Monday, July 2, 2007

Pendatang asing jadi rakyat

Oleh ROSLEE MARDAN

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz menyatakan bahawa pelarian Filipina di Sabah lambat-laun akan diberi taraf kerakyatan penduduk tetap di negeri itu.

Pemberian taraf kerakyatan ini akan dikeluarkan kepada pemegang dokumen IMM.13. Asas yang mendorong beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ialah ia merupakan satu usaha jangka panjang kerajaan menangani kebanjiran pendatang asing di negeri Sabah.

Sebagai anak watan negeri Sabah yang bimbang konflik sosial di negeri tersebut, saya merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan berhubung isu ini. Kenyataan itu perlu diperjelaskan kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri Sabah dengan segera kerana kelak akan mengeruhkan permasalahan sosial yang serius jika ia dilaksanakan pada masa akan datang.

Tentunya rakyat Sabah menghormati niat kerajaan. Namun, pada pendapat saya ia bukanlah langkah berkesan bagi menangani masalah. Sebagai asasnya, kita perlu sama-sama memahami senario kehidupan (survival) warga asing khususnya pelarian Filipina di Sabah.

Umumnya kita mengetahui, masalah pendatang asing bukan sahaja menghantui negeri Sabah malah, pada hari ini, pendatang asing sudah pun membanjiri bandar-bandar besar di seluruh negara. Impak daripada kebanjiran pendatang asing ini jelas semakin membimbangkan terutama dari segi konflik sosial dan keselamatan negara. Contohnya kes jenayah seperti rogol, bunuh, rompak, samun dan ragut. Ini belum mengambil kira pencemaran bandar, pelacuran serta masalah setinggan. Benar bahawa warga tempatan juga terlibat dalam jenayah di negara ini. Tetapi jika tidak disumbangkan oleh kegiatan jenayah daripada pendatang asing, statistik jenayah di negara kita tidaklah seteruk seperti masa yang dilaporkan.

Sebenarnya harus difahami bahawa Sabah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah lama ‘berendam air mata’ akibat kebanjiran pendatang asing. Ini dialami terutama penduduk tempatan sendiri. Sebab itu, disarankan agar Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian yang serius kepada penyelesaian terbaik terhadap masalah tersebut. Kerajaan Persekutuan disarankan agar memahami sedalam-dalamnya akan kepentingan penduduk tempatan Sabah yang mana mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa untuk berhadapan dengan pendatang asing. Kebanyakan mereka datang sama ada bekerja sebagai buruh binaan sah atau datang secara haram. Pada masa kini penduduk tempatan Sabah mendakwa mereka (warga asing) dilihat telah berjaya ‘menawan’ bandar-bandar utama di negeri Sabah sehinggakan wajah sebuah bandar yang sepatutnya cantik dan indah telah dicemari oleh sikap negatif warga asing ini. Di pinggir-pinggir bandar, pendatang asing membina rumah setinggan.

Agak menghairankan pula, rumah setinggan yang dibina sejak tahun 80-an kini sudah dinaik taraf menjadi sebuah kampung. Berkali-kali pihak Majlis Perbandaran Kota Kinabalu pada masa itu (kini Majlis Bandaraya) merobohkan perkampungan tersebut. Namun begitu, malang bagi pihak berkuasa kerana sering menghadapi ancaman serangan fizikal dan maki hamun selain warga asing ini juga turut merusuh kononnya ingin menuntut hak mereka semula. Pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyediakan kemudahan-kemudahan asas sebagai memenuhi tanggungjawab kemanusiaan kepada penduduk warga asing.

Masalah tahap kebersihan di bandar-bandar utama di Sabah juga adalah disebabkan faktor atau sikap ‘pengotor’ warga pendatang asing. Sampah sarap kelihatan bertaburan. Malah, ada kalanya pihak berkuasa dituduh tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Dengan mengambil contoh di Kota Kinabalu, misalnya, kedai-kedai makan menjadi lokasi meminta sedekah oleh golongan kanak-kanak pendatang asing. Malah di tepi-tepi jalan raya, kaum wanita warga Filipina berniaga secara haram.

Ada kalanya ruang laluan jalan raya menjadi sempit dan mengganggu perjalanan trafik terutama pada hari pasar malam minggu. Sesetengah daripada mereka juga menjalankan perniagaan sehingga waktu malam dan berani mengugut orang awam jika barangan jualan mereka tidak dilayan. Antara barangan yang diniagakan ialah barangan rokok dan pakaian. Didapati semua barangan perniagaan ini memiliki tahap kualiti yang rendah.

Mencacatkan

Dari sudut ekonomi juga warga Filipina atau pendatang asing ini kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar dalam sektor pembinaan dan pembantu pasar raya, kedai runcit dan tukang sapu. Pelacuran juga menjadi bidang perniagaan yang menguntungkan bagi mereka. Keadaan hidup warga Filipina yang seolah-olah tidak terurus (disorganised) mencacatkan pemandangan negeri Sabah terutama di kawasan bandar.

Boleh dikatakan banyak sektor ekonomi di Sabah dikuasai oleh pendatang asing. Malah di kawasan bandar, warga Filipina cuba mewujudkan asimilasi dengan cara perkahwinan bagi membolehkan mereka mendapat layanan yang sama seperti penduduk tempatan. Motif mereka adalah untuk mendapatkan faedah ekonomi hasil kegiatan tanah yang dimiliki oleh ahli keluarga. Ini menggalakkan banyak penipuan dokumen oleh warga asing di Sabah.

Salah satu yang perlu kita fahami warga asing Filipina di Sabah ialah sikap dan sifat mereka. Sikap panas baran, suka bergaduh sesama sendiri, tidak menghormati orang lain (penduduk tempatan) dan sebagainya menyebabkan wujudnya pertentangan budaya dengan penduduk tempatan. Sifat agresif atau kasar warga asing Filipina tidak bersesuaian dengan norma dan budaya Malaysia. Pada pandangan saya sikap sebegini tidak akan mampu membina bangsa yang bersatu padu, satu bangsa yang berhemah dalam tindakan dan menghormati undangundang.

Bukti sudah pun nyata. Di negara asal mereka sendiri, keamanan tidak dapat dicapai sepenuhnya. Pertumpahan darah dan kekacauan telah mencacatkan pembangunan rakyat. Kita percaya, ini sebenarnya didorong oleh faktor sikap dan sifat bangsa mereka yang membentuk budaya negatif. Daripada sedikit huraian berkenaan senario warga asing Filipina di Sabah, dapatlah disimpulkan bahawa, usaha untuk menjadikan mereka sebahagian daripada penduduk negara Malaysia, ia perlu diperhalusi dan perlu mengambil kira pandangan majoriti rakyat khususnya negeri Sabah.

Kesan

Dalam hal ini, kita perlu melihat kesan jangka panjang kepada negara dan bangsa. Walaupun kita mempunyai wawasan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dengan kepelbagaian kaum, kita hendaklah bijak memastikan bangsa yang dibina adalah diadun daripada bangsa berkualiti.

Bangsa berkualiti bermaksud, bangsa yang bukan menjadi virus kepada bangsa lain untuk mewujudkan kacau-bilau sama seperti di negara asal mereka. Kadang-kadang terlintas di fikiran kita, jika benarlah warga Filipina di Sabah lambat-laun akan diberi taraf kerakyatan penduduk tetap, adalah dalam tempoh 15 atau 20 tahun akan datang warga asing seperti Indonesia, Myanmar, Afrika, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain pendatang asing yang berada di Malaysia akan diberi status yang sama? Apakah yang akan berlaku kepada struktur sosial negara Malaysia? Berjayakah kita mewujudkan bangsa yang maju dan berkualiti?

Dalam hal ini, kita perlu mempunyai identiti negara tersendiri. Kita tidak boleh menerima satu bangsa yang suka mewujudkan kacau-bilau dalam negara. Mana-mana negara yang makmur dan kaya sekalipun, tetapi jika bangsa itu tidak memiliki nilai menghormati undang-undang dan sesama manusia, sesebuah negara tersebut kelak akan hancur dan musnah. Oleh demikian, cukuplah sekadar kita memberi sedikit ruang untuk mereka menerima faedah kebajikan yang disumbangkan oleh kerjaan negara kita atas dasar kemanusiaan sejagat. Dilihat dalam konteks isu pelarian warga Filipina di Sabah, kerajaan sebelum ini telah pun menyediakan prasarana lengkap seperti pendidikan dan tidak ada diskriminasi dalam pemberian penjagaan kesihatan kepada pelarian. Sekolah menengah disediakan untuk warga Filipina yang lengkap dengan peralatan mengajar selain aksesibiliti yang sempurna.

Jika dibandingkan pula dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah, keadaan sangat jauh berbeza sehinggakan pelajar tempatan terpaksa menggunakan jambatan kayu balak dan tali untuk sampai ke sekolah. Oleh itu, pada pandangan saya, jika benar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan memberi taraf kerakyatan kepada warga Filipina, perbincangan dengan pihak kerajaan negeri Sabah perlu disegerakan atau setidak-tidaknya melakukan sesuatu yang lebih agresif, penuh komitmen dan strategi yang mantap bagi menangani permasalahan pendatang asing di Sabah. Sesungguhnya, memberi kerakyatan berstatus penduduk tetap kepada warga Filipina hanya akan menambahkan bilangan pelarian di Sabah umpama ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Semoga pihak kerajaan akan mengambil serius perkara ini agar penduduk tempatan dan bumiputera Sabah tidak menerima nasib seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

* PENULIS ialah Pegawai Eksekutif Unit Kedah Maju, Universiti Utara Malaysia, Sintok.

No comments: