Sunday, July 1, 2007

Kisah-kisah cinta dalam mitos Yunani

Oleh MAZLAN NORDIN

DIJUMPAI baru-baru ini ialah sebuah puisi cinta yang ditulis 3,000 tahun lalu atas kertas daun papirus semasa pemerintahan Firaun di Mesir.

Beginilah terjemahannya dalam bahasa Inggeris oleh pakar-pakar bahasa:

Love

how i love to slip down to the pond

bathe with you close by the bank

just for you wear my new Memphis swimsuit

made of sheer linen, fit for a queen

come see how it looks in the water.

Namun, cinta bukan berkisar di kolam atau di taman bunga saja. Roda sejarah berputar hingga 30 tahun sebelum lahirnya Jesus dan berlaku percintaan di antara Cleopatra, asalnya permaisuri Mesir dengan Marc Antony, wira empayar Rom yang pandai berpidato dan bermain kata-kata.

Sebelum itu Cleopatra telah menjalin hubungan dengan Pompey dan selanjutnya dengan Julius Caesar hingga melahirkan anak. Menurut yang empunya cerita Cleopatra tidak pun berasa malu dengan hubungan tersebut.

Seperti telah diceritakan oleh Shakespeare kemudiannya Caesar mati ditikam oleh yang dulu rakan-rakan seperjuangannya (“Et tu, Brute? – kau juga, Brutus?) dan Antony mengambil tempatnya sebagai kekasih Cleopatra.

Malangnya hubungan mereka yang intim tidak begitu disenangi oleh pemimpin baru empayar Rom hingga berlaku peperangan yang membawa kekalahan kepada Antony. Lalu ia dan Cleopatra membawa diri ke Mesir dan akhirnya kedua-duanya membunuh diri. Begitu berahinya cinta Antony. Tapi Mesir terus menjadi jajahan takluk empayar Rom.

Kisah-kisah sedih yang sama muncul dari mitos Yunani, termasuk seperti dicatat mengenai Trojan War yang berlarut hingga sepuluh tahun. Perang berlaku setelah Paris, seorang putera raja menculik Helen, isteri Raja Menelaus.

Maka berlaku tragedi Achilles, wira utama Yunani, yang mengamuk setelah rakan dan juga kekasihnya, Patroclus mati dalam satu pertempuran. Achilles membunuh lawannya dengan kejam tetapi ia sendiri mati dipanah oleh Paris yang juga mati dibunuh kemudiannya.

Helen rujuk kembali dengan Raja Menelaus setelah jatuhnya Kota Troy (di bahagian barat negara Turki sekarang). Suami menerimanya balik kerana cinta? Demikian antara kisah-kisah cinta di kalangan pihak atasan mitos Yunani dan empayar Rom.

Hal sama berlaku di istana Kesultanan Melayu Melaka manakala Hang Tuah membantu sultan mengahwini Raden Mas Ayu, puteri Betara Majapahit. Dan betapa pula kisah Hang Tuah berjaya melarikan Tun Teja untuk menjadi isteri Sultan Melaka.

Kesan

Ditulis kemudiannya ialah pelbagai pantun, syair, gurindam, seloka dan lain-lain mengenai cinta dan kesan-kesannya seperti yang berbunyi:

Air dalam bertambah dalam

hujan di hulu belum teduh

hati dendam bertambah dendam

dendam dahulu belum sembuh

apabila banyak berkata-kata

di situlah jalan masuk dusta.

Awan beredar di gunung tinggi

nyala pelita ditaruh minyak

duduk di mana tuan kini?

hilang di mata di hati tidak.

Di mana tempat kuang bertelur?

di atas lata di curang batu

di mana sedap abang nak tidur?

di atas dada di ruang susu.

Saya tidak menanam nanas

tanam kepaya di dalam padi

saya tidak memandang emas

budi bahasa yang saya cari.

Mengiringi pantun-pantun cinta Melayu ialah pelbagai puisi dari lain-lain yang diterjemah ke bahasa Inggeris.

One pleasant smile from her

in a wink,

ten thousand blossoms fall in shame.

– (Hsin Chi-Chi: 1140 - 1207 bahasa Cina)

Ah, the darling!

ever as I steal along the ricefield - path

to meet my lover

The firefly kindles a light to show me the way (bahasa Cina)

Without paper or pen

into your heart I reach

listening is more poignant than any speech.

– Fawziyya Abu Khalid - Arab Saudi.

Mendapat perhatian pelbagai pihak ialah puisi Faiz Ahmad Faiz (1911 – 1984) dari Pakistan berjudul Don’t ask me for that love again yang dianggap puisi revolusunir. Ini kerana permintaan kepada yang dikasihinya supaya menerima hakikat bahawa kewajipan sosial dirinya lebih penting daripada cinta mereka. Antara lainnya berbunyi:

That which then was ours, my love,

don’t ask for that love again

there are other sorrows in this world

comforts other than love

don’t ask me, my love, for that love again.

Lain bunyinya dari puisi 3,000 tahun dulu pada zaman Firaun,

Berita kaki: Mingguan Malaysia minggu lalu menyiarkan sebuah laporan dari Jakarta, antara lain berbunyi:

“Rabu lalu, Kedutaan Malaysia di Jakarta turut menjadi sasaran para penunjuk perasaan. Walaupun bilangan yang mengadakan demonstrasi itu kecil (kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak dan wanita) ia mendapat liputan luas oleh lebih 50 wartawan, jurugambar media tempatan dan asing.” Lebih ramai wartawan daripada penunjuk perasaan?

Catatan: Bilangan penduduk Indonesia kira-kira 235,000,000.

* Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

No comments: