Sunday, July 1, 2007

Bezanya Brown dengan Blair

Oleh Zin Mahmud

Apabila Perdana Menteri baru Britain, Gordon Brown berucap Khamis lalu, banyak orang di negara itu mula berasa mereka akan memiliki pemimpin yang berbeza daripada Tony Blair.

Perbezaan itu diungkapkan oleh analisis dan komen akhbar-akhbar Britain yang keseluruhannya menyokong Brown. Perbezaan ketara ialah personaliti Brown yang serius, tidak sewarna-warni seperti Blair.

Walaupun keseluruhannya rakyat Britain sudah letih dengan Blair, terutamanya soal perang Iraq yang dianggap titik hitam bagi kepimpinannya tetapi perawakan bekas perdana menteri itu akan terus menjadi kenangan manis.

Brown masih memiliki karakter sosialis yang serius dan gemar bekerja keras serta terperinci dalam pertimbangan serta pemerhatiannya. Sebagai menteri kewangan dalam kabinet Blair selama ini, beliau dianggap cemerlang dan pemilihannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak dipertikaikan.

Malah boleh dianggap bahawa beliau adalah orang terbaik untuk menjadi Perdana Menteri Britain pada masa ini.

Bagaimanapun, sama ada beliau mampu memimpin Britain dengan cemerlang, hanya masa mengujinya. Termasuk usaha untuk memenangi pilihan raya akan datang seterusnya mengekalkan dominasi Parti Buruh untuk tempoh lebih lama lagi.

Walaupun buat masa ini kedudukan Parti Konservatif kurang mampu untuk mencabar Parti Buruh, tetapi jika Brown gagal memenuhi harapan rakyat Britain, ataupun berlaku perkembangan mengejut yang menjejaskan kepimpinannya, maka pihak era pemerintahan partinya boleh kecundang.

Sejarah menyaksikan Blair sebagai wira golongan kiri di Britain yang memecah dominasi Parti Konservatif selama 18 tahun dengan pemerintahan Margaret Thatcher dan John Major. Dengan Blair memerintah selama 10 tahun, Brown sekurang-kurangnya dapat menjadi Perdana Menteri lapan tahun lagi, barulah Parti Buruh boleh menyamai rekod Parti Konservatif sebelum ini.

Tetapi kejayaan Blair dalam pilihan raya Hari Buruh, pada 1 Mei 1997 disebabkan kejayaannya mengubah dasar Parti Buruh untuk meninggalkan sifat kirinya bergerak ke tengah dalam spektrum politik Britain.

Anjakan ini membawa kepada peralihan undi oleh penyokong-penyokong Parti Konservatif kepada Parti Buruh. Ditambah pula, Blair mempunyai personaliti menarik, banyak bercakap dan pandai berhujah yang membawa kepada tarikan pengundi.

Penulis masih ingat betapa CNN, yang pada tahun 1997 baru muncul dan popular, tanpa saingan daripada televisyen satelit lain menambahkan lagi populariti beliau di mata dunia. Ketika itu, televisyen satelit BBC baru hendak menyaingi CNN yang turut meletakkan perdana menteri mereka pada imej berita antarabangsa.

Satu lagi faktor populariti Blair di atas pentas antarabangsa, iaitu berbanding dengan pemimpin-pemimpin dunia lain ialah sifatnya yang disebut sebagai mesra media. Beliau pandai memanfaatkan media untuk meningkatkan imejnya. Inilah yang disebut oleh Brown pada hari pertama beliau sebagai perdana menteri ‘politik selebriti’.

Tetapi mungkin zaman Blair sememangnya era ‘politik selebriti’. Beliau digandingkan dengan pemimpin-pemimpin kiri dunia Barat seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dari Parti Demokratik yang menang pilihan raya pada tahun 1993 dan Canselor Jerman, Gerhard Schroeder dari Parti Sosial Demokratik yang menang pilihan raya pada tahun 1998 dalam apa yang disebut sebagai Jalan Ketiga.

Sokongan

Istilah Jalan Ketiga merujuk kepada dasar-dasar parti haluan kiri yang sudah bergerak ke spektrum tengah dan mendapat sokongan rakyat, termasuk daripada golongan kanan. Itulah yang dilihat sebagai apa yang berlaku di Britain, AS dan Jerman.

Terdapat juga lain-lain negara Eropah yang turut mengalami perubahan demikian. Bagaimanapun, Jalan Ketiga didapati hilang popularitinya bermula dengan kekalahan Al Gore, calon presiden Parti Republikan, yang kalah kepada George W. Bush.

Walaupun kemenangan Bush lebih berupa teknikal, tetapi ia merujuk kepada keadaan di mana Al Gore gagal memperoleh undi yang selesa untuk mengelak Bush daripada menjadi presiden.

Kemudian walaupun Blair menang pilihan raya secara berturut-turut tetapi hubungan rapatnya dengan Bush dari segi dasar luar khususnya berkaitan Iraq menjadikannya tidak lagi dianggap sebagai Jalan Tengah. Beliau dipandang berada di jalan kanan.

Akhirnya pada tahun lalu dengan kekalahan Schroeder kepada Angela Merkel dari Parti Kristian Demokrat, istilah Jalan Ketiga sudah dianggap berlalu.

Maka peranan Brown adalah kembali ke Jalan Tengah yang membawa kemenangan Blair. Apabila beliau menyebut mengenai perubahan, ia lebih merujuk kepada dasar luar yang berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Blair. Maknanya, tugas utama beliau ialah menyelesaikan masalah Iraq, daripada soal pengunduran tentera dari negara itu, meningkatkan hubungan dengan negara-negara Islam dan akhirnya hubungan yang berbeza dengan AS.

Hubungan Britain dengan AS akan menjadi lebih berbeza daripada sekarang apabila Washington mendapat presiden baru selepas Bush. Tidak kira sama ada dari Parti Demokratik atau Republikan, keadaan sudah tidak sama berbanding dengan Bush-Blair.

Sementara itu perubahan di Eropah yang mana penduduk di sana menolak aliran kiri seperti yang terserlah dalam kekalahan Schroeder di Jerman tahun lalu dan calon Parti Sosialis Perancis, Segolene Royale dalam pilihan raya presiden negara tidak lama dahulu memberi tanda-tanda yang diambil berat oleh Parti Buruh dan Brown.

Tetapi Brown telah meletakkan satu masa depan yang segar bagi Parti Buruh dan Britain. Ia berbentuk pelantikan David Miliband sebagai Menteri Luar Britain. Di negara itu, jawatan tersebut dipanggil setiausaha luar.

Miliband berusia 41 tahun dan kemudaannya dilihat sebagai wajah segar di samping dilihat sedang dididik untuk menjadi pemimpin masa depan Parti Buruh dan Britain. Beliau ialah menteri luar paling muda dalam sejarah 30 tahun Britain.

Walaupun Miliband dianggap sekutu Blair, malah pernah disebut sebagai calon yang mampu menentang Brown dalam pemilihan parti, tetapi pelantikannya dilihat sebagai usaha Brown membawa Britain ke zaman pascadasar luar Blair.

Hakikat bahawa bapa Miliband, Ralph seorang ahli teori politik Marxis juga diambil kira oleh para pemerhati. Politik Britain akan terus berkisar antara Parti Buruh dan Parti Konservatif dengan cabaran daripada Parti Nasionalis Scottish di Scotland.

Mampu

Keseluruhannya, tidak ada parti kecil di England yang mampu merungkai sistem dwiparti Buruh-Konservatif. Walaupun ada ketikanya Parti Liberal Demokrat memecah masuk ke kawasan-kawasan pilihan raya ketika kedua-dua parti ditolak oleh pengundi.

Dalam keadaan begini, kedua-dua pihak Buruh dan Konservatif membina tradisi intelektual politik mereka secara mendalam, dan dinamika mereka inilah yang mencorakkan negara Britain.

Walaupun Britain sebuah negara kecil dan tidak lagi memiliki empayar tetapi peranan perdana menterinya adalah besar dalam dunia yang didominasi kuasa tunggal iaitu AS. Dari segi dasar luar, AS dan Britain seperti sebuah kuasa. Ada tuduhan bahawa Blair dianggap sebagai pak turut kepada Bush.

Bagaimanapun dari sudut lain, AS seolah-olah tidak memiliki keyakinan diri dan mereka memerlukan sokongan Britain. Atau adakah ia lebih kepada sudut psikologi?

Maka tidak hairanlah ada penganalisis yang menamakan sistem kekuasaan global hari ini didominasi oleh paksi Anglo-Saxon, iaitu barisan AS-Britain. Bagaimanapun, apabila melihat gaya Australia dalam dasar luarnya, mereka juga seolah-olah tidak dapat melepaskan diri daripada dasar-dasar AS.

Hujah yang diberikan mereka seperti diungkapkan oleh agensi-agensi pemikir Australia mengenai mengapa negara itu menjadi sekutu AS, malah boleh dianggap sebagai leftenan kepada Washington ialah negara itu mempunyai pantai yang panjang dan terdedah kepada ancaman luar dari laut.

Untuk mempertahankan diri, Australia yang mempunyai penduduk 20 juta saja tidak mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan AS. Tetapi adakah satu kebetulan bahawa ketiga-tiga negara, AS, Britain dan Australia berasal dari Anglo-Saxon dan oleh itu saling menjadi sekutu sesama sendiri?

Kanada dan New Zealand tidak dilihat menyertai sekutu ini walaupun kedua-duanya turut didominasi oleh Anglo-Saxon. Dari sudut etnik, Kanada mempunyai kaum daripada keturunan Perancis sementara kehadiran Maori yang besar di New Zealand menyebabkannya tidak serupa dengan Britain. Tetapi berkemungkinan juga, soal etnik adalah kebetulan, lebih penting lagi ialah budaya dan tradisi intelektual serupa.

Daripada sistem politik Westminster di London, ia berkembang ke Washington dan Canberra. Tetapi kedudukan intelektual politik London terus unik dan menjadi inspirasi kepada kedua-dua negara.

Atau kebetulan bahawa kedudukan geopolitik AS yang begitu besar dan berkuasa memerlukan sokongan Britain di Eropah dan Australia di Pasifik. Mungkin lebih tepat lagi paksi AS-Britain-Australia ini wujud dengan semua campuran faktor di atas iaitu geopolitik, budaya dan juga etnik.

Tetapi kesimpulannya, paksi inilah sekarang yang mendominasi dunia dengan bahasa mereka, Inggeris menguasai dunia begitu juga pencapaian-pencapaian lain seperti sains, teknologi dan hiburan.

Walaupun AS adalah kuasa besar tetapi penggerak inspirasinya terdapat di London. Ia tetap menjadi ibu ketamadunan dan Brown mewarisi jawatan yang penting dan berpengaruh.

Kalau dianggap bahawa beliau di tengah-tengah paksi kuasa London, maka di kanannya ialah Miliband sebagai Menteri Luar yang akan mencorak dasar luar Britain. Di sebelah kiri ialah Blair. Walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau mahu dilantik sebagai utusan khas bagi Asia Barat.

Tidakkah suatu yang ironi melihat seorang yang membawa Britain ke dalam masalah di Iraq tetapi dilantik sebagai utusan damai untuk menyelesaikan masalah di Asia Barat? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), AS, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan Quartet bagi Asia Barat menamakan Blair sebagai wakilnya. Beliau juga disokong oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Bagaimanapun Hamas menolak.

Britain terus perlu berperanan di Asia Barat, bukan saja sebagai pelindung Israel seperti yang dilakukan AS tetapi juga memiliki kecenderungan untuk memihak kepada Arab. Dari sejarahnya, sebelum kemasukan AS, Britain bertanggungjawab ke atas Palestin, Iraq, Jordan, Mesir dan negara-negara Arab Teluk. Masalah yang ada sekarang adalah warisan Britain semasa menjadi penjajah.

Tetapi kini ia menjadi tanggungjawab Brown, Miliband dan Blair. Mereka akan diperhatikan oleh media Britain yang akan terus menganalisis mereka untuk difahamkan oleh pengundi di negara itu.

No comments: