Thursday, July 5, 2007

PACE atur strategi bantu Palestin

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

LANGKAH kecil Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), sebuah pertubuhan penyelidikan mengenai Palestin, bermula di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia melalui Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsanya (JIM-International).

Menyedari isu Palestin adalah isu besar selain wajar menjadi agenda umat Islam secara sejagat, langkah perjuangan dalam JIM-International itu perlu diperpanjangkan.

Memang di dalam JIM-International, isu Palestin menjadi sesuatu yang sentiasa diperjuangkan sejak lebih enam tahun lepas.

Bentuk perjuangan itu antaranya merangkumi pengumpulan dana bagi membantu survival penduduk Palestin.

‘‘Tetapi isu Palestin sebenarnya tidak sekadar mengumpul dana, ia menuntut atau melibatkan strategi juga. Strategi itulah yang melahirkan kajian dan penyelidikan, sekali gus membuahkan PACE sejak setahun lalu,’’ kata Pengarahnya, Dr. Hafidzi Mohd. Noor semasa ditemui di pejabat PACE, terletak di deret rumah kedai di Pusat Bandar Melawati, baru-baru ini.

Mengapa perlu sebuah pusat kajian bagi membantu Palestin sedangkan banyak usaha lain sebelum ini menemui jalan buntu?

‘‘Latar belakang masalah mereka penting untuk diketahui sebelum sebarang bentuk bantuan dihulurkan. Kami di PACE berpandangan amat penting kefahaman tentang masalah akar umbi itu dijelas serta dikongsi seluruh umat Islam di dunia ini.

‘‘Masalah Palestin ialah masalah umat Islam. Penjelasannya perlu diketengahkan bahawa adalah menjadi tugas seluruh umat Islam supaya peka akan masalah ini seterusnya turut sama tampil membantu,’’ ujar beliau.

Hafidzi memberitahu, dalam usia setahun jagung, hasil kajian dan penyelidikan yang dibuat PACE mendapati, agak malang bahawa ramai di kalangan masyarakat Islam di Malaysia masih naif tentang apa yang berlaku di Palestin, malah jauh sekali untuk menghayati isu tersebut.

Benar, mereka cukup berminat dan simpati dengan isu Palestin, tetapi adalah silap cuma bersimpati dan mengalirkan air mata sahaja apabila hal-hal kesengsaraan, penderitaan dan jerit protes Palestin dipertontonkan.

Tetapi kebanyakan pandangan orang yang bersimpati ini adalah sama. Pandangan ramai menyatakan : ‘‘Oh, isu ini isu Palestin sahaja, kita bantu duit.’’ Jangan tidak tahu, ada juga menyatakan isu ini terbatas buat kaum Arab sahaja, jadi kaum lain usah masuk campur, biar Liga Arab menyelesaikannya. Malah lebih malang, bagi yang terpengaruh dengan kempen media dikuasai Barat dan Yahudi mereka lantas membuat kesimpulan melulu dan suram bahawa umat Islam di Palestin adalah golongan pengganas yang mengganggu kaum Yahudi, yang merupakan rakyat sebenar bumi Palestin.

Bagi yang mempunyai pandangan sebegitu, kita boleh berikan perbandingan sebegini.

Bayangkan begini. Di Palestin terdapatnya Baitulmaqdis. Di Baitulmaqdis terletaknya Masjid Al-Aqsa. Di Masjid Al-Aqsa adanya kiblat umat Islam yang pertama dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj. Tetapi Masjid Al-Aqsa dijajah dan dirampas, apakah itu belum cukup untuk menjadikan kita peka lalu terpanggil membantu?

PACE kata Hafidzi, bergerak memperdalamkan kefahaman umat Islam di negara ini melalui beberapa pendekatan.

Antaranya ialah siri jelajah, seminar, ceramah, penulisan dan kutipan dana selain penerbitan video cakera padat (VCD) serta buku.

Siri jelajah kebiasaannya ialah dengan mengadakan ceramah di masjid, surau, pejabat (waktu tengah hari), institusi pengajian tinggi awam serta swasta, hotel dan sebagainya.

Hanya dengan medium itu ia dapat disampaikan maklumat supaya kefahaman itu berupaya ditajamkan. Buat masa ini, PACE memiliki lima orang penceramah atau pakar dalam isu Palestin ini, yang berkeupayaan memenuhi undangan ceramah atau seminar bagi menjelaskan hal berkenaan.

Sementara itu Hafidzi berkata, dalam setiap ceramah yang dihadirinya serta rakan-rakan aktivis di PACE, mereka sering menjelaskan bahawa isu Palestin boleh dilihat dari sudut akidah dan kemanusiaan.

Dari sudut akidah, ujar beliau, Palestin dan Masjid Al-Aqsa itu perlu dibebaskan daripada cengkaman ‘penjajahan’ kerana sebab-sebab sejarah yang dimiliki.

Justeru, umat Islam wajar menggembleng tenaga untuk memerdekakan Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Dari sudut kemanusiaan pula, isu Palestin ini harus dilihat betapa penduduk di situ menjadi mangsa ketidakadilan di mana mereka ialah penduduk asal tetapi dinafikan di bumi sendiri. Kalau kita bukan namakan itu penganiayaan, apalagi nama yang sesuai supaya kita tergerak hati untuk membantu?

Ditanya apakah wujud penyelesaian mutlak untuk Palestin, Dr. Hafidzi mengakui, pihaknya senada dengan kumpulan atau pertubuhan lain yang berorientasikan membantu Palestin di dunia bahawa isu berkenan tidak akan selesai dalam tempoh setahun dua.

‘‘Ia memerlukan strategi jangka panjang dan kesepakatan dalam isu ini selain kefahaman. Dan natijah kepada kefahaman yang sama boleh menggerakkan usaha dalam upaya rakyat serta kerajaan demi menyelesaikan masalah. Itulah peranan yang cuba dimainkan oleh PACE sekarang.’’

Mudah kata, PACE diwujudkan bagi menjadi pusat kecemerlangan dan penyelidikan demi pembebasan Palestin.

Menjenamakan semula DPMM

MUKADIMAH

SEJARAH penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bermula dengan nama Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Semalaya (GDPMM) pada tahun 1956.

Selepas melalui beberapa kepimpinan bermula dengan Tengku Razaleigh Hamzah, nama DPMM akhirnya dimuktamadkan pada tahun 1994 apabila Tan Sri Azmi Wan Hamzah sebagai peneraju ketika itu mahu hanya perkataan perniagaan dikekalkan.

Pada peringkat awal penubuhannya, DPMM begitu berpengaruh sehingga suaranya bukan sahaja didengar, tetapi diterima oleh kerajaan dalam menggubal sebarang dasar dan program yang melibatkan pembangunan usahawan bumiputera. Pengaruhnya juga amat menyerlah di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, selepas era akhir 1990-an, DPMM dilihat begitu lesu dan tidak agresif lagi serta tidak begitu menonjol seperti semasa awal penubuhannya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NORAINI ABDUL RAZAK, Presiden DPMM yang baru dipilih, Syed Ali Alatas berkongsi visi untuk mengembalikan semula kecemerlangan DPMM.

Perjuangan Syed Ali untuk membangunkan usahawan Melayu bermula sejak April 1957 lagi berikutan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Johor di mana beliau sebagai pengurus Toko Alatas ketika itu turut bertanggungjawab mengasaskan DPMJ.

Soalan: Selepas dipilih sebagai Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), apakah visi Tuan Syed?

Syed Ali Alatas: Adalah menjadi keutamaan saya untuk cuba sedaya upaya mengembalikan kecemerlangan DPMM. Ini selaras dengan harapan semua anggota dan para usahawan Melayu di seluruh negara yang mahu DPMM menjadi sebuah institusi yang boleh dibanggakan dan dihormati di semua peringkat.

Saya mengatakan ‘mengembalikan kegemilangan’ kerana sepanjang fasa pertama penubuhannya, DPMM sememangnya cemerlang walaupun ketika itu kita bergerak dalam serba kekurangan.

Saya masih ingat semasa Kongres Ekonomi Melayu pertama pada tahun 1964, ahli-ahli DPMM sepakat menutup kedai atau perniagaan masing-masing semata-mata untuk memastikan mereka dapat hadir. Ketika itu DPMM diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketika itu kita ke Kuala Lumpur menggunakan duit sendiri, bas pun tak ada pendingin hawa, kami duduk beramai-ramai di hotel di Chow Kit. Namun semua kekurangan itu tidak menghalang kami untuk bersepakat mencari serta merangka agenda-agenda bagi membantu merancakkan ekonomi orang Melayu.

Semasa kongres pertama inilah lahirnya usul-usul yang mengagumkan seperti cadangan penubuhan Bank Bumiputra Malaysia, begitu juga usul menukar RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Walaupun ketika itu DPMM dianggotai oleh peniaga-peniaga kecil tetapi semangat untuk melihat bangsa Melayu maju menelurkan usul- usul seperti ini.

Ketika kongres kedua pada tahun 1968, jumlah keahlian DPMM bertambah kepada seratus lebih dengan kemasukan profesional seperti jurutera (pembantu teknikal ketika itu) dan beberapa orang akauntan.

Saya menjadi Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Johor ketika itu. Kita usulkan penubuhan Pernas dan Bank Pembangunan. Selepas itu diikuti dengan penubuhan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) pada tahun 1970-an. Ini adalah satu sejarah yang cukup membanggakan kita.

Semasa di bawah kepimpinan Tengku Razaleigh ini juga kita saksikan perubahan paling penting iaitu Presiden DPMM menerajui dewan-dewan perniagaan lain untuk misi perdagangan ke luar negara.

Saya pernah mengetuai delegasi ke Eropah di mana kita menjadi ketua rombongan bagi Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan India, Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia dan Dewan Perniagaan Antarabangsa.

Satu lagi kecemerlangan di arena antarabangsa ialah penglibatan DPMM dalam persidangan ekonomi Islam di Istanbul pada tahun 1976 yang dihadiri oleh lebih 40 negara Islam. Ketika itu Malaysia diketuai oleh Tengku Razaleigh namun beliau tidak dapat hadir dan saya sebagai Yang Dipertua DPMJ mewakili beliau.

Saya bangkitkan semua ini bagi membuktikan bahawa DPMM memang telah cemerlang baik di di negara sendiri mahupun di peringkat antarabangsa. Maknanya kita telah global dan dihormati

Di peringkat dalam negeri juga kita telah menubuhkan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan (NCCIM). Perlembagaan untuk penubuhan NCCIM kita gubal pada tahun 1974. Dalam perlembagaan semua dewan perniagaan akan bergabung dan duduk di bawah NCCIM. Satu persetujuan dicapai walaupun tidak termaktub dalam perlembagaan iaitu sesiapa yang menjadi presiden DPMM secara automatik dilantik sebagai presiden NCCIM. Ia adalah sebagai tradisi menghormati dan budaya ini telah berjalan lebih 40 tahun.

Adakah tradisi ini masih dihormati memandangkan kebelakangan ini DPMM dilihat tidak lagi cemerlang?

Memang timbul masalah kebelakangan ini. Oleh kerana DPMM tidak lagi dihormati kerana kegagalan kita untuk berfungsi seperti sepatutnya, ahli-ahli yang bernaung di bawah NCCIM berpendapat NCCIM perlu distruktur semula. Mereka mencadangkan supaya jawatan presiden perlu digilirkan dan bukan lagi menjadi milik mutlak DPMM. Hasrat ini telah disuarakan sejak empat tahun lalu.

Apa punca timbul cadangan itu?

Ini kerana kita semakin lemah dan gagal menonjolkan fungsi kita terutama dari segi kepimpinan. Sekarang zaman berubah, kita juga berhadapan dengan cabaran-cabaran besar yang menuntut kreativiti dan inovasi. Di sebalik perubahan pesat, pucuk pimpinan DPMM masih menggunakan cara lama, tidak ada inovasi dan tidak bergerak. Ia langsung tidak seiring dengan perkembangan industri perniagaan yang semakin rancak. Jika kita masih mengekalkan cara lama dan tidak mahu membuat perubahan mengapa dewan-dewan perniagaan yang bernaung di bawah kita dan telah maju masih mahu duduk di bawah kita. Mereka mesti mempersoalkan mengapa kita mesti menjadi ketua.

Tentulah orang yang lebih maju tidak mahu dipimpin oleh orang yang ketinggalan. Justeru ini satu cabaran dan kita perlu pimpinan sekarang kembali kepada kecemerlangan supaya kita dihormati dan dipercayai untuk menjadi pemimpin baik di dalam negara mahupun antarabangsa.

Apa sebenarnya masalah yang membelenggu DPMM sehingga ia dilihat sebagai gagal melaksanakan program- program bagi membantu usahawan Melayu?

Pertamanya sebab cabaran baru. Usahawan dulu tidak ramai begitu juga dengan perniagaan dulu tidak kompleks macam sekarang. Dalam industri pembinaan misalnya dulu kita hanya buat rumah kecil sekarang ni kita buat bangunan pencakar langit, lebuh raya. Tetapi di sebalik perubahan itu macam saya katakan tadi kita masih mengendalikan aktiviti kita berasaskan kepada format lama.

Mengapa menggunakan pendekatan lama sedangkan DPMM dipimpin oleh cerdik pandai dan bukan calang-calang orang?

Kita bercakap mengenai kepimpinan. Katakan kita adalah tuan tanah yang berhasrat untuk membina bangunan. Sebagai tuan tanah kita mesti mencari arkitek, jurutera untuk memastikan bangunan itu siap dibina mengikut spesifikasinya. Sebagai tuan tanah kita mesti mempunyai visi mengenai bangunan yang ingin dibina dan komited dengan apa yang kita mahu.

Tetapi kalau tuan tanah duduk sahaja tanpa memikirkan visi tentang bangunan itu tentu sahaja arkitek pun tak akan memulakan kerjanya kerana tiada siapa yang hendak memimpin. Inilah keadaan kita.

Boleh saya simpulkan kepimpinan sebelum ini umpama beku dan tidak bergerak. Ada perkara yang kita lakukan tetapi segala-galanya menggunakan cara lama seperti hanya mengadakan seminar sedangkan hasrat kita adalah untuk melahirkan 100,000 usahawan.

Malah satu sebab DPMM gagal menonjolkan peranannya ialah kerana kepimpinan tidak faham dengan kehendak semasa.

Mengapa DPMM dibiarkan terlalu lama diterajui oleh orang tidak faham kehendak serta cabaran semasa?

Tradisi kita ada muzakarah dan kongres. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini pimpinan kita agak malas, kalau saya boleh cakap macam itu.

Kita bermesyuarat pun sekali sekala sahaja. Kalau kita bekerja lapan jam sehari, orang bijak laksana sekalipun akan bekerja enam jam. Tetapi kalau kita hanya bekerja setengah jam macam mana pandai pun tak cukup. Jadi bagi saya kita terlalu relaks sehingga tidak membuat apa-apa.

Justeru bagi saya dulu sepatutnya kita sentiasa lapan jam, tapi sebab kita tak buat sebegitu sekarang kita terpaksa buat 16 jam untuk kejar apa yang kita tertinggal.

Tadi anda tanya mengapa kita biarkan terlalu lama DPMM diterajui oleh orang seperti ini. Ini kerana kita ada perlembagaan. Perlembagaan kata mesyuarat agung setiap tiga tahun sekali, apa jadi pun kita kena tunggu tiga tahun, kita kena sabar. Jadi tiga kali sabar kita terpaksa menanggung semua ini selama sembilan tahun. Enam tahun dulu saya pernah cuba nak pinda perlembagaan ini tetapi gagal sebab orang lain tidak faham dan untuk memahamkan orang pun bukan kerja mudah.

Satu lagi orang Melayu suka memberi peluang kedua kepada orang lain, oleh kerana saya tidak boleh melihat keadaan ini berterusan saya cuba bertolak ansur dengan menjadi timbalan tetapi keadaan masih begitu sedangkan ahli-ahli DPMM mahu perubahan.

Tuan Syed menjadi timbalan, satu jawatan yang besar dalam DPMM, apa peranan Tuan Syed semasa itu?

Saya diberi peranan yang kecil iaitu membangunkan produk halal dan produk kampung. Saya juga mengendalikan portfolio pertanian dan asas tani. Portfolio ini rumit kerana kita kena pastikan setiap produk yang dihasilkan selain halal juga mempunyai nilai tambah supaya ia boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah saya berjaya menjalankan tugas apabila 80 peratus produk yang dihasilkan oleh usahawan Melayu yang saya selia kini berstatus global.

Selain itu, saya tidak mempunyai fungsi-fungsi lain. Dan ketika itu hanya portfolio saya yang bergerak manakala yang lain-lainnya beku tiada kepimpinan jauh sekali inovasi.

Saya tak diberi peluang untuk betul-betul memimpin bagi membetulkan keadaan dan kelemahan di situ.

Apa kelemahan-kelemahan lain yang Tuan Syed sebagai Presiden baru DPMM nampak dan mesti segera diperbaiki?

Saya berani katakan hampir semua portfolio yang ada tidak berjalan. Begitu juga dengan urus setia DPMM yang jelas tiada hala tuju, kakitangan kita tidak dilatih atau diberi kemahiran yang secukupnya. Mereka bagus tetapi tanpa latihan atau tunjuk ajar mereka tidak akan ke mana.

Itulah DPMM gagal menyerlah seperti- mana dewan-dewan perniagaan lain di dunia yang boleh dijadikan contoh. Perkembangan DPMM tidak seimbang langsung dengan pembangunan negara yang begitu pesat sehingga dikagumi oleh negara luar.

Kita lihat dewan perniagaan di Dubai sangat maju. Begitu juga di Istanbul sedangkan jika dibandingkan perdagangan kita pada tahun lepas iaitu RM1 trilion adalah lebih besar jika dibandingkan dengan Turki dan Pakistan. Tetapi kalau kita lihat Dewan Perniagaan Istanbul mempunyai bangunan 20 tingkat dengan staf lebih 300 orang. Mereka juga begitu cekap.

Apabila orang luar datang ke Malaysia mereka mengagumi Putrajaya, Koridor Raya Multimedia (MSC) dan menjadikannya contoh. Tetapi apabila melihat DPMM apa yang boleh dibanggakan?

Dubai atau Istanbul mungkin jauh sangat untuk dibuat perbandingan. Bukankah lebih tepat jika kita melihat Dewan Perniagaan Cina yang begitu maju dan bersungguh-sungguh untuk memajukan komuniti perdagangan mereka?

Saya mengaku kita terlalu jauh ditinggalkan. Dewan Perniagaan Cina mempunyai bangunan sendiri dan staf mereka juga bekerja keras untuk membina jenama mereka sendiri. Kita kena betulkan kelemahan kita. Sebab itu perancangan pertama saya ialah DPMM mesti mempunyai bangunan sendiri dan kita dah mulakan peringkat awal cadangan ini. Kita akan buat bangunan sendiri di Kuala Lumpur setidak-tidaknya 30 tingkat. Tanah telah dikenal pasti iaitu berdekatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekarang kita sedang berbincang mengenai tempoh pajakan yang pendek supaya dapat dipanjangkan. Kalau semua pihak menyokong dan tidak ada masalah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, semua ini akan menjadi kenyataan.

Sekarang pun sudah ada arkitek yang berminat dan mereka berlumba-lumba untuk mencurahkan idea semacam ada satu pertandingan untuk membina menara DPMM.

Setakat mempunyai bangunan yang hebat belum tentu DPMM akan menghasilkan program-program yang hebat juga. Bagaimana pula dengan kekangan sumber manusia?

Ya, sumber manusia adalah jentera penting kita. Sebelum ini kita tidak ada pegawai perhubungan awam sedangkan bagi orang berniaga kita mesti ada orang yang boleh menguruskan rangkaian kerja kita. Apatah lagi DPMM bukan sekadar berniaga. Kita bertanggungjawab kepada dewan-dewan perniagaan lain tetapi kita tidak ada pegawai perhubungan awam. Bukankah ini misteri pelik yang perlu diselesaikan segera.

Selain itu kita tidak ada jabatan pembangunan usahawan sedangkan tugas DPMM ialah membangunkan usahawan. Jadi selain merencanakan pembinaan menara DPMM saya telah mewujudkan Jabatan Perhubungan Awam yang diketuai oleh seorang pengurus supaya DPMM dapat bergerak secara terurus dalam usaha untuk membina jenamanya semula supaya bukan sahaja dikenali malah dihormati serta dijadikan tempat rujukan.

Saya juga telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Usahawan sebagai mekanisme untuk membangunkan golongan usahawan Melayu. Jabatan ini akan dilengkapi dengan pegawai-pegawai terlatih. Setiap negeri akan mempunyai pengurus pembangunan usahawan mereka sendiri. Mereka ini dilatih supaya cekap mengendalikan misalnya soal pinjaman, penyediaan kertas kerja dan hal ehwal berkaitan cukai.

Selain itu Jabatan Pentadbiran yang dulunya bersatu dengan Jabatan Kewangan dipisahkan untuk meminimumkan beban kerja staf di situ.

Dan paling penting kita wujudkan juga Jabatan Penyelidikan yang membuat kajian mengenai data perniagaan orang Melayu supaya mereka dapat dibimbing. Saya akan memastikan setiap data sentiasa dikemas kini dan perkara seperti ini telah berjaya kita lakukan di Johor melalui program Buku Kuning.

Lain-lain jabatan yang penting ialah penubuhan jabatan presiden yang akan menyelaraskan NCCIM serta segala aktiviti yang ada hubung kait dengan ASEAN Chamber of Commerce, International Islamic Chamber of Commerce yang kita sekarang ini adalah naib presidennya. Begitu juga dengan Majlis Perniagaan Ekonomi Melayu yang menaungi 47 persatuan ekonomi Melayu. Seperkara lagi ialah penubuhan Majlis Fikrah yang dianggotai oleh barisan pakar perdagangan antarabangsa.

Bagaimana pula dengan usaha melahirkan usahawan Melayu?

Visi kita ialah melahirkan 10,000 usahawan baru setiap tahun. Saya yakin usaha ini akan berjaya dengan kerjasama semua pihak termasuk institusi perbankan, agensi kerajaan, kementerian dan syarikat milik kerajaan.

Menjelang 2020 kita menyasarkan sekurang-kurangnya 150,000 usahawan Melayu dapat dihasilkan di mana mereka ini akan menguasai premis-premis perniagaan di seluruh negara terutama di bandar-bandar besar.

Saya percaya kita boleh buat semua ini dengan menstruktur semula mekanisme di dewan perniagaan seluruh negara dan visi ini hanya boleh dijayakan dengan adanya komitmen serta kesungguhan politik dan dasar-dasar kerajaan.

Apatah lagi kini terdapat kira-kira RM100 bilion di bank-bank yang tidak digunakan (unused fund) kerana bisnes yang semakin berkurangan dan kita hanya memerlukan RM50 bilion setahun untuk melahirkan 10,000 usahawan. Jadi semuanya ini bukan angan-angan kosong.

Apakah cabaran paling besar?

Visi kita mesti jelas, kita mesti faham apa sebenarnya isu-isu serta masalah-masalah yang menghalang kita daripada menjadi maju, mengapa program yang kita jalankan tidak berkesan, apa halangan kita untuk memajukan bangsa. Selepas faham baru kita boleh melaksanakan program yang lebih berkesan. Kita juga mesti memahamkan orang lain tentang visi kita supaya ada kerjasama di kalangan mereka untuk sama-sama menjayakan apa yang kita semua hasratkan. Jika orang tidak faham visi kita macam mana mereka hendak membantu atau sekurang- kurangnya menyokong program-program yang kita jalankan.

Paling penting ialah cabaran untuk menjadikan DPMM sebagai satu jenama yang disegani dan dihormati, sejajar dengan peranan kita sebagai payung kepada semua dewan perniagaan.

Wednesday, July 4, 2007

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG lega dengan saranan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi agar Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan badan pembekal maklumat kewangannya.

Saranan tersebut diharap dapat menjadi kenyataan. Awang percaya ia adalah penyelesaian terbaik bagi menamatkan kontroversi berhubung isu Credit Tip-Off Service (CTOS) Sdn. Bhd.

Sememangnya BNM berupaya mewujudkan sebuah badan yang boleh dipercayai untuk tujuan berkenaan kerana ia mampu mendapatkan maklumat tersebut.

Ketika ini pun, bank pusat itu melalui Central Credit Information System (CCRIS) memberikan maklumat berkaitan tanggungan pinjaman individu kepada bank.

Lagipun keyakinan orang ramai terhadap CTOS telah terhakis berikutan kontroversi itu. Makin banyak kes individu teraniaya disebabkan maklumat tidak cukup dan tidak dikemaskinikan.

Rupa-rupanya selama ini CTOS tidak diberi kuasa untuk memberikan maklumat peribadi individu kepada pihak lain termasuk bank.

Awang yakin kepentingan pengguna akan lebih terjamin menerusi peranan yang dimainkan oleh BNM.

Awang – Tahniah M. Kayveas.

Berterusan membanteras jenayah

Rencana Pengarang

ADA yang melihat langkah kerajaan mengumumkan lanjutan perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Mengejutkan kerana biasanya pengumuman untuk jawatan tinggi dan penting kerajaan seperti Ketua Polis Negara diumumkan di saat-saat akhir, iaitu apabila penyandangnya sudah menghampiri tarikh persaraan dan ada juga selepas bersara.

Namun, keputusan yang dibuat awal itu dilihat sebagai satu langkah bijak kerajaan bagi memastikan adanya kesinambungan dalam usaha memerangi jenayah dan rasuah yang semakin kompleks kini.

Keputusan awal itu juga akan membolehkan Musa meneruskan pelbagai agenda yang sudah dirancangnya dan pada masa yang sama, dapat mengelakkan masyarakat terutama pegawai polis daripada membuang masa ‘mencari’ pengganti beliau.

Sepanjang setahun menerajui pasukan polis, Musa telah memperlihatkan kewibawaannya dalam meningkatkan integriti pasukan itu dan memerangi jenayah habis-habisan termasuk jenayah terancang dan melibatkan orang kenamaan.

Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui meningkat sejak beliau menerajui pasukan itu dan ia adalah hasil usaha keras Musa dan pegawainya memerangi jenayah dan rasuah pada setiap masa.

Bagaimanapun, tempoh setahun tentunya tidak mencukupi untuk beliau memperlihatkan impak yang besar dan mengangkat martabat polis ke satu tahap yang lebih membanggakan.

Melanjutkan perkhidmatan Musa juga bermakna kerajaan meyakini kemampuan beliau dalam mengurangkan kadar jenayah dan rasuah dan kini menjadi tugas beliau untuk membalas kepercayaan kerajaan itu dengan kejayaan.

Namun, Musa dan pasukan polisnya sukar untuk berjaya jika masyarakat bukan sahaja tidak memberikan kerjasama, malah lebih banyak mengkritik dan mencari salah.

Walaupun polis berusaha untuk memberikan yang terbaik tetapi tidak mungkin anggota polis boleh berada di setiap tempat pada setiap masa dan di sinilah peranan masyarakat membantu polis dengan memberikan maklumat.

Bagi pihak polis, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam mengurangkan kadar jenayah, antaranya ialah Rakan Cop dan memberikan nombor telefon bimbit pegawai polis kepada umum.

Rakyat perlu menyedari bahawa mereka adalah mangsa jenayah dan jika mereka tidak memberikan kerjasama, sukar untuk polis bertindak dengan lebih berkesan bagi melindungi mereka.

Orang seperti Musa yang terkenal dengan ketegasan dan komitmen tingginya boleh datang dan pergi tetapi seribu Musa pun tidak akan dapat membanteras jenayah sehingga ke tahap minimum tanpa adanya penyertaan masyarakat.

Lanjutan tempoh perkhidmatan Musa tidak akan bermakna tanpa sokongan dan kerjasama kita semua untuk membantu beliau.

Kesungguhan menangani krisis

Oleh MOHMAD SHAID TAUFEK

KRISIS banyak bentuk. Ada yang berulang dan ada yang berlaku sekali sahaja. Ada yang berlaku hanya ke atas diri seorang individu sahaja, ada yang mengena kepada sekumpulan kecil orang, dan ada yang melibatkan kumpulan orang yang besar bilangannya.

Ada krisis terjadi akibat daripada perbuatan sendiri yang tidak senonoh atau kerana tidak berbuat sesuatu yang perlu. Ada juga yang sengaja diada-adakan oleh orang-orang tertentu bagi mencapai sesuatu maksud ke atas orang lain.

Dalam kebanyakan kes, mereka yang dilanda krisis itu mendapat tahu mengenainya hanya selepas krisis itu menimpanya, tidak sebelumnya. Di kala itu semuanya telah terlewat dan keadaan sangat kacau. Jika bertindak panik maka keadaan akan menjadi lebih parah. Dalam banyak keadaan, krisis itu akan terus mengganas hingga ke penghujungnya dan menimbulkan krisis-krisis sampingan yang menjadikan usaha untuk mengatasi krisis keseluruhannya lebih sukar.

Kerana krisis tidak mudah dijangka bila akan berlaku, maka usaha untuk mengatasinya juga menjadi sukar.

Tetapi tidak begitu halnya dengan krisis yang boleh diramal kemungkinannya berlaku. Bagi krisis bentuk ini, persediaan bagi menghadapinya boleh dibuat. Jika segala persediaan telah dibuat dan langkah-langkah menangani krisis telah diambil, nescaya musibah daripada krisis itu sekurang-kurangnya akan dapat dibendung atau dikurangkan. Di sebaliknya, jika setiap kali krisis yang serupa itu berulang dan setiap kali itu jugalah kelihatan gelagat dan gamat yang sama seolah-olah krisis itu berlaku bagi kali pertama dalam pengalaman hidup, maka tentulah banyak perkara boleh menjadi tanda tanya.

Tindakan-tindakan bagi menghadapi krisis yang berulang ini memerlukan pemerhatian dan pemikiran yang mendalam serta langkah-langkah yang tepat lagi teratur. Ia tidak mencukupi hanya dengan turut berasa sedih atau terharu dan sekonyong-konyong menjadi sibuk tidak menentu setelah krisis berlaku. Pemerhatian perlu berfokus dan menjurus menepati kepada isu dan masalah yang berkaitan.

Pemikiran yang serius dan kritis perlu mendasari sebab akibat yang tulen merangkumi keadaan persekitaran dan tabiat serta amalan hidup manusia yang mendiami daerah geografik yang berkaitan.

Begitu juga dengan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil; ia perlu dilihat dari aspek-aspek ketepatan dan praktikalitinya, kesungguhan perlaksanaannya dan penguatkuasaan yang tidak boleh dikompromi. Jika diamat-amati, krisis-krisis yang berulang telah pun sedia mempunyai cara dan rangka tindakan bagi menghadapinya yang boleh diterima pakai atau diubah suai, atau setidak-tidaknya diteladani. Tanpa melihat kebelakangan maka peristiwa-peristiwa dan pengalaman terdahulu menjadi seperti angin yang berlalu sahaja.

Persediaan untuk menghadapi krisis memerlukan sekurang-kurangnya tiga bentuk tindakan; iaitu, pertama, mengadakan pelan tindakan untuk bersedia menghadapi krisis yang dijangka akan berlaku; kedua, tindakan masa kini bagi mengurang atau menghindarkan kesan krisis tanpa mengira krisis itu akan berlaku ataupun tidak; dan, ketiga, mengesan dan menyenggara sepenuhnya langkah-langkah yang dilaksanakan di peringkat kedua.


Langkah

Langkah yang kedua ini sama pentingnya dengan yang pertama. Langkah yang ketiga itu menjadi terlebih penting dalam keadaan di mana pembinaan prasarana utama pembendungan krisis berkala, jika ada, didapati belum siap atau siap dengan tidak sempurna.

Tidak ada gunanya jika ada cukup peralatan tetapi ia tidak dapat digunakan pada saat-saat kritikal dan amat memerlukan. Tidak ada gunanya kehadiran orang-orang kenamaan tertentu jika bantuan keperluan penting tidak dapat dikeluarkan dengan serta-merta. Kesannya akan mengeruhkan lagi keadaan daripada menenteramkan. Perlu ada prosedur tindakan asas terutama sekali bagi krisis yang dijangka berulang. Prosedur ini juga tidak mencukupi melainkan dikemaskinikan dari semasa ke semasa dan dilakukan latihan serta raptai yang berkenaan secara berkala. Ketidaksediaan akan hanya menimbulkan tindakan-tindakan yang tidak menentu, kelam-kabut dan menambahkan krisis kepada krisis yang sedang berlaku.

Jika mahu benar-benar berkesan dalam menghadapi sesuatu krisis, urusan yang berkaitan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada pegawai bawahan tanpa mereka benar-benar memahami akan keperluan, sistem, prosedur dan tanggungjawab serta komitmen yang terlibat. Tidak memadai dengan hanya mengeluarkan perintah sekali-sekala atau tatkala krisis telah melanda dan cuba mencari-cari helah di pihak lain sedangkan isu pokok yang berkaitan tidak benar-benar difahami dan pengesanan tidak dilakukan sepanjang waktu.

Dalam keadaan yang begitu kacau adalah menjadi harapan supaya tidak ada orang-orang yang duduk dalam keadaan bertanggungjawab pura-pura tidak tahu dan bergantung atau berlindung kepada bosnya, atau mencari-cari justifikasi di pihak lain. Mereka yang bijak dan benar-benar bertanggungjawab akan bertindak dengan berani, cekal dan sungguh-sungguh dalam menghadapi krisis walau bagaimana pahit sekalipun keadaannya.

* DATUK MOHMAD SHAID TAUFEK ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Prestasi enam bulan PIPP

Oleh WAHID HASHIM (WARTAWAN UTUSAN)



Hishammuddin Tun Hussein menunjuk kad laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

SEPAK mula pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) bermula 16 Januari lalu, dan prestasi enam bulan pertama telah dicatatkan dalam kad laporan sulungnya yang diumumkan pada sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Kalau diteliti kad laporan itu, tiada yang bertanda dengan dakwat merah. Semuanya biru.

Bukan kerana ‘guru besarnya’, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terlalu berlembut ketika memberi ‘markah’, tetapi kerana keberkesanan strategi, komitmen serta kempen pelaksanaan yang tersebar luas melalui media, sejak awal tahun ini.

Banyak perubahan yang telah berlaku, tetapi semuanya tetap terikat kepada semangat toleransi dan permuafakatan semua pihak.

Contohnya, tiada polemik perkauman dalam konteks memperkasa sekolah kebangsaan sejak 16 Januari.

Hal ini mungkin kerana tindakan pantas Hishammuddin dan timbalannya menempatkan sembilan buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan yang padat dengan masyarakat Cina, serta meluluskan dua buah sekolah baru.

Hishammuddin ketika mengumumkan prestasi enam bulan PIPP, melahirkan rasa puas hatinya dengan pencapaian sepanjang enam bulan itu.

Walau Menteri Pelajaran itu mengakui bukan semuanya ‘lulus 100 peratus’, tetapi beliau gembira kerana semua projek telah menunjukkan petunjuk indeks prestasi yang memberangsangkan.

Kata Hishammuddin: ‘‘Kita ada agenda tertentu yang boleh kita mara ke hadapan dengan cepat, ada agenda tertentu yang memerlukan lebih masa.”

Secara jujur, masih terlalu awal untuk menyatakan kejayaan atau kegagalan PIPP.

Namun begitu, dengan langkah mengumumkan prestasi kerja PIPP dan pencapaiannya secara terbuka, maka Hishammuddin dan pasukan kerjanya telah melaksanakan kebijaksanaan politik dalam melaksanakan perkara yang rumit.

Semua pihak tahu, dan boleh bercakap tentangnya.

Kad laporan itu menerangkan secara amnya pencapaian Kementerian Pelajaran sejak pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sehingga Jun 2007 yang meliputi tiga aspek utama iaitu i) pembangunan infrastruktur, ii) penggubalan dasar baru dan penambahbaikan dasar sedia ada serta iii) laporan tentang program yang dilaksanakan dan pencapaian sejak PIPP dilancarkan sehingga 2007.

Secara keseluruhannya, kad laporan PIPP ini masih menekankan aspek asas dalam pendidikan - agenda yang perlu disegerakan.

Sebab itulah, memang wajar kalau Hishammuddin menyebut dalam sidang akhbar itu bahawa perkara asas yang paling susah dan perlu ditangani secara bersungguh-sungguh ialah melengkapkan kemudahan asas di luar bandar.

Kemudahan asas itu meliputi isu bekalan elektrik dan air, kemudahan kepada guru, prasarana fizikal seperti bangunan sekolah, rumah guru dan sebagainya.

Hal ini menunjukkan kementerian itu telah berada di landasan yang betul, dengan niat yang betul.

Projek-projek lain seperti projek kecemerlangan sekolah dan sekolah showcase - seperti penubuhan sekolah kluster - lebih mudah untuk dilaksanakan dan belum perlu disegerakan, kata Hishammuddin.

Tradisi

‘‘Tradisi membela pelajar luar bandar dan pedalaman seperti penyediaan kemudahan asas iaitu bekalan air dan elektrik terus menjadi dasar utama PIPP,” tegasnya.

Beberapa penyelesaian cuba dicari.

Kuasa hibrid solar-diesel merupakan perkara baru bagi menggantikan set generator (gen-set) dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Kalau tidak dapat dibina bangunan sekolah, kabin menjadi galang ganti bilik darjah di kawasan yang mempunyai kemudahan persekolahan tetapi kurang murid.

Selain itu, guru pedalaman menerima habuan elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan (EKMLTK) tambahan sehingga RM1,500 mulai gaji bulan Mei ini.

Sebanyak 12,033 guru dikenal pasti menerima elaun itu.

Semua sekolah daripada semua aliran menerima agihan sama rata dan sama rasa.

‘‘Tumpuan kita adalah kepada tiga aspek, pertamanya aspek pembangunan infrastruktur, dan kedua, pembangunan infrastruktur yang disandarkan dengan dasar yang mantap dan kukuh.

Aspek ketiga pula, katanya, kementerian melaksanakan enam teras PIPP itu mengikut bulan.

Setiap bulan mempunyai keutamaan dan fokusnya sendiri.

Dari segi infrastrukturnya, Hishammuddin memberitahu, sehingga Jun 2007, projek baru RMK-9 yang siap dan sedang dibina ialah 4,639 yang merupakan 27.7 peratus daripada apa yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran.

‘‘‘Saya anggap angka ini memuaskan dan mengikut jadual atau indeks prestasi (KPI) yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berharap pembangunan infrastruktur mendesak yang diberi keutamaan, akan terus diberi keutamaan.

‘‘Usaha untuk melihat kepada aspek tertentu yang penting seperti pendidikan khas, sekolah di luar bandar, sekolah yang memerlukan penaikan taraf adalah yang akan dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata Hishammuddin, kerajaan tidak menidakkan kewujudan aliran pelbagai dalam sistem pendidikan.

Dalam kad laporan itu, turut dinyatakan bentuk bantuan yang telah disampaikan kepada sekolah pelbagai aliran.

‘‘Kita melihat kepelbagaian aliran ini menjadi sumber kekuatan kerana kita melihat kepelbagaian dalam dunia pada hari ini merupakan satu kekuatan,” ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, penambahbaikan dasar sedia ada dan baru turut disenaraikan dalam laporan tersebut.

Katanya, hampir kesemua 27 nota dan memorandum telah ‘dihadamkan’ dan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Fokus kepada keenam-enam teras dilakukan mengikut bulan tertentu. Walau bagaimanapun, laporan setengah tahun ini hanya sempat bagi pelaksanaan empat teras.

Teras pertama, iaitu merapatkan jurang pendidikan telah dilancarkan pada Februari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bulan Mac berfokus kepada teras pembestarian sekolah dengan penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.

Bulan Mei tertumpu kepada usaha memartabatkan profesion keguruan.

Pada Jun, pihak kementerian meletakkan pembangunan modal insan dengan tumpuan khas kepada bidang kokurikulum.

Pada bulan ini, fokus Kementerian Pelajaran adalah kepada pembangunan negara bangsa, dengan tumpuan kepada sukan.

‘‘Jadi, untuk memberi laporan terperinci kepada keenam-enam teras ini, saya rasa tidak adil.

‘‘Saya harap pada hujung tahun ini, kad laporan akan dapat merangkumi enam teras itu,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya, tegas beliau, dengan laporan itu, apa yang dijanjikan oleh pihaknya telah ditunaikan secara telus dan terbuka.

Bagi beliau, Kementerian Pelajaran sekarang ini berada pada landasan yang baik untuk melaksanakan PIPP.

Beliau menambah, walaupun laporan itu tidak perlu dibentangkan kepada Parlimen, tetapi dokumen tentangnya telah diedarkan semua wakil rakyat.

Oleh itu tiada sebab untuk laporan ini tidak dibaca oleh wakil rakyat.

Laporan itu juga boleh dibaca di laman web Kementerian Pelajaran.

Berhubung fokus setiap bulan bagi terutama yang telah dilalui dan dilaksanakan sehingga Jun 2007, beberapa tindakan telah dilakukan.

Pertama, bagi merapatkan jurang pendidikan, kementerian itu menerima tambahan sebanyak RM2.6 bilion untuk pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

‘‘Kita juga telah mencapai persetujuan untuk memberi elaun khas pedalaman antara RM500 sehingga RM1,500 berdasarkan jarak dan tahap kesulitan guru.

Kedua, bagi usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, kementerian itu telah memilih 30 buah sekolah (daripada 300 buah sekolah) dalam kelompok masing-masing untuk diberi autonomi ke dalam bidang yang khusus supaya dapat menjadi sekolah contoh dan showcase di peringkat antarabangsa.

Bagi fokus pembestarian sekolah, pihak kementerian telah melengkapkan sekolah dengan infrastruktur dan perkakasan, perisian dan aplikasi serta latihan guru.

Bagi program ini, kita berharap pisang tidak berbuah dua kali, dan belajar daripada kesilapan program pembestarian sebelum ini.

Keempat, bagi usaha memartabatkan profesion keguruan, Kementerian Pelajaran telah memantapkan latihan perguruan dengan menaik taraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membolehkan penganugerahan ijazah kepada lepasan IPG.

Kelima, bagi usaha membangunkan modal insan yang bertumpu kepada gerakan memperkasa kokurikulum, pihak kementerian memperkenalkan borang penilaian yang standard bagi meminimumkan ketidakseragaman pemberian markah kokurikulum kepada pelajar untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Seperti yang dijanjikan sewaktu pelancaran PIPP, Kementerian Pelajaran telah pun mengotakan janjinya akan bersikap telus, accountable dan memegang integriti yang tinggi kerana jumlah peruntukan yang begitu besar kepada kementerian perlu dibentangkan dari semasa ke semasa.

Hal ini sedemikian supaya orang ramai memahami bagaimana peruntukan digunakan.

Kita berharap kad laporan PIPP ini akhirnya akan memberi kesan yang realistik kepada murid dan pelajar, dalam erti kata lain, kad laporan murid dan pelajar juga tiada yang bertanda dakwat merah dalam RMK-10.

Tuesday, July 3, 2007

Selesaikan segera isu CTOS

Pendapat

LETUSAN tindak balas seminggu dua ini daripada pembaca berhubung isu CTOS Sdn. Bhd., yang dilabel sebagai telah menganiaya rakyat Malaysia kerana memberi maklumat kredit tidak tepat saya simpulkan amat menarik.

Kenyataan demi kenyataan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas serta peringatan kepada CTOS oleh Timbalan Perdana Menteri supaya syarikat penyedia maklumat kredit itu menyalurkan maklumat kewangan terkini.

Saya mengetuai jabatan kredit di sebuah syarikat perdagangan yang disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia yang mengguna khidmat CTOS Sdn. Bhd. sejak tahun 2002. Dalam penilaian kredit kepada bakal pelanggan, rekod kredit yang baik menjadi antara syarat-syarat yang perlu dipertimbang. Di sebalik borang permohonan dan kertas kerja yang dihantar oleh bakal pelanggan, kami cuba memperoleh maklumat dari sumber lain.

Membincangkan pengertian kredit runcit (retail credit) secara umum di negara kita ia boleh dibahagi kepada dua iaitu pinjaman dalam bentuk wang ringgit seperti pinjaman perumahan dan pembiayaan kereta atau kad kredit. Kedua, dalam bentuk perkhidmatan atau barang yang dibekal seperti talian telefon, pembelian perabot juga perkakasan elektrik.

Erti kredit institusi (institusional credit) adalah hampir sama seperti runcit namun ia ditawarkan oleh bank atau institusi kewangan dan syarikat-syarikat perdagangan kepada sesebuah entiti yang sah. Syarat kelayakan untuk mendapat kredit adalah mengikut prosedur syarikat masing-masing.

Untuk syarikat perdagangan yang beroperasi bukan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan maklumat kredit bakal pelanggan tidak boleh diakses menerusi Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS). Tidak dinafikan, maklumat kredit di CCRIS adalah terkini kerana semua bank dan institusi kewangan dihubung secara dalam talian. Dalam bahasa yang mudah, khidmat CCRIS hanya untuk bank dan institusi kewangan.

Maklumat dalam borang permohonan kredit dan kertas kerja sudah terisi tetapi bagaimana pula justifikasi? Prosedur kami, risiko kredit perlu berada di paras minimum dan tahap keupayaan kredit bakal pelanggan perlu dikaji dan salah satu sumber adalah menerusi CTOS Sdn. Bhd. Banyak kes yang kami simpulkan sebagai klasik kerana berjaya mengesan permohonan kredit oleh syarikat dan individu yang mempunyai tahap kredit tidak sihat.

Contoh menarik ingin dikongsi bersama pembaca iaitu ketika seorang individu datang memohon kredit tetapi namanya (sebagai penjamin) telah disenarai di CTOS berikutan baki pinjaman peribadi sebanyak RM3,000 tidak dijelaskan oleh peminjam. Secara sinis beliau menjelaskan bahawa tiada masalah bagi dirinya disenarai hitam dan berharap orang lain tidak lagi meminta beliau menjadi penjamin yang kemudiannya menghilangkan diri tanpa menjelaskan hutang.

Di peringkat awal sebelum CTOS dilanggan, jaminan diberi bahawa maklumat bersumber kepada gazet-gazet kerajaan dan iklan-iklan notis kebankrapan, lelongan dan notis penyampaian ganti yang disiarkan di akhbar-akhbar setelah mendapat perintah mahkamah. Kepada pembaca, jika konsistensi maklumat yang diberi CTOS adalah isu utama, kini ia bukan lagi.

Umum tidak mengetahui bahawa ada dua lagi produk CTOS yang disediakan iaitu CTOS Enhanced Database atau CED dan Electronic Trade Reference atau eTR. Saya bukan ingin membuat publisiti percuma untuk CTOS, sekadar ingin berkongsi dengan pembaca bahawa ini adalah khidmat yang khusus untuk pelanggan mereka.

Hasil daripada khidmat CTOS seperti tersebut di atas, sejumlah hutang lapuk telah dipulihkan dan ini adalah angka untung kepada sesebuah syarikat perdagangan.

Masalah yang dihadapi sebagai pelanggan CTOS ialah kualiti maklumat yang tidak dikemas kini dari masa ke masa. Penjelasan CTOS berhubung perkara ini mudah diterima dengan alasan kurangnya iklan melucut status bankrap diterbitkan oleh pihak-pihak berwajib.

Kenyataan oleh Presiden FOMCA yang disiar di ruangan Forum terbitan 2 Julai 2007 bahawa bakal peminjam (yang gagal dapat pinjaman) dibebankan kerana perlu mengemas kini maklumat kepada biro maklumat kredit seperti CTOS walhal ini bukan tanggungjawab mereka, perlu diperjelas supaya tiada cerita “Bangau oh Bangau” selepas ini.

Diharap lawatan 10 Julai 2007 oleh pegawai dari peringkat kementerian dan penguat kuasa undang-undang dapat merungkai kekeliruan dan kekusutan polemik yang wajarnya ditangani secara seimbang demi kemakmuran ekonomi negara.

– NAZA HASAN,

Cheras, Kuala Lumpur.

Apabila kata-kata menjadi ‘harta’

Oleh LOKMAN ISMAIL

DI seluruh dunia terdapat lebih daripada 10,000 bahasa pertuturan yang digunakan dan setiap bahasa pula mempunyai beberapa dialek mengikut lingkungan tempat ia dipertuturkan.

Setiap bahasa mempunyai ciri keistimewaan masing-masing dikenali seni bahasa yang mempunyai pengaruh besar di dalam masyarakat yang menjadi lambang peribadi penuturnya.

Tutur kata baik diumpamakan seperti mutiara yang akan menarik minat orang lain mendengarnya dan meletakkan penuturnya sebagai orang yang disenangi dan disanjungi.

Sementara itu, perkataan yang tidak baik dikeluarkan dari mulut tak ubah nilainya seperti najis yang dikaitkan dengan segala perkara yang tidak baik dan hina.

Malangnya ada sesetengah orang yang lebih suka mengeluarkan perkataan yang tidak baik dengan menggunakan bahasa kasar dan mencarut, terutama ketika bergaduh dan tuduhan melulu yang didorong oleh sifat kesyaitanan.

Bahasa najis tidak wajar diucapkan dalam apa jua keadaan biarpun ingin menggambarkan keburukan seseorang kerana masih banyak perkataan baik yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

Nenek moyang kita mengajar bagaimana hendak menggambarkan keburukan peribadi orang lain.

Orang Melayu menggunakan bahasa kias untuk menegur seseorang atau memperkatakan sesuatu perkara yang tidak pasti yang disebutkan tidak terus membawa maksud kepada apa yang hendak diucapkan. Namun begitu, maksud tersirat dalam bahasa kias amat kuat kesannya.

Sensitif

Sesungguhnya, jiwa orang Melayu cukup sensitif untuk memahami kata kias. Bagaimanapun, disebabkan dikiaskan, orang yang ditujukan perkataan itu tidak begitu tersinggung, malah dalam keadaan rasa tidak senang hati masih boleh tersenyum.

Kata kias amat berkesan mendidik dan membetulkan kesalahan seseorang secara berhemah.

Sememangnya dalam masyarakat kita mementingkan agar anak-anak diajar bersopan santun dalam bertutur. Ibu bapa akan malu jika anak-anak mereka menggunakan perkataan biadab dan menghina ketika bercakap. Rasa malu itu bertambah-tambah lagi jika perbuatan itu dilakukan di khalayak ramai.

Nilai bahasa Melayu tidak boleh dijual beli. Harganya tinggi tidak mampu dibayar oleh sesiapa pun selagi bangsa memperjuangkan maruahnya. Justeru, kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang sengaja menjatuhkan nilai bahasa Melayu.

Kita harus berpegang kepada pepatah; kata-kata itu akal dan budi. Bersama-samalah kita menggunakan bahasa sopan dan betul secara tepat.

Bahasa Melayu atau dalam konteks negara kita sekarang disebut bahasa Malaysia amat mementingkan sopan santun. Kehalusan bahasa Malaysia bukan sekadar pada seni bahasanya, tetapi cara bagaimana dipertuturkan.

Sikap sopan santun dalam bahasa Melayu yang diamalkan sejak zaman dahulu lagi telah lahir beberapa kategori bahasa tertentu seperti bahasa istana, bahasa basahan, bahasa dalam, bahasa pasar dan lain-lain.

Setiap bentuk bahasa itu diucapkan oleh golongan, di tempat atau masa tertentu yang melambangkan tertib dan harmoninya keistimewaan bahasa Melayu. Golongan raja atau mereka berada di istana akan menggunakan bahasa istana. Rakyat biasa pula menggunakan bahasa basahan dalam kehidupan seharian.

Bahasa yang diucapkan secara sopan lebih sedap didengar dan menjadi daya penarik supaya orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya menjadi lebih berminat meneruskan percakapan atau mendengarnya.

Kita juga menggunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan orang lebih tua atau mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada kita.

Bahasa sopan mempunyai tanda hormat kita kepada orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

INSIDEN Sultan Kedah terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke Stadium Bukit Kawan, Pulau Pinang bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, adalah memalukan.

Ia tidak sepatutnya berlaku kepada seorang raja dan pemangku Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi yang berusia 79 tahun.

Selaku undangan diraja, pihak berkenaan sewajarnya membuat persediaan khas. Lagi pula, kesesakan lalu lintas di situ setiap kali perlawanan bola sepak, sudah diketahui umum.

Awang hairan kenapa polis trafik tidak mengawasi dari awal lagi situasi termasuk melarang kenderaan diletakkan sesuka hati.

Apa yang berlaku ini adalah kelemahan kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan polis trafik.

Alasan jalan sempit dan tiada laluan lain ke stadium itu, jelas memperlihatkan kelemahan perancangan pembangunan kerajaan negeri.

Pada Awang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon juga perlu dipertanggungjawabkan.

Isu ini meninggalkan pengajaran amat besar. Pun begitu, ia tidak cukup sekadar meminta maaf kepada baginda.

Awang – Sedih dan marah.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

INSIDEN Sultan Kedah terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke Stadium Bukit Kawan, Pulau Pinang bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, adalah memalukan.

Ia tidak sepatutnya berlaku kepada seorang raja dan pemangku Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi yang berusia 79 tahun.

Selaku undangan diraja, pihak berkenaan sewajarnya membuat persediaan khas. Lagi pula, kesesakan lalu lintas di situ setiap kali perlawanan bola sepak, sudah diketahui umum.

Awang hairan kenapa polis trafik tidak mengawasi dari awal lagi situasi termasuk melarang kenderaan diletakkan sesuka hati.

Apa yang berlaku ini adalah kelemahan kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan polis trafik.

Alasan jalan sempit dan tiada laluan lain ke stadium itu, jelas memperlihatkan kelemahan perancangan pembangunan kerajaan negeri.

Pada Awang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon juga perlu dipertanggungjawabkan.

Isu ini meninggalkan pengajaran amat besar. Pun begitu, ia tidak cukup sekadar meminta maaf kepada baginda.

Awang – Sedih dan marah.

Kita tentukan jatuh bangun WPI

Rencana Pengarang

KITA tidak tahu apa motif sebenar Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew membuat dakwaan bahawa UMNO Johor tidak mengalu-alukan pelabur dari republik itu terlibat dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Begitu juga dalam kenyataannya berkata, syarikat-syarikat dari Singapura tidak boleh menjangkakan layanan istimewa dari Malaysia sebagaimana layanan murah hati China kepada pelabur Hong Kong di wilayah Shenzen.

Kita akui Singapura sebagai negara jiran paling hampir dengan Malaysia memiliki potensi pelaburan yang besar, justeru tidak ada alasan untuk kita memperkecilkan kehadiran mereka dalam pembangunan WPI.

Sebab itu banyak ruang serta peluang diberi kepada penduduk Singapura untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi di negara kita terutama ke arah merealisasikan projek WPI.

Penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Mah Bow Tan adalah bukti jelas.

Itu belum lagi disenaraikan usaha-usaha kerajaan negara ini untuk memudahkan hubungan penduduk di kedua-dua negara biarpun keikhlasan Malaysia berbuat demikian sering dipertikaikan oleh pemimpin republik itu.

Cadangan memperkenalkan perkhidmatan feri dan teksi air menyeberangi Selat Tebrau, pembinaan laluan rel antara Johor Bahru dan Singapura serta penggunaan kad pintar untuk memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk WPI dan Singapura juga jelas menunjukkan para pelabur dari republik itu amat dialu-alukan.

Namun itu bukan bermakna pembangunan WPI bergantung sepenuhnya kepada para pelabur Singapura sehingga ada lagi layanan istimewa yang mesti dikhususkan kepada mereka.

Sedangkan negara-negara lain dari Asia Barat, Eropah, China, Korea dan Jepun yang turut menunjukkan minat untuk melabur di WPI belum tentu mendapat layanan seumpama itu.

Banyak lagi tuntutan lain yang mesti dipenuhi oleh kerajaan negara ini untuk memajukan WPI selain melayan persepsi pemimpin kanan Singapura yang sering sahaja menidakkan keikhlasan Malaysia itu.

Langkah kerajaan Malaysia mewujudkan zon ekonomi khas itu bertujuan menarik pelaburan terus asing (FDI) dari pelbagai rantau dengan masing-masing menerima layanan sama rata.

Apa yang Menteri Mentor Singapura itu mesti ingat ialah penglibatan para pelabur dari republik itu di WPI bukan menguntungkan Malaysia semata-mata. Banyak keuntungan yang diraih oleh negara tersebut hasil daripada peluang serta ruang yang disediakan oleh kerajaan negara ini. Apa motif Kuan Yew di sebalik dakwaan beliau itu masih samar namun semua pihak harus diperingatkan bahawa WPI bukan untuk Singapura dan Singapura bukan penentu jatuh bangunnya WPI.

Britain belum selamat

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

ISYARAT yang ingin disampaikan oleh sesiapa juga yang melakukan siri serangan ganas di Britain pada minggu lepas cukup mudah. Jangan sama sekali lupakan isu atau hal-hal berkaitan keganasan, begitu barangkali cuba diingatkan oleh mereka.

Tidak pasti sehingga kini siapa yang bertanggungjawab dengan siri peristiwa berkenaan – satunya digagalkan manakala dalam beberapa lagi kejadian, ledakan bom terbabit membuatkan majoriti penduduk Britain berada dalam ketakutan serta trauma.

Namun sudah pasti mesej serangan itu ditujukan buat Perdana Menteri Britain yang baru, Gordon Brown. Brown, 54, baru sehari menggantikan Blair semasa serangan ganas di Lapangan Terbang Glasgow, bandar raya paling sibuk di Scotland. Mujur kecekapan pihak berkuasa telah membantu menggagalkan serangan di tengah London pada Jumaat lalu, tiga hari selepas Brown mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Britain ke-52, menggantikan Tony Blair.

Dalam siri serangan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi cukup membuatkan rakyat Britain diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Di Amerika Syarikat (AS), sekutu rapat Britain, tahap keselamatan juga dipertingkatkan, kerana dibimbangi negara kuasa besar itu menerima tempias serangan pengganas di London.

Sementara itu, kesimpulan daripada mesej yang ingin disampaikan oleh kumpulan atau individu penyerang dalam insiden di Britain ialah ia sememangnya serangan pengganas, walaupun pada mulanya pihak kerajaan di negara terbabit menafikan kaitannya.

Dikatakan, serangan mengambil ilham daripada insiden sebelum ini seperti di Bali, Indonesia dan Madrid, Sepanyol.

Seperkara lagi, jika serangan adalah serangan pengganas, kumpulan berkenaan bukan sahaja memberi ancaman keselamatan serius kepada Britain, tetapi mereka mahu diingati semula berhubung keupayaan melancarkan serangan demi serangan susulan yang boleh memberikan kesan kemusnahan maksimum.

Jangan dilupakan juga bahawa ia menghampiri ulang tahun kedua serangan bom ke atas sistem pengangkutan di London yang berlaku pada 7 Julai 2005. Serangan berganda di London itu cukup mengejutkan masyarakat dunia, di mana mereka tidak menyangka bahawa dengan tahap keselamatan ketat, kumpulan pengganas boleh membolosinya – menunjukkan keupayaan luar biasa mereka dalam memberikan tentangan kepada sasaran.

Ketika kejadian, Blair, meraikan pemimpin di sidang kemuncak ketua-ketua kerajaan G-8 di Gleneagles, Scotland.

Siri serangan nekad itu, yang berlaku semasa waktu puncak, ketika warga Britain bergegas ke tempat kerja, telah membunuh 52 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain.

Selebihnya, yang lebih penting, ia memaksa Blair melupakan seketika untuk membangkitkan isu-isu penting dan relevan ketika itu seperti soal perubahan cuaca dan bantuan hutang negara-negara Afrika. Blair sebaliknya terpaksa kembali dengan segera ke London bagi memantau selain memberi reaksi tentang tahap keselamatan di Britain.

Mengambil kira serangan bom terbaru ini ia mempunyai ciri-ciri atau mempamerkan modus operandi Al-Qaeda. Ia berlaku pada tarikh yang tepat atau istimewa. Secara kebetulan, ia berlaku selang sehari hingga tiga hari pelantikan Brown sebagai Perdana Menteri Britain yang baru pada minggu lepas. Serangan-serangan oleh kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda sebelum ini mempamerkan mereka memilih beberapa hari selepas pilihan raya (Madrid, Sepanyol); hari keraian yang diadakan di pusat peranginan (Kuta, Bali, Indonesia dan Sharm El-Sheikh, Mesir).

Dalam pada itu, semasa memegang jawatan sebagai Chancellor of Exchequer, di mana ia juga dikenali sebagai Kementerian Kewangan, Brown cenderung mengetepikan isu-isu yang dikaitkan dengan keganasan atau perang global bagi menentang keganasan. Walaupun beliau menjaga bajet, tetapi secara peribadi, Brown tidak menunjukkan pendiriannya tentang perang menentang keganasan, dikepalai Presiden AS, George W. Bush, selepas berlaku serangan berani mati pada 11 September 2001.

Satu analisis yang disiarkan di BBC News dan akhbar The Guardian membayangkan kemungkinan jika mana-mana bom kereta itu gagal dipatahkan cubaan serangannya.

Dalam BBC News misalnya, rencananya menjurus kepada bom kereta yang diletakkan di luar sebuah kelab malam popular di tengah London.

‘‘Jika polis tidak berjaya mematahkan cubaan meletupkan kereta yang dipenuhi berisi bahan letupan itu, sudah pasti, nyawa yang melayang bukan sedikit selain berupaya mendatangkan kemusnahan yang tidak boleh digambarkan sama sekali,’’ menurut satu tulisan dalam BBC News itu.

Di sisi lain, akhbar The Guardian pula menulis dalam ruangan lidah pengarangnya yang disiarkan Sabtu lalu, jika ia berjaya meletup sudah pasti insiden itu memaksa Brown mempamerkan wajah, kekuatan, karakternya yang sebenar. Karakter itu sudah pasti menjadi penanda aras sama ada beliau ada kualiti, kekuatan dan gaya kepimpinan sebagaimana yang diperlukan seandainya negara menghadapi serangan ganas atau ancaman keselamatan.

Mereka turut senada dengan akhbar-akhbar asing lain yang membuat kesimpulan bahawa serangan pengganas itu menjadi alu-aluan paling tidak boleh dilupakan oleh Brown sebagai Perdana Menteri. Dan itulah cabaran pertama paling getir buat Brown, yang juga Ketua Parti Buruh.

Bagi kebanyakan pemimpin, mereka diuji dengan kata-kata manis, dilimpahi ucapan tahniah apabila dipilih menerajui sesebuah negara. Benar, Brown menjadi alu-aluan sebegitu, cuma bonusnya, beliau diuji dengan ‘kiriman bom’ serta pesan daripada kumpulan pengganas.

Walaupun kepantasan tindakan para pegawai keselamatan Britain berjaya menggagalkan cubaan serangan bom itu, insiden berkenaan sudah cukup kuat memberi sebab buat Brown dan barisan kerajaannya untuk menangkap pesan daripada kumpulan pengganas di mana Britain dan London masih belum selamat daripada menjadi sasaran serangan ganas.

Dan kumpulan itu mahu juga menghantar isyarat bahawa mereka diam-diam ubi berisi. Jangan memperlekehkan keupayaan mereka dalam melancarkan serangan. Jika berjalan seperti mereka rancang, ia boleh mencetuskan kemusnahan maksimum, baik kepada ibu kota London dan negara itu secara keseluruhannya.

Scotland Yard, agensi perisikan di Britain pada masa ini sedang mengenal pasti siapa yang mendalangi serangan berkenaan. Tetapi difahamkan mereka berat mulut untuk mendedahkan identiti kumpulan pengganas yang bertanggungjawab itu.

Tetapi mengambil kira daripada bahan-bahan asas yang digunakan menjadi bom itu, boleh sahaja dijadikan teori bahawa ia kerja kumpulan pengganas profesional dan bukan baru mula menggerakkan usaha mereka. Laporan menyebut, bahan asas digunakan letupannya ialah silinder dan serbuk besi atau keluli, bahan yang kebiasaannya ditemui dalam bom kegunaan pejuang Iraq. Kumpulan itu (pejuang Iraq) menggunakannya bagi melancarkan serangan hampir rutin ke atas askar AS di Iraq.

Mengasah dialog politik KL–Paris


Oleh G. MANIMARAN (WARTAWAN UTUSAN)

JENAMA L’Oreal, Carrefour, Citroen, Alcatel, Renault dan Lafarge antara nama produk dan perkhidmatan yang secara tidak langsung menggambarkan ikatan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia dan Perancis dalam pelbagai bidang sejak lima dekad lalu.

Di sebalik senarai ikatan ini, hubungan membabitkan Paris dan Kuala Lumpur sudah jelas dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, kebudayaan, pertahanan dan pendidikan.

“Sebenarnya, hubungan kedua-dua negara telah pun wujud sejak abad ke-17 lagi,” kata Kaunselor Pertama Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur, Charles-Henri Brosseau yang turut bertindak sebagai timbalan ketua misi diplomatik negara itu.

Meskipun hanya menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1957, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dari perspektif sejarah, kedua-dua negara ini mempunyai hubungan lama merentasi beratus-ratus tahun. Perancis merupakan antara beberapa negara yang menjalin hubungan diplomatik awal, sebaik sahaja Malaysia merdeka.

Dircks-Dilly dilantik sebagai Duta Perancis yang pertama ke Malaysia pada 31 Ogos 1957 – pada hari Malaysia mencapai kemerdekaan. Alain du Boispéan yang mengetuai Kedutaan Perancis sekarang merupakan duta yang ke-16.

Pun begitu, dalam erti kata formal, Brosseau menekankan, kerjasama dua hala Malaysia-Perancis menjadi kukuh selepas hubungan diplomatik dibentuk sejak lima dekad lalu.

Di sebalik perkembangan hubungan diplomatik, bagi Perancis, Malaysia kekal sebagai negara terpenting dalam sektor dagangan. Di peringkat ASEAN, Malaysia negara kedua terpenting bagi Paris.

“Pokoknya, hubungan kedua-dua negara adalah kukuh,” jelas Timbalan Pengarah Asia Tenggara, Kementerian Luar Perancis, M. Fabrice Mauries kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan khas baru-baru ini.

Mauries yang menyandang jawatan itu beberapa bulan lalu berada di Kuala Lumpur, salah satu daripada dua lokasi kunjungan terbaru beliau. Selepas Malaysia, Mauries meneruskan kunjungan ke Hanoi, Vietnam, dalam usaha untuk mengenali dengan lebih dekat negara-negara rantau ini, yang sebahagian besar menganggotai blok ASEAN.

Dalam pertemuan tidak formal ini, Mauries yang ditemani Brosseau mengutarakan idea perlunya diwujudkan dialog politik membabitkan kedua-dua negara.

Mauries yang turut mengunjungi Wisma Putra sempena kunjungan ke ibu negara berkongsi idea itu dengan Kementerian Luar.

Masih awal untuk mengatakan tentang idea itu tetapi ia boleh dihalusi demi masa depan hubungan yang lebih kukuh dari segi politik, kata Mauries, yang yakin mempunyai peluang luas untuk melaksanakannya.

Di sebalik hubungan yang semakin kukuh, khususnya sejak awal 1990-an, jelas beliau, perlu ada satu saluran bagi pemimpin kerajaan dan politik berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa dengan lebih dekat dan terbuka dengan mengambil kira peranan yang dimainkan oleh Paris dan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

Perancis merupakan salah satu negara aktif dalam Kesatuan Eropah (EU). Sejajar dengan kedudukannya itu, pertemuan hubungan dua hala Malaysia-Perancis jelas menerusi kewujudan Suruhanjaya Eropah-Malaysia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Eropah dan Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) yang melibatkan pembabitan ketua-ketua kerajaan dan menteri-menteri ekonomi dan luar. Pertemuan-pertemuan itu membolehkan kedua-dua negara secara tidak langsung berkongsi pandangan dan idea mengenai isu-isu semasa yang timbul.

Pandangan

Bagaimanapun kemungkinan Paris merasakan sudah wujud keperluan semasa yang lebih luas untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dengan negara individu. Dalam hal ini, Malaysia. Paris sudah pun bertindak demikian dengan beberapa negara, kata beliau. Antaranya, Singapura, India dan Jepun.

Perancis juga merupakan negara anggota tetap Majlis Keselamatan.

“Kami berharap untuk memperkukuh hubungan politik Malaysia-Perancis,” kata beliau dengan mengetengahkan dua konteks yang dilihat sebagai asas untuk memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam bidang dimaksudkan ini.

Yang pertama, Paris dan Kuala Lumpur mempunyai hubungan diplomatik dua hala sejak 50 tahun lalu.

Keduanya, Malaysia dan EU telah pun memulakan perundingan mengenai pelbagai isu politik menerusi perjanjian perkongsian dan kerjasama, tetapi umumnya mengenai isu-isu politik. Usaha sedang diaturkan untuk menyediakan mandat bagi suruhanjaya tersebut untuk memulakan perundingan.

“Pun begitu ada keperluan untuk mewujudkan dialog politik di peringkat nasional,” kata Mauries lagi.

Sebagai susulan kepada sambutan kemerdekaan anjuran kerajaan, Paris juga dijangka mengadakan programnya sendiri kelak.

Beberapa aktiviti diaturkan oleh Perancis di Kuala Lumpur dan juga di Paris, khususnya pada September ini, kata Brosseau.

“Sambutan ini diadakan selepas acara 31 Ogos di Kuala Lumpur, selepas sambutan kemerdekaan di sini,” kata beliau lagi.

Malaysia memainkan peranan penting dalam arena antarabangsa. Malaysia pernah dipilih sebagai negara anggota bukan tetap dalam Majlis Keselamatan. Selain itu, pernah diberi peranan sebagai Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan kini Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Justeru, kata Mauries, terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi bersama oleh Perancis dan Malaysia.

Sebagai contoh kata beliau, perkembangan di rantau Asia Barat adalah antara isu yang diikuti dengan dekat oleh Paris.

“Bagi Perancis, isu Asia Barat adalah penting dan aktif dalam perkembangan seharian,” katanya.

Sehubungan itu, Malaysia sebagai negara yang turut mempunyai persamaan pendirian dengan Perancis dalam hal tersebut, boleh berkongsi input dan pandangan.

“Dalam isu-isu ini, dialog politik seperti ini akan memainkan peranan besar,” katanya. Mengapa perlunya dialog politik seumpama ini? Jelas Mauries: “Pada masa-masa lalu, pertemuan diadakan membabitkan ketua-ketua kerajaan, pertemuan dua hala membabitkan ketua-ketua kerajaan, ataupun mereka akan hubungi menerusi telefon.”

Brosseau juga yakin idea dialog politik perlu dihalusi untuk memainkan peranan sebagai penerus pertukaran idea membabitkan wakil-wakil kerajaan peringkat bawahan. “Kita sudah ada pertemuan antara ketua-ketua kerajaan, malah platform lain seperti Asem juga digunakan.

“Tetapi dirasakan perlu membabitkan wakil di peringkat-peringkat lain, tahap-tahap seterusnya,” tambah Brosseau.

Kedua-dua mereka ingin melihat dialog politik informal, yang boleh berperanan apabila timbul isu-isu penting semasa.

Maklumat laman web Kedutaan Perancis juga menyebut, ikatan kedua-dua menjadi kukuh ekoran pendirian mirip Kuala Lumpur dan Paris dalam isu Perang Iraq dan juga situasi di Asia Barat. Paris turut menentang pencerobohan ke atas Iraq pimpinan Amerika.

Kunjungan-kunjungan peringkat menteri dan Parlimen sejak kebelakangan ini telah melalui tempoh yang tenang. Kesemua aspek hubungan dua hala sama ada ekonomi, budaya ataupun ekonomi, kerjasama politik mengalami peningkatan menakjubkan ekoran pendirian yang sama dalam soal dasar luar.

Oleh itu, Mauries berpendapat, perlu ada mekanisme yang lebih luas untuk mendekatkan hubungan politik, yakni dialog politik.

Bagaimanapun beliau mengakui kerjasama dalam bidang-bidang lain – perdagangan, ekonomi, sosial dan pendidikan kedua-dua negara mempunyai hubungan amat kukuh.

“Cuma hubungan dalam bidang politik dirasakan dapat ditingkatkan jika saluran seperti ini diwujudkan,” katanya.

Sejak kemerdekaan, hubungan dua hala kedua-dua negara mengalami peningkatan yang mantap.

Dari segi hubungan politik, aspek ini melalui peningkatan disebabkan oleh ikatan peribadi yang berkualiti di bawah kepimpinan (bekas Perdana Menteri), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Jacques Chirac. Antara tahun 2002 dan 2003, kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan lima pertemuan. Chirac berada di Malaysia pada tahun 2003 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan hubungan kondusif dan dinamik itu.

Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur juga berpendapat bahawa selepas mengalami tahap-tahap pemantauan hubungan yang lama, Perancis dan Malaysia kini mencapai “tahap matangan” dalam hubungan dua hala.

“Pada umumnya, kita mempunyai hubungan yang baik. Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Malaysia, Malaysia ialah rakan kongsi niaga yang penting bagi kami,” tambah Mauries semasa menggambarkan perkembangan hubungan dan kerjasama sepanjang lima dekad lalu.

Monday, July 2, 2007

Bersungguh-sungguh membanteras jenayah

Pendapat

STATISTIK Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah sama ada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda tidak pernah surut sebaliknya meningkat dengan kadar yang membimbangkan.

Adakah ini harga yang perlu dibayar oleh kita akibat tumpuan keterlaluan terhadap aspek kemajuan kebendaan dan individualistik semata-mata? Adakah keghairahan kita menarik pelancong dan ‘mengeksport’ ratusan ribu pekerja asing ke negara ini sebagai punca kepada peningkatan jenayah kini?

Oleh itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia 30 Jun lalu sewajarnya menuntut semua pihak membuka mata mengambil tindakan tegas bersifat revolusi dalam membanteras jenayah di negara ini.

‘Kepala-kepala’ yang dikatakan melibatkan orang-orang berpengaruh di negara ini dengan rangkaian jenayah terancang antarabangsa mesti dihapuskan segera. Kita semestinya tidak mahu melihat sesiapa pun pemimpin politik dan orang atasan yang menjadi dalang kepada kumpulan jenayah di negara ini.

Sehingga kini, kumpulan samseng dari Singapura, Taiwan dan Indonesia dikenal pasti terbabit dalam jenayah terancang di negara ini. Wujud jaringan kerjasama jenayah antara kumpulan gengster tempatan dengan pihak luar yang terbabit dengan aktiviti haram seperti pengedaran dadah, pelacuran dan perjudian.

Gesaan Ketua Polis Negara sebelum ini supaya premis-premis pusat hiburan diletakkan di kawasan yang khas tidak perlu dilengah-lengahkan. Sudah tiba masanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara segera memberhentikan pengeluaran permit baru operasi pusat-pusat hiburan. Tindakan sebahagian PBT sebelum ini yang sewenang-wenangnya mengeluarkan permit hiburan sehingga ada yang beroperasi di kawasan perumahan dan kampung menggambarkan sikap tidak peka terhadap potensi premis-premis hiburan ini sebagai penyumbang peningkatan kes jenayah negara ini.

Tindakan membasmi jenayah penting bagi mengawal bilangan penjenayah dan dalam masa yang sama mencegah peningkatan jumlah mangsa jenayah. Oleh itu, pendekatan jangka panjang dan pendek wajar dilaksanakan. Aspek ini semestinya telah disedari semasa proses mewujudkan Perancangan Strategik Lima Tahun (PS5T) yang memberi tumpuan terhadap pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan, kebertanggungjawaban dan pencegahan jenayah.

Kerjasama dengan polis antarabangsa dan tumpuan kepada peningkatan mutu siasatan dalam bidang forensik dan teknologi maklumat perlu dipergiatkan. Paling penting, nilai integriti mesti menjadi darah daging dalam diri setiap pegawai polis. Selain itu, dasar pilih kasih dalam menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes yang dilaporkan harus dihindari.

Masyarakat sewajarnya yakin pada kemampuan dan kredibiliti pihak berkuasa. Sepatutnya, setiap keluarga telah mengetahui dan menyimpan nombor telefon pondok atau balai polis berhampiran sebagai langkah keselamatan. Rakan Cop pula dimanfaatkan sebagai mata dan telinga bagi pihak berkuasa.

Komitmen polis yang cuba menghapuskan jenayah tidak bererti andainya institusi kekeluargaan dibiarkan runtuh. Mahu tidak mahu, ketenatan sosial kini harus segera ditangani sebelum bertambah nazak.

Oleh itu, institusi kekeluargaan perlu kembali berperanan sebagai tapak yang kukuh melahirkan warga yang bebas jenayah. Penekanan terhadap pegangan agama dan kekuatan nilai moral perlu diberi keutamaan oleh para ibu bapa walau bagaimana sibuk sekalipun mereka bekerja.

Keprihatinan golongan ibu bapa atau penjaga penting supaya generasi muda tidak dibiarkan direkrut sebagai ‘pelapis’ penjenayah secara tidak disedari.

Sebagai permulaan, sejauh mana ibu bapa moden hari ini mengambil tahu siapa kawan dan di mana anak mereka berada? Ibu bapa juga perlu melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa ke atas bilik, komputer atau telefon bimbit anak masing-masing. Pendekatan secara bersahaja atau kebetulan bukan kelihatan seperti mengongkong mereka perlu difikirkan selari dengan peredaran zaman kini.

Tindakan membanteras jenayah daripada menjadi bertambah parah juga bukan sekadar mahu menjaga nama baik negara. Paling penting ialah untuk memastikan hak rakyat Malaysia untuk menikmati persekitaran sosial yang selamat sepanjang masa.

– MOHD. ARIF ATAN,

Universiti Malaya,

Kuala Lumpur.

Ulasan Buku

BUKU yang dibahagikan kepada tujuh bab ini memaparkan secara rinci tentang beberapa buah lagu dodoi yang biasa didendangkan oleh majoriti masyarakat Melayu Islam di Pattani. Penampilan contoh lagu yang dikutip di kawasan kajian terpapar melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Nureeyan Saleh. Pengarang juga menyatakan tentang kesenian, ciri, fungsi serta peranan lagu dodoi dalam masyarakat.

Lagu dodoi biasanya digunakan sebagai salah satu cara untuk menidurkan anak-anak kecil. Mesej yang terkandung di dalam lagu merangkumi persoalan yang merangkumi aspek tema, isi dan fungsi mendidik yang cukup dalam maknanya.

Manifestasi utama yang terkandung di dalam lagu dodoi amat berkait rapat dengan kehidupan pada peringkat awal kehidupan bayi terutama sewaktu mereka masih di dalam peringkat belum memahami bahasa formal. Lagu dodoi merupakan nyanyian atau puisi yang pertama didengar oleh bayi. Bentuk lagu dodoi yang biasa didendangkan termasuklah dalam bentuk pantun, syair dan nazam.

Manusia, tidak kira keturunan, bangsa atau agama memiliki cara-cara tersendiri meluahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka. Salah satu cara yang begitu seni sekali ialah dengan menyanyikan lagu-lagu mengulit anak. Lagu dodoi ialah lagu yang dinyanyikan untuk menghiburkan dan menidurkan bayi supaya cepat terlena. Ia dicipta dan dinyanyikan secara spontan mengikut emosi dan imaginasi ibu atau bapa.

Oleh itu kata-kata dipilih dan disusun supaya menjadi puisi yang indah dan menarik serta mengandungi nilai-nilai moral atau seni kata yang sesuai dengan bayi. Nyanyian dodoi di kalangan masyarakat Melayu Pattani juga adalah satu cabang seni yang menjelaskan sudut pandangan, nilai-nilai dan keistimewaan yang terdapat dalam masyarakat tersebut.

Budaya tradisi dodoi merentasi sempadan tanpa mengenal batasan kelas. Ia menyeberang dari istana hingga ke kawasan pedalaman yang dapat dikesan melalui pemilihan kata-kata indah terpilih.

Etika

Berdasarkan kepada contoh-contoh lagu dodoi yang dibincangkan di dalam buku ini, pengarangnya berpendapat bahawa nilai etika kemasyarakatan dan ajaran Islam untuk menunjuk ke jalan hidup yang sempurna dapat dilaksanakan semenjak dari dalam buaian lagi. Seni kata lagu dodoi dengan jelas memperlihatkan pelbagai aspek pengajaran yang dapat membimbing kanak-kanak untuk mencapai taraf hidup yang sempurna. Di antaranya yang dapat dikutip ialah kepentingan beragama, berbudi bahasa, menghormati ibu bapa dan orang tua serta tekun mencari ilmu pengetahuan.

Kekuatan buku ini jelas terletak pada kematangan pengarangnya mengolah penyelidikan yang dibuat terhadap contoh lagu-lagu dodoi dalam pelbagai versi yang dikumpulkan dari serata ceruk kawasan kajian.

Keupayaan pengarang mengolah dan merungkaikannya dalam bentuk bacaan umum menjadikan buku ini kelihatan lebih menarik dan bersifat akademik. Pengolahan kajiannya kelihatan agak matang dengan disulami oleh penggunaan bahasa yang mudah dan lancar. Istimewanya buku ini ialah terdapatnya contoh-contoh gambar buaian yang biasa digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu Pattani ketika mendodoikan anak.

Buaian kain atau endoi kain mempunyai perkataan yang rapat dengan kajian lagu dodoi. Lazimnya, buaian yang sering terdapat di wilayah Pattani termasuklah buaian kain, buaian tangguk, buaian rotan, buaian papan atau kayu dan buaian jamai atau kong.

Pengarang juga menurunkan versi dodoi dalam versi-versi seperti Melaka, Yala, Bangkok, Pattani dan Kelantan. Buku ini juga banyak menggunakan bahasa Thai yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Buku setebal 183 halaman ini sesuai untuk pelajar universiti juga untuk bacaan khalayak umum yang meminati kajian bidang budaya dan cabang seni.

Judul: LAGU DODOI MELAYU PATANI

Pengarang: Nureeyan Saleh

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Harga: RM25

ISBN: 967-942-441-3

Tebal: 183 halaman

Pengulas: Saadah Jaffar

Keperluan ensiklopedia

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

PENERBITAN ensiklopedia telah menjadi lambang status bagi sesuatu masyarakat. Ambil sahaja contoh, Ensiklopedia Britannica, yang dikagumi kerana prestij maklumat serta rujukan boleh disedut daripadanya.

Justeru, atas sifatnya yang kompleks untuk dihasilkan itu, kita wajar sentiasa berasa bangga selain perlu memberi kerjasama jika terdapat mana-mana pihak yang mahu dan telah menerbitkan ensiklopedia ini.

Indonesia misalnya, sentiasa berbangga dan telah lama teruja dengan terbitan Ensiklopedi Indonesia mereka yang telah dihasilkan beberapa dekad dahulu.

Sekadar memberi beberapa contoh, yang kita ada di pasaran ialah Ensiklopedia Sains dalam Al-Quran, Ensiklopedia Sains Teknologi dan Ensiklopedia Malaysia.

Tidak salah untuk menyatakan bahawa setakat ini, tidak ada ensiklopedia umum yang ditujukan kepada pelajar sekolah - lebih khusus buat pelajar tahap dua sekolah rendah (darjah 4-6) dan tahap satu sekolah menengah (tingkatan 1-3).

Benar, mereka dari kalangan tahap ini telah ada buku tertentu dicadangkan oleh guru sebagai rujukan untuk pembelajaran mereka.

Tetapi suka atau tidak, pelajar, guru dan ibu bapa perlu mengakui bahawa abad ke-21 ini dijangka menjadi abad persaingan dalam pelbagai bidang, tidak terkecuali dalam hal penguasaan ilmu pengetahuan.

Dan realitinya, salah satu cara menguasai ilmu ialah dengan membaca dan boleh dikatakan pula buku merupakan media sumber ilmu yang mudah dijangkau serta bersifat relatif kekal.

Selain daripada buku teks di sekolah dan Internet sebagai sumber lain, pelajar masih memerlukan buku rujukan umum untuk memperluaskan penguasaan ilmu mereka, selaras dengan keperluan ilmu pada abad ke-21 ini.

‘‘Bertitik tolak daripada faktor itu, syarikat penerbit dan pengedaran, Utusan Publications & Distributors (UP&D) menghasilkan Ensiklopedia Umum untuk Pelajar sebagai sumber rujukan dan memberi golongan tersebut khazanah ilmu lebih menyeluruh, tepat dan lengkap,’’ kata Pengarah Eksekutifnya, Roselina Johari baru-baru ini.

Katanya, selain faktor keperluan ilmu, pihaknya merasakan Ensiklopedia Umum untuk Pelajar ini diterbitkan tepat pada masanya memandangkan usia UP&D sendiri bakal memasuki usia 32 tahun.

‘‘Sudah tiba masa dan sesuai dalam usia begitu, UP&D menerbitkan sesuatu yang boleh menjadi kenangan dan kebanggaan,’’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Penerbitan, Faridah Shamsudin @ Sani pula berkata, budaya serta keperluan membaca semakin mendesak dan mencabar di mana generasi masa depan akan melihat orang yang lebih dulu tahu atau banyak tahu sebagai masyarakat terbilang.

‘‘Tidak lain dan tidak bukan, untuk menjadi masyarakat terbilang perlu membaca dan membuat rujukan. Buku sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan bahan tambahan, dan bahan itu ada di dalam ensiklopedia,’’ ujar beliau.

Mengenai penerbitan ensiklopedia ini katanya, pihak penerbit menggabungkan kepakaran akademik dari pelbagai institusi pendidikan, penterjemah dan para penyelidik tanah air bagi menyempurnakan hasilnya.

Ia telah pun masuk ke pasaran sejak dua minggu lepas dan boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih sahaja. Bagaimanapun, mereka yang berminat dengan set ensiklopedia yang berharga RM1,980 ini boleh membuat tempahan atau pesanan dengan pihak UP&D. Talian untuk dihubungi ialah 03-92856577.

Menceritakan idea penerbitan ensiklopedia berkenaan, Roselina berkata, ia lahir apabila ada satu cadangan dilontarkan sekitar tahun 2000 supaya pihak UP&D menerbitkan ensiklopedia.

Dua tahun kemudian katanya, pihak Indonesia bersedia menjual hak cipta kepada UP&D, sekali gus menggerakkan usaha ke arah merealisasikan penghasilan sebuah ensiklopedia.

Judul asal ensiklopedia ini ialah Ensiklopedi Umum untuk Pelajar dengan hak cipta dipegang oleh PT Ichtiar Baru van Hoeve.

Diterjemah

‘‘Ia diterjemah dan disesuaikan dengan kegunaan pelajar di sini dan dihasilkan oleh pasukan daripada sidang redaksi serta penulis dari negara ini. Ia menuntut banyak masa, wang dan tenaga,’’ ujar Roselina sambil menambah perubahan dibuat hampir keseluruhannya pada naskhah asal dari Indonesia itu.

Ini termasuk gambar-gambar serta maklumat yang dimasukkan agak menyimpang dan tidak bersesuaian dengan kehendak pelajar di sini. Selain itu hambatan bahasa (walaupun kebanyakannya adalah sama) sedikit sebanyak memerlukan kerja penterjemahan yang penuh teliti dan tepat.

Ensiklopedia Umum untuk Pelajar ini memuatkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan dirancang sesuai dengan keperluan pelajar. Kelebihannya, ia disusun dengan mudah, sesuai untuk tahap pelajar yang disasarkan. Selain itu, ia dilengkapi dengan gambar dan gambar rajah bagi memudahkan lagi pemahaman pelajar.

Ciri-ciri yang terdapat pada ensiklopedia ini termasuk terdiri daripada 12 jilid (10 jilid utama mengandungi entri yang disusun mengikut abjad; satu jilid berupa atlas dunia dan Malaysia). Ia memuatkan 1,665 entri dan 2,021 muka surat tentang pelbagai fakta dan peristiwa; konsep dan teori ilmu pengetahuan; tokoh terkemuka; inovasi serta penemuannya yang telah mempengaruhi dunia; sejarah peradaban manusia serta negara dan bangsa di dunia. Menariknya pula, data atau maklumat yang terkandung bersifat fakta dan mutakhir.

Setiap entri dalam ensiklopedia ini dilengkapi pula dengan penyendal ‘lihat juga’. Sebagai contoh jika entri membincangkan mengenai telefon, penyendal ‘lihat juga’ memperincikan hal tentang Alexander Graham Bell dan satelit. Selain penyendal ‘lihat juga’ setiap entri masing-masing ditambah penyendal ‘tahukah anda’ bagi memuatkan data atau maklumat penting lagi menarik perlu diketahui.

Dan lebih penting, Kementerian Pelajaran boleh sahaja mengesyorkan supaya sekolah-sekolah menggunakannya sebagai rujukan dan diletakkan di perpustakaan.

‘‘Jika sebelum ini kita ada sebuah komputer sebuah rumah, apa salahnya kita wujudkan pula satu ensiklopedia, satu sekolah. Komputer dan ensiklopedia sama-sama penting dalam menjana kepentingan ilmu dan mencambahkan minda, justeru tidak salah jika setiap sekolah perlu ada ensiklopedia,’’ senada Roselina dan Faridah memberikan cadangan.

Di sebalik itu, bagi menjayakan konsep setiap sekolah, sebuah ensiklopedia ini, pihak-pihak korporat boleh juga tampil untuk menajanya lebih-lebih lagi bagi kegunaan di sekolah-sekolah luar bandar. Mereka tidak ada kemudahan Internet, buku-buku juga sukar diperoleh, apa salahnya jika ditaja ensiklopedia ini supaya mereka sama-sama menikmati apa yang dirasai rakan-rakan mereka di bandar.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MENURUT Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Wong Kam Hong, Kempen Budi Bahasa yang dilancarkan dua tahun lepas didapati berkesan dalam memupuk nilai-nilai murni di kalangan masyarakat negara ini.

Sebenarnya, Awang pun hampir lupa tentang adanya Kempen Budi Bahasa. Mungkin impaknya tidak begitu terasa tahun ini. Itulah ‘penyakit’ kempen kita yang biasanya panas pada peringkat awal sahaja.

Awang bukan mahu meragui keberkesanan kempen itu tetapi rasanya masyarakat Malaysia kini berdepan dengan masalah kian serius berhubung amalan budi bahasa.

Berdasarkan maklum balas daripada banyak pihak termasuk pelancong asing, budi bahasa rakyat kita kian luntur.

Makin banyak petunjuk. Ada ahli politik dan ‘orang besar’ yang kurang berbudi bahasa, petugas kaunter yang kasar, pemandu teksi biadab dan guru celupar serta banyak lagi - kian mewarnai kehidupan kita.

Awang juga hairan mengapa kementerian tersebut melantik konsultan asing dalam pelaksanaan kempen itu. Apakah kita sangat memerlukan pihak asing menjayakan Kempen Budi Bahasa di negara ini?

Awang – Kempen bisik-bisik.

Segerakan siasatan ke atas CTOS

Rencana Pengarang

KITA bersetuju dengan apa juga perkhidmatan yang diperkenalkan baik oleh kerajaan mahupun swasta jika ia bertujuan memudahkan urusan orang ramai. Apatah lagi jika bayaran dikenakan, semestinya kita mengharapkan perkhidmatan yang ditawarkan adalah yang terbaik.

Namun jika sesuatu perkhidmatan itu menimbulkan pelbagai kesulitan di pihak pengguna maka ia seharusnya dihentikan atau diperbaiki supaya tidak terus menjadi beban.

Justeru peringatan Timbalan Perdana Menteri supaya perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) tidak seharusnya menimbulkan masalah atau menghalang orang ramai mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan wajar diambil perhatian.

Sememangnya banyak rungutan diterima mengenai CTOS kerana sikap ambil mudah syarikat itu menyalurkan data lapuk kepada pelanggan-pelanggannya.

Lantas timbullah keadaan di mana orang yang telah bebas hutang masih disenaraikan sebagai berhutang sehingga menyukarkan mereka berurusan dengan institusi kewangan.

Kecuaian CTOS menyebabkan orang ramai terpaksa turun naik dari satu pejabat ke satu pejabat untuk membersihkan nama mereka yang telah disenarai hitamkan.

Sedangkan sebagai syarikat yang dibayar untuk setiap perkhidmatannya, bukankah CTOS mesti memastikan maklumat yang disimpan adalah lengkap dan terkini supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Bertolak daripada pendedahan demi pendedahan mengenai CTOS, pihak berkuasa tidak boleh menunggu lama untuk menyiasat semua dakwaan termasuk kononnya syarikat itu tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kita tidak mahu pertikaian mengenai CTOS hanya heboh di dada-dada akhbar sedangkan tiada siasatan mengenainya dibuat dan CTOS masih bebas beroperasi seperti biasa. Sebelum ini pun CTOS telah ‘dibiarkan’ beroperasi selama 17 tahun tanpa ada pihak yang peduli sama ada ia menyanggah undang-undang atau sebaliknya.

Persoalan sama ada operasi CTOS melanggar hak asasi manusia adalah serius. Maka adalah menjadi harapan orang ramai agar pihak berkuasa segera bertindak untuk mengelak penyalahgunaan lesen secara berterusan oleh CTOS.

Dakwaan wujudnya pelanggaran undang-undang oleh CTOS telah disuarakan sejak dua minggu lalu justeru tidak ada sebab siasatan mengenainya dilengah-lengahkan. Atau perlukah kita menunggu 17 tahun lagi untuk merungkai segala persoalan yang timbul mengenai CTOS?

Selain itu institusi perbankan mesti mempunyai mekanisme dalaman sendiri untuk memastikan setiap maklumat pelanggan yang mereka peroleh adalah terkini dan benar.

Amalan nasi tambah oleh kuasa besar

KETIKA bertugas dulu satu perkara yang paling tidak disukai ialah amalan nasi tambah. Yang dimaksudkan dengan nasi tambah ialah menjemput seseorang ke majlis yang dianjurkan di saat-saat akhir bagi menggantikan tetamu yang tidak dapat memenuhi jemputan.

Tetamu kategori nasi tambah ini dijemput semata-semata untuk memenuhi kerusi kosong supaya majlis tidak cacat. Tetamu sebenarnya menyedari tentang hakikat ini. Pertama kad jemputan dihantar di saat-saat akhir ada kalanya sehari sebelum majlis. Sementara tetamu-tetamu lain menerima jemputan lebih awal.

Menjemput secara nasi tambah memberi implikasi kurang baik. Pertama, dianggap sebagai tidak penting dan kedua, ia menggambarkan keadaan hubungan dua hala antara dua negara berkenaan.

Sebenarnya amalan nasi tambah ini juga melibatkan hubungan antarabangsa dalam skop yang lebih luas. Antaranya keanggotaan di dalam sesuatu pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan serantau.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan 198 negara hanya lima kuasa besar yang benar-benar berkuasa. Selebihnya tak ubah macam nasi tambah. Sekadar memenuhi kerusi.

Sebagai negara merdeka setiap negara adalah setaraf dan patut diberi layanan yang sama. Namun hakikatnya terdapat perbezaan antara negara-negara kaya dengan negara-negara miskin begitu juga dengan kuasa-kuasa besar dan negara-negara kecil.

Begitu juga dalam hubungan dialog antara pertubuhan-pertubuhan serantau umpamanya ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU). Mesyuarat yang sepatutnya membincangkan isu-isu untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan telah dijadikan forum untuk menekan ASEAN dalam isu-isu yang tidak ada kena-mengena dengan isu pokok.

Tujuannya adalah semata-mata untuk melindungi industri dan ekonomi negara-negara blok berkenaan. Awal tahun 90-an isu klausa sosial (social clause) yang diperkenalkan oleh Komuniti Eropah (EC) dalam hubungan dagangnya dengan ASEAN merupakan satu isu yang cukup panas dan ditentang ASEAN.

Syarat

Begitu juga dengan isu-isu alam sekitar, buruh kanak-kanak dan isu hidupan liar. Isu-isu ini dijadikan sebagai syarat untuk mencapai sesuatu matlamat seperti eksport negara-negara ASEAN memasuki pasaran EC. Malahan isu-isu politik juga sering menjadi batu penghalang kepada kerjasama dua hala.

Kritikan-kritikan seumpama ini memberi gambaran seolah-olah negaranegara ASEAN dan negara-negara dunia ketiga tidak bertamadun. Tidak menghargai alam sekitar dan sengaja membunuh hidupan liar. Malahan tidak berhati perut hingga sanggup menggunakan buruh kanak-kanak.

Sepatutnya mereka terlebih dahulu cuba memahami sosiobudaya dan taraf ekonomi sesebuah negara.

Dialog seumpama ini sering digunakan sebagai forum untuk mengajar negara-negara dunia ketiga. Bantuan kewangan dan teknikal yang tidak seberapa itu merupakan lesen bagi negara-negara ini mengkritik rakan dialog.

Jadi kritikan Thierry Rommel, Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah (bukan duta EU) di Malaysia terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan jelas menggambarkan sikap tinggi diri diplomat-diplomat yang mewakili negaranegara maju terhadap negara-negara dunia ketiga. Yang memeranjatkan ialah beliau membuat kritikan secara terbuka sambil mengetepikan protokol dan amalan diplomasi.

Hakikatnya para diplomat sering kali lupa mengenai taraf mereka sebagai tetamu di sesebuah negara yang ditauliahkan. Sebagai tetamu mereka mesti menghormati tuan rumah. Ini merupakan amalan diplomasi baik di mana-mana sahaja. Para diplomat sering diingatkan supaya menghormati undang-undang, kebudayaan dan tatasusila rakyat tempatan oleh kerana mereka adalah tetamu.

Namun tidak bermakna mereka tidak langsung boleh membuat teguran dalam isu-isu untuk kepentingan bersama. Tetapi biarlah kena pada tempatnya. Bukan di forum terbuka. Seorang diplomat khususnya diplomat kanan pasti pandai memainkan peranannya.

DEB sebenarnya juga dipraktikkan di beberapa buah negara di dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) meskipun dengan nama yang berbeza. Di AS terdapat dasar membantu kumpulan minoriti seperti kaum India-Amerika, rakyat kulit hitam dan lain-lain kumpulan minoriti dalam perniagaan, pekerjaan dan kemasukan ke pusat-pusat pengajian tinggi.

Persoalannya apakah DEB memberi kesan negatif kepada pelabur-pelabur asing. Hakikatnya ada negara-negara yang tidak mengamalkan DEB tetapi mempunyai dasar ekonomi dan perdagangan yang lebih rumit.

Peliknya terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang begitu mudah menyokong kritikan orang luar dan berlagak seperti nasi tambah. Pendirian mereka amat berbeza dengan rakyat negara-negara lain yang berdiri teguh di belakang kerajaan apabila menerima serangan atau kritikan dari luar. Meskipun ada kalanya mereka tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan mereka.

* DATUK MUHAMMAD ALIAS bekas duta besar yang kini menetap di Los Angeles.

Pendatang asing jadi rakyat

Oleh ROSLEE MARDAN

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz menyatakan bahawa pelarian Filipina di Sabah lambat-laun akan diberi taraf kerakyatan penduduk tetap di negeri itu.

Pemberian taraf kerakyatan ini akan dikeluarkan kepada pemegang dokumen IMM.13. Asas yang mendorong beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ialah ia merupakan satu usaha jangka panjang kerajaan menangani kebanjiran pendatang asing di negeri Sabah.

Sebagai anak watan negeri Sabah yang bimbang konflik sosial di negeri tersebut, saya merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan berhubung isu ini. Kenyataan itu perlu diperjelaskan kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri Sabah dengan segera kerana kelak akan mengeruhkan permasalahan sosial yang serius jika ia dilaksanakan pada masa akan datang.

Tentunya rakyat Sabah menghormati niat kerajaan. Namun, pada pendapat saya ia bukanlah langkah berkesan bagi menangani masalah. Sebagai asasnya, kita perlu sama-sama memahami senario kehidupan (survival) warga asing khususnya pelarian Filipina di Sabah.

Umumnya kita mengetahui, masalah pendatang asing bukan sahaja menghantui negeri Sabah malah, pada hari ini, pendatang asing sudah pun membanjiri bandar-bandar besar di seluruh negara. Impak daripada kebanjiran pendatang asing ini jelas semakin membimbangkan terutama dari segi konflik sosial dan keselamatan negara. Contohnya kes jenayah seperti rogol, bunuh, rompak, samun dan ragut. Ini belum mengambil kira pencemaran bandar, pelacuran serta masalah setinggan. Benar bahawa warga tempatan juga terlibat dalam jenayah di negara ini. Tetapi jika tidak disumbangkan oleh kegiatan jenayah daripada pendatang asing, statistik jenayah di negara kita tidaklah seteruk seperti masa yang dilaporkan.

Sebenarnya harus difahami bahawa Sabah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah lama ‘berendam air mata’ akibat kebanjiran pendatang asing. Ini dialami terutama penduduk tempatan sendiri. Sebab itu, disarankan agar Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian yang serius kepada penyelesaian terbaik terhadap masalah tersebut. Kerajaan Persekutuan disarankan agar memahami sedalam-dalamnya akan kepentingan penduduk tempatan Sabah yang mana mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa untuk berhadapan dengan pendatang asing. Kebanyakan mereka datang sama ada bekerja sebagai buruh binaan sah atau datang secara haram. Pada masa kini penduduk tempatan Sabah mendakwa mereka (warga asing) dilihat telah berjaya ‘menawan’ bandar-bandar utama di negeri Sabah sehinggakan wajah sebuah bandar yang sepatutnya cantik dan indah telah dicemari oleh sikap negatif warga asing ini. Di pinggir-pinggir bandar, pendatang asing membina rumah setinggan.

Agak menghairankan pula, rumah setinggan yang dibina sejak tahun 80-an kini sudah dinaik taraf menjadi sebuah kampung. Berkali-kali pihak Majlis Perbandaran Kota Kinabalu pada masa itu (kini Majlis Bandaraya) merobohkan perkampungan tersebut. Namun begitu, malang bagi pihak berkuasa kerana sering menghadapi ancaman serangan fizikal dan maki hamun selain warga asing ini juga turut merusuh kononnya ingin menuntut hak mereka semula. Pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menyediakan kemudahan-kemudahan asas sebagai memenuhi tanggungjawab kemanusiaan kepada penduduk warga asing.

Masalah tahap kebersihan di bandar-bandar utama di Sabah juga adalah disebabkan faktor atau sikap ‘pengotor’ warga pendatang asing. Sampah sarap kelihatan bertaburan. Malah, ada kalanya pihak berkuasa dituduh tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Dengan mengambil contoh di Kota Kinabalu, misalnya, kedai-kedai makan menjadi lokasi meminta sedekah oleh golongan kanak-kanak pendatang asing. Malah di tepi-tepi jalan raya, kaum wanita warga Filipina berniaga secara haram.

Ada kalanya ruang laluan jalan raya menjadi sempit dan mengganggu perjalanan trafik terutama pada hari pasar malam minggu. Sesetengah daripada mereka juga menjalankan perniagaan sehingga waktu malam dan berani mengugut orang awam jika barangan jualan mereka tidak dilayan. Antara barangan yang diniagakan ialah barangan rokok dan pakaian. Didapati semua barangan perniagaan ini memiliki tahap kualiti yang rendah.

Mencacatkan

Dari sudut ekonomi juga warga Filipina atau pendatang asing ini kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar dalam sektor pembinaan dan pembantu pasar raya, kedai runcit dan tukang sapu. Pelacuran juga menjadi bidang perniagaan yang menguntungkan bagi mereka. Keadaan hidup warga Filipina yang seolah-olah tidak terurus (disorganised) mencacatkan pemandangan negeri Sabah terutama di kawasan bandar.

Boleh dikatakan banyak sektor ekonomi di Sabah dikuasai oleh pendatang asing. Malah di kawasan bandar, warga Filipina cuba mewujudkan asimilasi dengan cara perkahwinan bagi membolehkan mereka mendapat layanan yang sama seperti penduduk tempatan. Motif mereka adalah untuk mendapatkan faedah ekonomi hasil kegiatan tanah yang dimiliki oleh ahli keluarga. Ini menggalakkan banyak penipuan dokumen oleh warga asing di Sabah.

Salah satu yang perlu kita fahami warga asing Filipina di Sabah ialah sikap dan sifat mereka. Sikap panas baran, suka bergaduh sesama sendiri, tidak menghormati orang lain (penduduk tempatan) dan sebagainya menyebabkan wujudnya pertentangan budaya dengan penduduk tempatan. Sifat agresif atau kasar warga asing Filipina tidak bersesuaian dengan norma dan budaya Malaysia. Pada pandangan saya sikap sebegini tidak akan mampu membina bangsa yang bersatu padu, satu bangsa yang berhemah dalam tindakan dan menghormati undangundang.

Bukti sudah pun nyata. Di negara asal mereka sendiri, keamanan tidak dapat dicapai sepenuhnya. Pertumpahan darah dan kekacauan telah mencacatkan pembangunan rakyat. Kita percaya, ini sebenarnya didorong oleh faktor sikap dan sifat bangsa mereka yang membentuk budaya negatif. Daripada sedikit huraian berkenaan senario warga asing Filipina di Sabah, dapatlah disimpulkan bahawa, usaha untuk menjadikan mereka sebahagian daripada penduduk negara Malaysia, ia perlu diperhalusi dan perlu mengambil kira pandangan majoriti rakyat khususnya negeri Sabah.

Kesan

Dalam hal ini, kita perlu melihat kesan jangka panjang kepada negara dan bangsa. Walaupun kita mempunyai wawasan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dengan kepelbagaian kaum, kita hendaklah bijak memastikan bangsa yang dibina adalah diadun daripada bangsa berkualiti.

Bangsa berkualiti bermaksud, bangsa yang bukan menjadi virus kepada bangsa lain untuk mewujudkan kacau-bilau sama seperti di negara asal mereka. Kadang-kadang terlintas di fikiran kita, jika benarlah warga Filipina di Sabah lambat-laun akan diberi taraf kerakyatan penduduk tetap, adalah dalam tempoh 15 atau 20 tahun akan datang warga asing seperti Indonesia, Myanmar, Afrika, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain pendatang asing yang berada di Malaysia akan diberi status yang sama? Apakah yang akan berlaku kepada struktur sosial negara Malaysia? Berjayakah kita mewujudkan bangsa yang maju dan berkualiti?

Dalam hal ini, kita perlu mempunyai identiti negara tersendiri. Kita tidak boleh menerima satu bangsa yang suka mewujudkan kacau-bilau dalam negara. Mana-mana negara yang makmur dan kaya sekalipun, tetapi jika bangsa itu tidak memiliki nilai menghormati undang-undang dan sesama manusia, sesebuah negara tersebut kelak akan hancur dan musnah. Oleh demikian, cukuplah sekadar kita memberi sedikit ruang untuk mereka menerima faedah kebajikan yang disumbangkan oleh kerjaan negara kita atas dasar kemanusiaan sejagat. Dilihat dalam konteks isu pelarian warga Filipina di Sabah, kerajaan sebelum ini telah pun menyediakan prasarana lengkap seperti pendidikan dan tidak ada diskriminasi dalam pemberian penjagaan kesihatan kepada pelarian. Sekolah menengah disediakan untuk warga Filipina yang lengkap dengan peralatan mengajar selain aksesibiliti yang sempurna.

Jika dibandingkan pula dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah, keadaan sangat jauh berbeza sehinggakan pelajar tempatan terpaksa menggunakan jambatan kayu balak dan tali untuk sampai ke sekolah. Oleh itu, pada pandangan saya, jika benar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan memberi taraf kerakyatan kepada warga Filipina, perbincangan dengan pihak kerajaan negeri Sabah perlu disegerakan atau setidak-tidaknya melakukan sesuatu yang lebih agresif, penuh komitmen dan strategi yang mantap bagi menangani permasalahan pendatang asing di Sabah. Sesungguhnya, memberi kerakyatan berstatus penduduk tetap kepada warga Filipina hanya akan menambahkan bilangan pelarian di Sabah umpama ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Semoga pihak kerajaan akan mengambil serius perkara ini agar penduduk tempatan dan bumiputera Sabah tidak menerima nasib seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

* PENULIS ialah Pegawai Eksekutif Unit Kedah Maju, Universiti Utara Malaysia, Sintok.