-masing untuk diberi autonomi ke dalam bidang yang khusus supaya dapat menjadi sekolah contoh dan showcase di peringkat antarabangsa.

Bagi fokus pembestarian sekolah, pihak kementerian telah melengkapkan sekolah dengan infrastruktur dan perkakasan, perisian dan aplikasi serta latihan guru.

Bagi program ini, kita berharap pisang tidak berbuah dua kali, dan belajar daripada kesilapan program pembestarian sebelum ini.

Keempat, bagi usaha memartabatkan profesion keguruan, Kementerian Pelajaran telah memantapkan latihan perguruan dengan menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membolehkan penganugerahan ijazah kepada lepasan IPG.

Kelima, bagi usaha membangunkan modal insan yang bertumpu kepada gerakan memperkasa kokurikulum, pihak kementerian memperkenalkan borang penilaian yang standard bagi meminimumkan ketidakseragaman pemberian markah kokurikulum kepada pelajar untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Seperti yang dijanjikan sewaktu pelancaran PIPP, Kementerian Pelajaran telah pun mengotakan janjinya akan bersikap telus, accountable dan memegang integriti yang tinggi kerana jumlah peruntukan yang begitu besar kepada kementerian perlu dibentangkan dari semasa ke semasa.

Hal ini sedemikian supaya orang ramai memahami bagaimana peruntukan digunakan.

Kita berharap kad laporan PIPP ini akhirnya akan memberi kesan yang realistik kepada murid dan pelajar, dalam erti kata lain, kad laporan murid dan pelajar juga tiada yang bertanda dakwat merah dalam RMK-10.

No comments: