Tuesday, July 3, 2007

Britain belum selamat

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

ISYARAT yang ingin disampaikan oleh sesiapa juga yang melakukan siri serangan ganas di Britain pada minggu lepas cukup mudah. Jangan sama sekali lupakan isu atau hal-hal berkaitan keganasan, begitu barangkali cuba diingatkan oleh mereka.

Tidak pasti sehingga kini siapa yang bertanggungjawab dengan siri peristiwa berkenaan – satunya digagalkan manakala dalam beberapa lagi kejadian, ledakan bom terbabit membuatkan majoriti penduduk Britain berada dalam ketakutan serta trauma.

Namun sudah pasti mesej serangan itu ditujukan buat Perdana Menteri Britain yang baru, Gordon Brown. Brown, 54, baru sehari menggantikan Blair semasa serangan ganas di Lapangan Terbang Glasgow, bandar raya paling sibuk di Scotland. Mujur kecekapan pihak berkuasa telah membantu menggagalkan serangan di tengah London pada Jumaat lalu, tiga hari selepas Brown mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Britain ke-52, menggantikan Tony Blair.

Dalam siri serangan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi cukup membuatkan rakyat Britain diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Di Amerika Syarikat (AS), sekutu rapat Britain, tahap keselamatan juga dipertingkatkan, kerana dibimbangi negara kuasa besar itu menerima tempias serangan pengganas di London.

Sementara itu, kesimpulan daripada mesej yang ingin disampaikan oleh kumpulan atau individu penyerang dalam insiden di Britain ialah ia sememangnya serangan pengganas, walaupun pada mulanya pihak kerajaan di negara terbabit menafikan kaitannya.

Dikatakan, serangan mengambil ilham daripada insiden sebelum ini seperti di Bali, Indonesia dan Madrid, Sepanyol.

Seperkara lagi, jika serangan adalah serangan pengganas, kumpulan berkenaan bukan sahaja memberi ancaman keselamatan serius kepada Britain, tetapi mereka mahu diingati semula berhubung keupayaan melancarkan serangan demi serangan susulan yang boleh memberikan kesan kemusnahan maksimum.

Jangan dilupakan juga bahawa ia menghampiri ulang tahun kedua serangan bom ke atas sistem pengangkutan di London yang berlaku pada 7 Julai 2005. Serangan berganda di London itu cukup mengejutkan masyarakat dunia, di mana mereka tidak menyangka bahawa dengan tahap keselamatan ketat, kumpulan pengganas boleh membolosinya – menunjukkan keupayaan luar biasa mereka dalam memberikan tentangan kepada sasaran.

Ketika kejadian, Blair, meraikan pemimpin di sidang kemuncak ketua-ketua kerajaan G-8 di Gleneagles, Scotland.

Siri serangan nekad itu, yang berlaku semasa waktu puncak, ketika warga Britain bergegas ke tempat kerja, telah membunuh 52 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain.

Selebihnya, yang lebih penting, ia memaksa Blair melupakan seketika untuk membangkitkan isu-isu penting dan relevan ketika itu seperti soal perubahan cuaca dan bantuan hutang negara-negara Afrika. Blair sebaliknya terpaksa kembali dengan segera ke London bagi memantau selain memberi reaksi tentang tahap keselamatan di Britain.

Mengambil kira serangan bom terbaru ini ia mempunyai ciri-ciri atau mempamerkan modus operandi Al-Qaeda. Ia berlaku pada tarikh yang tepat atau istimewa. Secara kebetulan, ia berlaku selang sehari hingga tiga hari pelantikan Brown sebagai Perdana Menteri Britain yang baru pada minggu lepas. Serangan-serangan oleh kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda sebelum ini mempamerkan mereka memilih beberapa hari selepas pilihan raya (Madrid, Sepanyol); hari keraian yang diadakan di pusat peranginan (Kuta, Bali, Indonesia dan Sharm El-Sheikh, Mesir).

Dalam pada itu, semasa memegang jawatan sebagai Chancellor of Exchequer, di mana ia juga dikenali sebagai Kementerian Kewangan, Brown cenderung mengetepikan isu-isu yang dikaitkan dengan keganasan atau perang global bagi menentang keganasan. Walaupun beliau menjaga bajet, tetapi secara peribadi, Brown tidak menunjukkan pendiriannya tentang perang menentang keganasan, dikepalai Presiden AS, George W. Bush, selepas berlaku serangan berani mati pada 11 September 2001.

Satu analisis yang disiarkan di BBC News dan akhbar The Guardian membayangkan kemungkinan jika mana-mana bom kereta itu gagal dipatahkan cubaan serangannya.

Dalam BBC News misalnya, rencananya menjurus kepada bom kereta yang diletakkan di luar sebuah kelab malam popular di tengah London.

‘‘Jika polis tidak berjaya mematahkan cubaan meletupkan kereta yang dipenuhi berisi bahan letupan itu, sudah pasti, nyawa yang melayang bukan sedikit selain berupaya mendatangkan kemusnahan yang tidak boleh digambarkan sama sekali,’’ menurut satu tulisan dalam BBC News itu.

Di sisi lain, akhbar The Guardian pula menulis dalam ruangan lidah pengarangnya yang disiarkan Sabtu lalu, jika ia berjaya meletup sudah pasti insiden itu memaksa Brown mempamerkan wajah, kekuatan, karakternya yang sebenar. Karakter itu sudah pasti menjadi penanda aras sama ada beliau ada kualiti, kekuatan dan gaya kepimpinan sebagaimana yang diperlukan seandainya negara menghadapi serangan ganas atau ancaman keselamatan.

Mereka turut senada dengan akhbar-akhbar asing lain yang membuat kesimpulan bahawa serangan pengganas itu menjadi alu-aluan paling tidak boleh dilupakan oleh Brown sebagai Perdana Menteri. Dan itulah cabaran pertama paling getir buat Brown, yang juga Ketua Parti Buruh.

Bagi kebanyakan pemimpin, mereka diuji dengan kata-kata manis, dilimpahi ucapan tahniah apabila dipilih menerajui sesebuah negara. Benar, Brown menjadi alu-aluan sebegitu, cuma bonusnya, beliau diuji dengan ‘kiriman bom’ serta pesan daripada kumpulan pengganas.

Walaupun kepantasan tindakan para pegawai keselamatan Britain berjaya menggagalkan cubaan serangan bom itu, insiden berkenaan sudah cukup kuat memberi sebab buat Brown dan barisan kerajaannya untuk menangkap pesan daripada kumpulan pengganas di mana Britain dan London masih belum selamat daripada menjadi sasaran serangan ganas.

Dan kumpulan itu mahu juga menghantar isyarat bahawa mereka diam-diam ubi berisi. Jangan memperlekehkan keupayaan mereka dalam melancarkan serangan. Jika berjalan seperti mereka rancang, ia boleh mencetuskan kemusnahan maksimum, baik kepada ibu kota London dan negara itu secara keseluruhannya.

Scotland Yard, agensi perisikan di Britain pada masa ini sedang mengenal pasti siapa yang mendalangi serangan berkenaan. Tetapi difahamkan mereka berat mulut untuk mendedahkan identiti kumpulan pengganas yang bertanggungjawab itu.

Tetapi mengambil kira daripada bahan-bahan asas yang digunakan menjadi bom itu, boleh sahaja dijadikan teori bahawa ia kerja kumpulan pengganas profesional dan bukan baru mula menggerakkan usaha mereka. Laporan menyebut, bahan asas digunakan letupannya ialah silinder dan serbuk besi atau keluli, bahan yang kebiasaannya ditemui dalam bom kegunaan pejuang Iraq. Kumpulan itu (pejuang Iraq) menggunakannya bagi melancarkan serangan hampir rutin ke atas askar AS di Iraq.

No comments: