Wednesday, July 4, 2007

Berterusan membanteras jenayah

Rencana Pengarang

ADA yang melihat langkah kerajaan mengumumkan lanjutan perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Mengejutkan kerana biasanya pengumuman untuk jawatan tinggi dan penting kerajaan seperti Ketua Polis Negara diumumkan di saat-saat akhir, iaitu apabila penyandangnya sudah menghampiri tarikh persaraan dan ada juga selepas bersara.

Namun, keputusan yang dibuat awal itu dilihat sebagai satu langkah bijak kerajaan bagi memastikan adanya kesinambungan dalam usaha memerangi jenayah dan rasuah yang semakin kompleks kini.

Keputusan awal itu juga akan membolehkan Musa meneruskan pelbagai agenda yang sudah dirancangnya dan pada masa yang sama, dapat mengelakkan masyarakat terutama pegawai polis daripada membuang masa ‘mencari’ pengganti beliau.

Sepanjang setahun menerajui pasukan polis, Musa telah memperlihatkan kewibawaannya dalam meningkatkan integriti pasukan itu dan memerangi jenayah habis-habisan termasuk jenayah terancang dan melibatkan orang kenamaan.

Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui meningkat sejak beliau menerajui pasukan itu dan ia adalah hasil usaha keras Musa dan pegawainya memerangi jenayah dan rasuah pada setiap masa.

Bagaimanapun, tempoh setahun tentunya tidak mencukupi untuk beliau memperlihatkan impak yang besar dan mengangkat martabat polis ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Melanjutkan perkhidmatan Musa juga bermakna kerajaan meyakini kemampuan beliau dalam mengurangkan kadar jenayah dan rasuah dan kini menjadi tugas beliau untuk membalas kepercayaan kerajaan itu dengan kejayaan.

Namun, Musa dan pasukan polisnya sukar untuk berjaya jika masyarakat bukan sahaja tidak memberikan kerjasama, malah lebih banyak mengkritik dan mencari salah.

Walaupun polis berusaha untuk memberikan yang terbaik tetapi tidak mungkin anggota polis boleh berada di setiap tempat pada setiap masa dan di sinilah peranan masyarakat membantu polis dengan memberikan maklumat.

Bagi pihak polis, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam mengurangkan kadar jenayah, antaranya ialah Rakan Cop dan memberikan nombor telefon bimbit pegawai polis kepada umum.

Rakyat perlu menyedari bahawa mereka adalah mangsa jenayah dan jika mereka tidak memberikan kerjasama, sukar untuk polis bertindak dengan lebih berkesan bagi melindungi mereka.

Orang seperti Musa yang terkenal dengan ketegasan dan komitmen tingginya boleh datang dan pergi tetapi seribu Musa pun tidak akan dapat membanteras jenayah sehingga ke tahap minimum tanpa adanya penyertaan masyarakat.

Lanjutan tempoh perkhidmatan Musa tidak akan bermakna tanpa sokongan dan kerjasama kita semua untuk membantu beliau.

No comments: